Monday, December 19, 2011

MIFW platform pereka muda




MELABUHKAN tirainya dengan persembahan gala yang menggegarkan, acara penutup Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (MIFW) 2011 yang berlangsung Sabtu lalu di Zebra Square, Kuala Lumpur membuktikan bahawa fesyen merupakan produk yang sememangnya menuntut perhatian ramai khususnya fashionista di sekitar Kuala Lumpur.
Malaysia International Fashion Alliance (MIFA) sebagai penganjur acara tersebut secara tidak langsung juga membuktikan bahawa dunia fesyen bukan sekadar memenuhi cita rasa dan gaya hidup khususnya masyarakat urban.
Namun, ia penting dari sudut ekonomi masyarakatnya dan sebagai penjana ekonomi negara seperti yang disebutkan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz dalam ucapannya pada malam Gala BDA/MIFA yang dianjurkan oleh Bumiputra Designers Association (BDA).
Pertanyaan dan minat yang ditunjukkan oleh para pembeli dari luar negara yang dibawa masuk oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) sepanjang minggu tersebut juga menggalakkan.
Ini satu pernyataan bahawa adanya minat dari luar untuk menjengah apa yang mampu disediakan oleh komuniti fesyen di negara ini untuk permintaan antarabangsa.
Sepanjang minggu itu, pentas peragaan MIFW 2011 menyaksikan beberapa slot panas yang dipersembahkan oleh Asia Magic Gala, GLAM Lelaki, Snips Hair Show dan beberapa pertubuhan fesyen lain.
Pereka muda
REKAAN unik pelajar PJ College of Arts & Design ini menggamit perhatian hadirin.


Antaranya termasuklah persembahan fesyen memukau daripada Arena Pereka Muda (Yoda), Bumiputra Designers Association (BDA), Islamic Fashion Festival (IFF) dan jenama-jenama gah milik ratu empayar fesyen tempatan seperti Datuk Farah Khan.
Selain itu, individu dan penggiat fesyen serta pereka solo dengan jenama masing-masing seperti Carven Ong, Bernard Chan dan JKhan juga tidak ketinggalan. Terdapat juga jenama luar negara dan antarabangsa seperti jam tangan Itali Vebene, Raoul, Roxy & Quicksilver, Parkson dan Harley Davison Ladies Lifestyle membuat persembahan rekaan terbaharu mereka.
MIFW dimulakan dengan pertunjukan puluhan pereka muda dan baharu daripada Yoda. Aksi pembuka tirai tersebut ternyata mendapat sambutan hangat dengan kemunculan muka-muka baharu. Idea bernas dan segar anak-anak muda yang mengimpikan pentas peragaan glamor apabila bergelar pereka fesyen pada masa akan datang, terpancar di wajah masing-masing.
Namun, itu tidak penting. Sebaliknya, hasil kerja komuniti fesyen yang menakjubkan dan semangat kental mereka.
Antara pereka di bawah payung Yoda yang mengambil bahagian ialah Haszerwan, Daniel Arif, Wong Ser U, Shannar, Azfar, Raymond Goh, Fiza Zulkarnain, Fizi Woo, Sane of Molly Shoreditch dan Sharikim Wanderlust.
Pelajar-pelajar fesyen dari institusi pengajian tinggi tempatan juga turut diberikan peluang berkongsi pentas peragaan. Antaranya ialah MIA, TAR College dan Raffles International College.
Menurut Presiden Yoda, Baizura Tazri, persatuannya menjadi platform penting kepada pereka-pereka muda khususnya mereka yang masih menuntut jurusan fesyen di pusat-pusat pengajian tinggi itu mengetengahkan lebih ramai pereka iaitu hampir tiga kali ganda berbanding tahun lalu.
ZAINAL RAHMAN mengekalkan ciri klasik kebaya menerusi koleksi Glory of Kebaya.


