![]() |
DAVID Luiz (belakang) bakal memperkuatkan benteng pertahanan Chelsea bagi menghadapi Benfica yang begitu terdesak mencari gol untuk mengatasi defisit jaringan.
|
LONDON - Pengendali sementara Chelsea, Roberto Di Matteo mengingatkan pemainnya supaya berwaspada dengan ancaman Benfica yang mampu mengekang hasrat kelab England itu menempah slot separuh akhir Liga Juara-Juara.
Kedua-dua pasukan kembali membuat perhitungan pada aksi suku akhir kedua di Stamford Bridge awal pagi esok dan The Blues kini seolah-olah telah meletakkan sebelah kaki ke separuh akhir selepas jaringan tunggal Salomon Kalou dalam aksi suku akhir pertama di Lisbon minggu lepas.
Begitupun, Di Matteo percaya Benfica tidak akan mengaku kalah begitu sahaja dan mampu mengecewakan pasukannya awal pagi esok.
Kerapuhan benteng pertahanan Chelsea ketika menewaskan Aston Villa 4-2 dalam aksi domestik Ahad lepas juga mengundang resah di hati Di Matteo.
"Kami tidak akan mengambil mudah perlawanan ini. Perjuangan masih belum selesai selagi baki 90 minit aksi suku akhir belum tamat.
"Walaupun kami berada pada prestasi terbaik, Benfica adalah pasukan yang kuat dan cukup berbahaya di gelanggang lawan. Jadi, kami perlu menang," kata Di Matteo.
Dalam pada itu, pengendali Benfica, Jorge Jesus yakin harapan pasukannya untuk mara ke separuh akhir masih ada dengan melakukan kejutan di London.
"Pasukan kami lebih kuat jika dibandingkan dengan Chelsea daripada segala aspek, cuma tuah lebih menyebelahi mereka dalam aksi suku akhir pertama sebelum ini.
"Jadi kami akan ke sana dan memenangi perlawanan tersebut. Itu sahaja," katanya optimis. - AFP

No comments:
Post a Comment