BARCELONA - Roberto Di Matteo memuji semangat luar biasa yang ditampilkan para pemain selepas Chelsea berjaya menempah slot ke final Liga Juara-Juara.
Kejayaan itu hadir selepas skuad The Blues mencatat keputusan seri 2-2 dengan Barcelona pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Nou Camp awal pagi semalam.
Meskipun seri, Chelsea tetap menempah slot ke final yang akan berlangsung di Stadium Allianz Arena pada 19 Mei ini selepas menang dengan agregat 3-2.
Chelsea mencipta kejutan apabila menewaskan juara bertahan itu 1-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stamford Bridge minggu lalu.
Di Matteo berkata, kemenangan itu adalah hasil semangat juang tinggi dan tidak pernah berputus asa yang dipamerkan para pemain biarpun ketinggalan dengan dua gol.
"Ia merupakan satu perlawanan yang sangat luar biasa bagi kami (Chelsea). Saya sangat gembira dan berpuas hati dengan persembahan para pemain kerana mereka memang berhak dengan kejayaan ini.
"Kami telah mengharungi satu musim yang sukar tetapi para pemain telah membuktikan sebaliknya di saat-saat genting seperti perlawanan hari ini (awal pagi semalam).
"Barcelona merupakan sebuah pasukan terbaik dunia. Mereka sangat menakjubkan dan memiliki barisan pemain terbaik dunia.
"Namun, dengan corak permainan yang telah diterapkan, kami menunjukkan bahawa kami memang bersungguh-sungguh untuk mara ke final.
"Mungkin nasib lebih memihak kepada kami tetapi kadang-kala untuk memenangi trofi kamu juga mengharapkan tuah memihak kepada kamu," kata Di Matteo.
Pada aksi awal pagi semalam, Chelsea terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan, John Terry dilayangkan kad merah pada minit ke-37.
Barcelona berjaya membuka tirai jaringan menerusi Sergio Busquets pada minit ke-35 sebelum Andres Iniesta meledak gol kedua pada minit ke-43.
Dua minit kemudian, Chelsea berjaya merapatkan jurang gol hasil jaringan perancang skuad The Blues, Ramires sebelum penyerang, Fernando Torres menyamakan kedudukan pada minit-minit akhir perlawanan. - AFP
@kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment