
PENYOKONG AC Milan menarik nafas lega sebaik perlawanan menentang Arsenal berakhir semalam. Milan tewas 0-3.
LONDON - Kejayaan AC Milan mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah sebenarnya bukan suatu yang mudah buat kelab gergasi Itali itu.
Ini kerana, Milan nyaris tersingkir ketika aksi kedua pusingan kedua menentang Arsenal di Stadium Emirates awal pagi semalam.
Jika tidak kerana kapten Arsenal, Robin van Persie gagal menyempurnakan peluang terhidang di depan pintu gol Milan pada babak kedua perlawanan, sudah pasti keputusan awal pagi semalam berbeza.
Namun Milan masih boleh menarik nafas lega biarpun tewas 0-3 pada aksi kedua itu apabila mereka tetap layak dengan agregat 4-3 selepas mencatatkan kemenangan 4-0 pada aksi pertama 15 Februari lalu.
Bagi jurulatih Milan, Massimiliano Allegri, apa jua yang berlaku dalam perlawanan itu kini sudah tidak penting lagi buat skuad kendaliannya itu.
Beliau berkata, apa yang lebih penting adalah keputusan perlawanan dan sekaligus mengesahkan slot dalam kelompok lapan pasukan terbaik Eropah.
"Apa yang lebih penting adalah keputusan perlawanan untuk kami (Milan) mara ke peringkat seterusnya.
"Saya boleh katakan perlawanan hari ini (awal pagi semalam) adalah perlawanan penting buat kami kerana ia telah meletakkan kami berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik Eropah.
"Biarpun kami tewas, saya tetap berpuas hati kerana kami berjaya mara ke peringkat suku akhir dan sekaligus mencapai matlamat utama kami," kata Allegri. - REUTERS
No comments:
Post a Comment