
DOE (kiri) didakwa mempunyai masalah disiplin.
DI sebalik pujian melambung yang diterima hasil kemenangan 1-0 ke atas kelab Vietnam, Song Lam Nghe An dalam kempen Piala AFC kelmarin, ada pesanan ringkas yang sempat dititipkan Menteri Besar Terengganu kepada para pemain skuad Penyu.
Jelas Datuk Seri Ahmad Said (gambar kecil), para pemain Terengganu perlu sentiasa beringat akan tanggungjawab yang dipikul dan tidak sesekali berasakan diri mereka sebagai superstar dalam pasukan.
Lantas, penegasan awal diberikan kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) agar sentiasa memantau penyerang importnya, Francis Forkey Doe yang didakwa mempunyai masalah disiplin.
“Kejayaan sesebuah pasukan bergantung kepada semangat sepasukan dan setiap pemain mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing.
“Jadi, kita tidak mahu ada pemain yang merasakan diri mereka sebagai superstar kerana ia hanya memberi kesan buruk kepada pasukan,” katanya ketika ditemui selepas Karnival Remaja Terengganu di Kuala Terengganu kelmarin.
Terdahulu, timbul khabar angin apabila Doe yang juga penyerang kebangsaan Liberia dan pernah beraksi bersama kelab Mesir, Al-Ahly dikatakan enggan berlatih bersama pemain lain, selain kerap ponteng.
Perkembangan itu sekali gus dikatakan telah menimbulkan rasa tidak selesa kepada pemain lain dan berkemungkinan mampu menjejaskan prestasi pasukan bagi menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga-M).
“Kita bersedia memecat mana-mana pemain yang tidak mempunyai disiplin dan tidak mengikut arahan. Kita tidak mahu perkara ini berlaku dalam pasukan.
“Sebab itu juga saya beritahu pada Datuk Che Mat Jusoh (Presiden PBSNT) agar beri amaran terakhir kepada pemain itu atau kita singkir sahaja,” katanya lagi.
Untuk rekod, Doe yang memiliki penyudah luar biasa kini telah merekodkan tujuh gol bersama Terengganu, termasuk satu gol dalam kempen Piala FA.
Ahmad turut memaklumkan beliau sentiasa memantau perkembangan skuad Penyu selain kerap mendapatkan maklum balas daripada peminat dan penyokong pasukan.
Malah, Ahmad secara terbuka mendesak PBSNT agar memantau pergerakan para pemain Terengganu bagi memastikan mereka bebas daripada terlibat sebarang aktiviti menjual perlawanan.
Desakan Menteri Besar itu dibuat dalam satu program bual bicara bersama media baru-baru ini ekoran prestasi `mencurigakan’ yang dipamerkan Terengganu ketika menang 1-0 ke atas Kuala Lumpur pada aksi Liga Super minggu lalu.
“Saya tengok sendiri perlawanan itu dan saya rasa macam ada yang tidak kena,” jelasnya.
Ketika ini, Terengganu yang juga juara Piala FA musim lalu dan kini dibimbing Mat Zan Mat Aris berada di tangga ketiga Liga Super di belakang Kelantan dan Lions XII.
No comments:
Post a Comment