MEMANG sudah lumrah, kecantikan tidak boleh dipisahkan daripada dunia mana-mana wanita. Begitu juga dengan Aleeya Zailan, 26. Dia mengakui, mulaa obses dengan kecantikan dan gemar mencalit mekap ke wajah sejak belajar di sekolah rendah.
Sukar untuk dipercayai, namun gadis yang tidak lekang dengan senyuman itu juga memberitahu, dia pernah menyolek rakannya ketika masing-masing berada dalam darjah lima.
“Bayangkan masa itu saya masih kecil, tetapi sudah pandai menyolek. Kawan saya ketika itu gembira bukan kepalang kerana wajahnya telah disolek cantik. Sebagai balasan, saya minta dia ikut saya ke kelas mengaji al-Quran,” katanya sambil ketawa.
Kebiasaannya, kata Aleeya, alat solek milik ibunya akan menjadi ‘mangsa’ eksperimen kreatifnya itu.
“Jika ibu tiada di rumah, alamatnya habislah alat-alat solek ibu. Pada masa yang sama, minat menyolek itu semakin menebal dalam diri setiap kali melihat mak cik saya yang gemar bersolek di rumah,” imbasnya.
Minat Aleeya itu ternyata terus berkembang ketika dia melangkah masuk alam remaja. Begitupun, pada tahun 2002 selepas tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia telah melanjutkan pengajian di peringkat ijazah dalam bidang Pengurusan Perniagaan, Pengajian Perhubungan Politik di Universiti Auckland, New Zealand.
Enam tahun di perantauan, gadis itu bertuah kerana dikelilingi adik-beradik dan juga ibunya yang bertugas dalam bidang penyiaran televisyen di Negara Kiwi itu.
Diajak mengimbau perjalanan hidupnya sebelum bergelar jurusolek sepanjang berada di luar negara, gadis itu berkata, dia ada juga menyolek rakan-rakan sekuliahnya.
Bagi menambah duit poket, dia menjadi jurusolek secara sambilan walaupun masih tidak menyertai sebarang kursus solekan.
Biasanya para pelanggannya merupakan kawan-kawan yang mahu menghadiri majlis-majlis makan malam, hari jadi dan majlis perkahwinan.
“Di sana (New Zealand), mereka akan mendapatkan khidmat saya untuk menyolek memandangkan ia murah berbanding di luar. Lagipun masing-masing merupakan pelajar.
“Soal harga tidak begitu menjadi masalah,” ujar Aleeya yang masih mengingati bayaran solekan pertama yang diterimanya iaitu sejumlah NZ$20 (RM48).
Bertitik-tolak dari itu, skil solekannya mendapat sambutan yang menggalakkan. Lebih daripada kepuasan menjana wang, Aleeya sebenarnya lebih gembira dapat mencantikkan kaum Hawa.
Fasa baharu
Sejurus kepulangannya ke tanah air kira-kira tiga tahun lalu, Aleeya tidak memerlukan masa yang lama untuk menempuhi fasa baharu dalam hidupnya sebagai wanita.
Aleeya telah melangsungkan perkahwinan dengan Azri Aziz, 26 - seorang jejaka yang mengikuti pengajian di United Kingdom dan dihubungkan melalui Skype sepanjang perkenalan mereka.
Dikurniakan seorang cahaya mata berusia setahun, Aleeya langsung tidak menganggap status baharunya sebagai penghalang untuk mengejar impian.
“Bukan hendak mendabik dada. Saya sebenarnya tidak mengikuti sebarang kursus solekan, sebaliknya bergantung kepada kreativiti sendiri,” jelasnya yang memulakan kerjaya sebagai jurusolek bebas pada awal tahun 2010.
Begitupun, ungkapnya, bersolek bukan kerja remeh, ia memerlukan konsentrasi dan kesungguhan supaya dapat membangkitkan wajah yang cantik tanpa meninggalkan sebarang cacat cela.
“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak pernah berdepan dengan pelanggan yang terlalu cerewet. Belum pernah ada lagi pengalaman dimarahi pelanggan,” katanya.
Pengalaman demi pengalaman membuatkan wanita itu semakin yakin dengan hasilnya lebih-lebih lagi apabila ramai pelanggan melahirkan rasa puas hati. Semua itu dijadikan pembakar semangat buatnya mengembangkan kerjaya sebagai jurusolek bebas.
Cari strategi
Pada mulanya, gadis yang berasal dari Umbai Melaka, itu mengakui dia tercari-cari langkah yang berkesan untuk melebarkan sayapnya dalam perniagaan berkenaan di Malaysia.
Melihat prospek bisnes tersebut bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan, dia mempunyai strategi tersendiri untuk menempa nama.
“Awalnya memang agak sukar untuk menembusi bisnes ini. Jika mahu mendapat sambutan, saya perlu melakukan pengiklanan dan pemasaran.
“Ia sudah pasti menelan belanja yang besar jika dibandingkan keuntungan yang diperoleh. Tanpa rasa berputus asa, saya akhirnya bertemu jalan penyelesaian dengan memperkenalkan peraduan Help Me I Need a Makeover Contest agar mudah dikenali,” ujarnya mengenai pertandingan dalam talian itu.
Melalui idea yang berjaya menarik perhatian ramai wanita itu, peserta hanya perlu menyenaraikan sebab-sebab mereka perlu disolek. Bagi yang terpilih, mereka berpeluang menikmati hadiah berbentuk solekan sentuhan Aleeya sendiri, set berus solek dan mengikuti satu set penggambaran.
Meskipun baru setahun jagung dia memulakan konsep sedemikian, nampaknya usahanya itu nyata berbaloi.
“Dengan kerjasama suami yang merupakan penaja utama dalam pertandingan, boleh dikatakan kini saya mula dikenali dalam kalangan remaja.
“Selepas mengadakan pertandingan itu, pelanggan juga semakin ramai hari demi hari. Boleh dikatakan rezeki itu sentiasa ada,” jelasnya bersyukur.
Berbicara lanjut mengenai kejayaannya itu, dia juga turut mendapat kerjasama daripada seorang rakan baiknya.
“Dalam pertandingan ini, saya juga mendapat bantuan daripada kawan saya, Siti Norhajar Abu Bakar, seorang pendandan rambut. Setiap kali pertandingan diadakan, dia banyak membantu terutamanya yang berkaitan hal penggayaan rambut.
No comments:
Post a Comment