Wednesday, December 14, 2011

Perompak guna Steyr tersungkur



BANK di Taman Muda, Ampang Jaya yang menjadi sasaran perompak yang mati ditembak semalam.


AMPANG JAYA - Seorang ahli perniagaan bagaikan tidak percaya bahawa kelibat seorang lelaki lengkap bersenjata raifal Steyr yang berada dalam sebuah bank di Taman Muda di sini semalam merupakan aksi rompakan yang benar-benar berlaku.
Semasa kejadian pada pukul 3.30 petang itu, Mohd. Ayuhamdi Md. Hamdani, 25, yang sedang minum di sebuah warung yang terletak dalam jarak 50 meter dari bank menjadi sasaran perompak tersebut.
"Macam adegan dalam filem apabila saya tiba-tiba nampak orang berlari keluar dari bank sebelum saya menghampiri bank itu untuk melihat apa yang berlaku.
"Dari dekat saya kemudian nampak seorang lelaki memakai topi keledar, pakai sarung tangan hitam, menggalas sebuah beg dan bersenjata api memberi arahan kepada kakitangan bank supaya memasukkan duit dalam beg galas yang dibawanya," cerita saksi itu ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.
Pada masa sama, cerita saksi itu, suspek yang bengis sambil menghalakan senjata api (Steyr) itu secara rambang, mengarahkan semua pelanggan dalam bank tersebut menundukkan kepala menyebabkan ada antara pelanggan itu menangis kerana terlalu takut.
Namun Ayuhamdi berkata, ketika perompak itu mahu melarikan diri bersama beg galas, dia tiba-tiba rebah dalam bank tersebut akibat terkena tembakan yang dilepaskan seorang pengawal keselamatan menggunakan pump gun.
Pengawal keselamatan bank itu melepaskan tembakan dari sebalik tiang di bangunan bank berkenaan iaitu dalam jarak 50 meter dari suspek.
"Topi keledar yang dipakai oleh suspek tertanggal dan serentak itu banyak darah keluar dari kepalanya," cerita Ayuhamdi lagi.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...