Tuesday, March 20, 2012

Erra Dan Ziela Sudah Seperti Anak Sendiri

Erra Ziela
Selepas lebih kurang 10 hari bercuti, rasa payah jari ini hendak menaip. Sehingga minggu lepas terlupa untuk berkongsi nukilan Mummy. Ampun semua!

Sampai ke pejabat, Hairul Hasraf dah hantar mesej. Tetapi buat-buat lupa dan tanya lagi dengan dia, 'hendak bahan hari ini?' Pagi makan nasi lemak, tengahari makan nasi goreng lagi, mana badan tak lemah dan malas nak menaip.

Tiba-tiba teringat empat insan selebriti ini yang Mummy rasa masih rapat dan sering bertemu mesra biar pun Mummy bukan lagi insan yang terlibat dalam dunia wartawan hiburan terutamanya di Media Hiburan. Empat selebriti ini, Mummy tak anggap mereka macam selebriti tetapi sudah anggap seperti kawan dan adik sendiri.

Erra Fazira, Ziela Jalil, Umie Aida dan juga Zahida Rafik, itulah empat nama yang sering bertanya khabar dengan Mummy. Tidak bermaksud yang lain itu sombong tetapi mungkin sibuk dengan aktiviti masing-masing di lokasi atau pun studio. Tetapi dengan mereka Mummy masih ada kesempatan bertemu setelah mengatur temu janji.

Minggu ini, Mummy mulakan dengan Erra Fazira dan Ziela Jalil. Pertama kali bertemu Erra Fazira kalau tak silap Mummy dia belum bergelar pelakon dan penyanyi tetapi dalam proses untuk berlakon dengan Datuk Yusuf Haslam.

Erra menjadi rebutan Datuk Yusuf Haslam untuk membintangi filemnya lantaran wajah jelita dan gelaran ratu cantik yang baharu disandang. Namun, Mummy anggap dia sama seperti gadis dan pelakon lain. Kemudian Dayangku Intan memperkenalkannya kepada Mummy sekali lagi dan daripada ruangan bakat baharu, nama Erra Fazira terus tercalon untuk menghiasi muka depan Media Hiburan bergandingan dengan artis luar negara (dah lupa namanya).

Daripada satu filem ke satu filem lain namanya terus meniti di bibir peminat dan hubungan kami menjadi bertambah mesra. Mummy pun hairan mengapa Mummy rasa lebih senang bila bersama gadis ini. Mungkin, Erra antara beberapa artis yang senang berkerja sama dengan kami terutama Media Hiburan.

Ketika itu, selain daripada Fauziah Latif, Wann dan Rosyam Nor, Erra Fazira juga mudah dihubungi dan senang kalau diminta pertolongan setiap kali kami perlukan penghias muka depan Media Hiburan. Tidak dinafikan, sesekali Mummy dan Emma Husin sering keluar makan bersamanya.

Mummy juga pernah terasa hati apabila ada pihak tertentu mengatakan yang Mummy rapat dengan bintang ini hanya kerana ingin mengejar glamor. Aduh! Luruh jiwa raga ini bila dituduh begitu dan Mummy hampir menjauhkan diri daripada si jelita ini.

Tetapi bila difikirkan kembali, untuk apa kita takut kalau bukan itu tujuan kita berkawan. Mummy bukannya bintang popular yang mengejar glamor dan tak perlukan itu semua kerana kita sekadar seorang wartawan yang mencari berita.

Hubungan kami menjadi bertambah rapat dan mesra dengan kelahiran Engku Aleesya Engku Emran, umpama ada magnet antara kami berdua. Tambahan pula, bila Mummy meminta izin untuk Aleesya memanggil Mummy dengan panggilan Umi mendapat persetujuan Erra.

Siapa kata antara Mummy dan Erra tidak pernah berselisih pendapat? Biarpun Mummy lebih tua daripadanya tetapi Mummy tidak pernah berkecil hati apabila menerima teguran darinya. Mummy sendiri pun, kalau ada perkara yang tidak betul tentang dirinya, Mummy akan tegur tetapi terpulang kepadanya untuk menerima teguran itu atau tidak.

Daripada kemunculan pertamanya dalam filem ketika masih di alam persekolahan sehingga berkahwin dengan VIP dan mempunyai dua orang cahayamata, Datin Seri Ziela Jalil atau lebih mesra dipanggil Ziela tidak pernah berubah.

Orangnya pemurah, berterus terang dan senang bekerja dengannya. Selepas berkahwin menjadi sedikit renggang tetapi kelahiran anak pertamanya merapatkan kembali hubungan kami berdua. Ziela suka menjemput kami ke rumah untuk makan-makan. Terima kasih Mak Teman (ibu Ziela) kerana selalu menjamu kami dengan hidangan yang lazat. Kini, pembantu rumah yang sudah bekerja berbelas-belas tahun dengan Ziela pun sudah pandai memasak makanan kegemaran mereka.

Hubungan kami menjadi rapat kerana keikhlasan Ziela yang tidak pernah menganggap kami sebagai wartawan tetapi lebih kepada kakak. Tidak dinafikan, ada ketikanya luahan rasa kita kongsikan bersama.

Ziela juga sentiasa bersikap terbuka lantaran statusnya sebagai anak tunggal. Seperti Erra, hubungan Mummy dan Ziela turut melibatkan keluarga terdekat mereka. Jika sudah sampai ke rumah, tidak cukup sejam dua melepak, tetapi mungkin lebih daripada itu. Ada sahaja yang ingin diceritakan dan ada sahaja cerita yang dikoreknya daripada Mummy.

Selepas hidup beberapa tahun tanpa suami dan membesarkan anak-anak serta seorang ibu yang dicintainya, dia begitu tabah dan kuat bekerja. Baginya semua itu untuk anak-anak dan ibunya. Dia mahu melihat anak-anaknya berjaya sehingga ke menara gading. Ada ketikanya, Mummy lihat dia seperti lupa meluangkan masa untuk dirinya.

Inilah dua selebriti yang berjaya mencipta nama dengan menapak dari bawah. Mungkin mereka tidak punya segulung ijazah tetapi bagi Mummy kedua-duanya sudah mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi. SEMOGA KEDUA-DUA INSAN INI TERUS BERJAYA.

* Intan Zabidin adalah mantan Editor MH dan telah berkecimpung dalam dunia hiburan lebih daripada dua dekad.

Klik!

@mediahiburan.karangkraf.com

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...