Friday, December 16, 2011

Marcahuamachuco tumpuan arkeologi




SUASANA di dalam Stadium Benfica di Lisbon, Portugal bertukar menjadi riuh-rendah sebaik seorang warga Peru berpakaian tradisional menunjukkan anugerah yang dimenangi Machu Picchu ke langit.
Sebagai tanda berterima kasih, dia merapatkan tapak tangannya dan menunduk hormat ke arah 50,000 penonton yang hadir menyaksikan acara Tujuh Keajaiban Dunia 2007.
Pastinya momen itu terpahat kemas dalam memori masyarakat Peru sehingga kini. Pengiktirafan yang diperoleh oleh industri pelancongan Amerika Selatan itu secara tidak langsung memberi impak positif kepada Peru. Buktinya, pada tahun 2010, statistik pelancongan Peru mencatat peningkatan sebanyak 12 peratus atau 2.9 juta pelancong.
Faktor utama kebanjiran pelancong ke Peru yang mencapai kemerdekaan pada 28 Julai 1821 itu adalah untuk menikmati keindahan Machu Picchu. Kota sejarah yang ditemui pada tahun 1991 itu terletak di puncak pergunung Andes yang suatu ketika dahulu didiami oleh bangsa Inca.
Kebanyakan pakar sejarah mendakwa bangsa Inca telah membina empayar terbesar di rantau Amerika itu antara tahun 1400 dan 1531. Kemungkinan bangsa Inca mendapat inspirasi daripada tamadun Wari untuk membina kubu Machu Picchu dan membangunkan sistem politik mereka. Tamadun Wari memiliki zaman kegemilangan di Andes antara tahun 700 hingga 1200.
Sehingga ke hari ini, pakar sejarah dan arkeologi masih tercari-cari jawapan misteri tentang kehilangan bangsa Inca. Belum pun selesai isu tersebut, kini kerajaan Peru mengejutkan dunia dengan berita sebuah lagi kompleks peninggalan purba yang berusia 1,600 tahun.
Enggan membiarkan kota Marcahuamachuco yang berpangkalan di utara Andes itu rosak dan hilang nilai-nilai sejarahnya, kerajaan Peru mengambil inisiatif dengan melancarkan proses memulihara. Sebahagian besar harta arkeologi dan artifak yang terdapat di kompleks purba di kawasan gunung seluas 240 hektar itu telah dicuri.
Bagaimanapun, struktur bangunan, dinding batu setinggi di antara 10 hingga 15 meter, galeri dan sebuah tempat ibadah masih kukuh meskipun persoalan yang sama menjadi perbincangan dalam kalangan pakar sejarah. Seperti Machu Picchu, Marcahuamachuco turut mempunyai sisi misteri yang perlu dirungkaikan.

PAKAR sejarah dan arkeologi masih tercari-cari jawapan misteri tentang kehilangan bangsa Inca.


Kubu perlindungan
Memandangkan ia sebuah kawasan pergunungan dan jauh dari bandar, pakar sejarah tertanya-tanya siapakah penduduk di kawasan itu? Apakah yang mendorong mereka untuk tinggal di sana?
Menurut pakar arkeologi yang dilantik kerajaan Peru bagi mengetuai proses pemuliharaan, Cristian Vizconde, kompleks itu dibina seperti sebuah kubu bagi mengelakkan ia diserang dan dijajah.
"Marcahuamachuco menjadi tumpuan ahli arkeologi sejak tahun 1900. Disebabkan sebahagian kawasan itu telah tertimbus, maka ia menyukarkan proses mencari kedudukan sebenar tapak purba.
"Kita masih belum mengenal pasti budaya masyarakat di Marcahuamachuco apatah lagi asal-usul mereka. Cuma yang dapat dipastikan setakat ini ialah struktur dan dinding batu yang dibina sekitar tahun 350 dan 400 Masihi," jelas Vizconde.
Pada bulan Oktober tahun 2010, proses pemuliharaan bertambah baik apabila pihak Peru bekerjasama dengan sebuah badan yang melindungi tapak warisan budaya dunia, Global Heritage Fund (GHF) melakukan kerja-kerja pembersihan secara besar-besaran.
"Tempat ini telah dikosongkan tetapi terdapat beberapa petugas sedang melakukan analisis dengan bantuan GHF," terang Vizconde yang turut menambah pertemuan sembilan buah kubur lama baru-baru dapat membantu merungkai lebih banyak rahsia dan misteri yang dicari selama ini.
Dalam usaha kerajaan Peru menjadikan Marcahuamachuco sebagai tarikan pelancongan terbaharu di Peru, sejumlah dana disediakan untuk aktiviti mengkaji dan memulihara.
Matlamat utama kerajaan Peru ialah supaya kota purba itu diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
"Paling menarik perhatian saya ialah rekaan bangunannya yang terbuka luas. Seolah-olah ia menyampaikan mesej kepada orang ramai bahawa pembinaan bangunan itu untuk menunjukkan kekuatan dinasti era tersebut," jelas perunding GHF, John Hurd yang berharap pelancongan Peru bertambah baik dengan adanya Marcahuamachuco.
Lubuk pekerjaan
PETA yang menunjukkan kawasan-kawasan yang memiliki nilai sejarah yang tinggi di Peru.


Industri pelancongan banyak membuka lubuk pekerjaan dan mengembalikan semula perhatian pada khazanah purba yang hampir musnah. Di kawasan berkenaan terdapat lebih 300 tapak arkeologi yang semakin terancam dek perlombongan emas tidak formal.
Datuk Bandar Luis Alberto Rebaza bagi daerah Huamachuco yang didiami 150,000 penduduk menyatakan, kawasan tersebut mempunyai nilai-nilai tarikan pelancong.
"Ia membuka peluang terbaik kepada penduduk," tutur Rebaza.
Selain itu, pihak kerajaan Peru turut menjalankan kerja-kerja pembinaan jalan raya yang menghubungkan di antara Marcahuamachuco dan Trujillo iaitu bandar ketiga terbesar di bahagian utara Peru.
Kubur lama
Sementara itu, pakar arkeologi dari Kanada Topic John dan Theresa Lange-Topic yang mengkaji kompleks Marcahuamachuco percaya, para penduduk mula meninggalkan kota tersebut pada abad ke-13 tetapi punca mengapa mereka pergi masih belum diketahui.
Kumpulan arkeologi menyifatkan sembilan buah kubur lama yang ditemui di dinding tebal bangunan itu merupakan kubur orang bangsawan.
Dalam pada itu, pakar struktur arkeologi Julio Vargas melahirkan rasa kagum dengan saiz bangunan itu. Vargas memuji kerja-kerja mencantumkan batu-batu dinding sehinggakan struktur bangunan kota purba tersebut kukuh berabad lama meskipun terdedah pada hujan dan ribut.
Secara tidak langsung situasi itu menunjukkan betapa betapa peritnya kerja-kerja pembinaan pada zaman lampau kerana tidak dibantu dengan sebarang bantuan jentera atau perkakasan moden seperti hari ini.
Menyentuh mengenai peranan pakar arkeologi dalam memulihara khazanah lama, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman, Pakar Prasejarah Akademi Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berpendapat, lazimnya pakar arkeologi menjalankan proses cari gali dan pemuliharaan terhadap tapak purba yang mempunyai nilai sejarah yang tinggi.
"Pencari harta karun tugasnya mencari harta manakala orang sejarah dan arkeologi cenderung kepada pencarian barang atau kawasan sejarah yang boleh memberi kepentingan kepada negara, bangsa dan budaya.

DIANGGARKAN Machu Picchu menerima 500, 000 kunjungan pelancong pada setiap tahun.


"Inilah yang berlaku di kota purba Marcahuamachuco, pakar arkeologi bertungkus-lumus mengkaji kawasan berkenaan. Sedikit sebanyak hasil kajian yang diperoleh secara tidak langsung memberi nilai tambah pada masyarakat dan negara Peru," terang Nik Hassan ketika dihubungi Kosmo!.
Tambah Nik Hassan, ahli arkeologi yang bertanggungjawab perlu menjalankan pemuliharaan dengan penuh teliti dan berhati-hati. Ini bagi memastikan tapak ataupun struktur asal sesebuah tempat itu tidak terjejas.
Setiap benda yang ditemui dan boleh dijadikan bahan bukti pula disimpan di dalam bekas khas untuk memudahkan kerja-kerja kajian.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...