Lebih matang
"Ini membuktikan bahawa industri fesyen sedang berkembang pesat di negara ini dan minat masyarakat khususnya anak muda untuk menjadi pereka dan memilih kerjaya berkaitan fesyen sangat luas," katanya ketika ditemui.
Walaupun Yoda baru dua tahun ditubuhkan, menurut Baizura penyertaan daripada pereka menunjukkan kematangan yang agak luar biasa.
Kehangatan pada hari kedua disambut pula oleh BDA yang mengetengahkan 50 pereka. Mereka terdiri daripada barisan pereka bumiputera terkemuka negara seperti Datuk Radzuan Radziwill, Bon Zainal, Salikin Sidek, Rahman Saif, Faizal Hamid dan Iszal Citra.
Sementara barisan pereka muda yang sedang memuncak nama mereka di persada fesyen tanah air hari ini seperti Amir Luqman, Jasmi Rejab, Hazree Wahid, WanPa, Azmeer Versatile, Nazreen Idris, Khairi Sufi, Anizam Yusoff dan ramai lagi tidak menghampakan untuk memukau penonton dengan koleksi segar mereka.
Pereka jemputan, Jovian Mandagie pula memusatkan idea dan kreativiti beliau dengan memberi penghormatan kepada fabrik batik melalui himpunan beliau yang diberikan nama Batik Is My Soul.
Antara yang menjadi tumpuan pada tahun ini dan sepanjang hari tersebut ialah lapan pereka wanita yang mengambil bahagian. Mereka ialah Bella untuk Bella La Belle, Azura Couture, I Luv Wirda, Noni Reynders, Pretty Lulu iaitu jenama mengkhusus kepada perhiasan kepala dan tas tangan malam hasil perekanya Nurulhuda Khairuddin, Sasha Rowena dan Tengku Nadia (SAKU).
Masing-masing kini sedang mengukir nama sebagai pereka beg tangan yang digemari ramai, sementara dua pereka kasut iaitu Zetty untuk Sepatu London.
Jenama kasut tersebut kini sedang rancak dipromosikan dan berpusat di London dan Nelissa Hilman dengan jenama Nelissa Hilman Fine Shoes.
Kayu ukur

ZAMRI (dua dari kiri) wakil daripada akhbar Kosmo! menerima Anugerah Media Terbaik daripada Maglin Dennis D'Cruz.


Bagi memberi peluang kepada mereka yang masih hijau dan pelajar jurusan fesyen di institusi pengajian tinggi, BDA turut membariskan beberapa pelajar jurusan fesyen dari pusat-pusat pengajian tinggi fesyen seperti Akademi Fesyen dan Rekaan Antarabangsa (IFTC), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Politeknik Johor, LimKokWing dan Raffles International College, SML Fashion Academy, Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU) dan Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR College).
lFF yang memilih slot pagi pada hari ketiga turut mempesonakan penonton dengan himpunan busana muslim daripada barisan perekanya seperti Tas Iman, Adnan Hassan, Pink Jambu, RR by Radzuan Radziwill dan Rico Rnaldi. Pada pagi tersebut pusat pengajian fesyen SCCA Fashion Academy turut mempertontonkan beberapa rekaan terkini daripada para pelajar mereka.
Ketua Pegawai Operasi MIFA, Andrew Tan yang berkecimpung dalam arena fesyen melalui agensi peragawati dan pengurus acaranya lebih dua dekad lalu berkata, beliau pada mulanya bimbang mengenai sambutan MIFW 2011 di Zebra Square, Kuala Lumpur.
Namun, menjelang hari pertama MIFW dilancarkan kebimbangannya bertukar menjadi mengujakan kerana sambutan yang amat menggalakkan hampir pada setiap pertunjukan.
"Saya menganggap ini kayu pengukur kepada kekuatan industri fesyen dan semangat masyarakat fesyen dan orang awam terhadap produk fesyen kita. Kalau diperhatikan, lebih seratus pereka tempatan yang terdiri daripada nama-nama besar hinggalah yang baru mengukir nama menyertainya.
"Hanya lebih kurang sepuluh peratus sahaja barangan dari luar. Ini penting untuk memberikan semangat antarabangsa kepada acara tersebut," pintas Andrew yang pernah berkhidmat dengan pelanggan berjenama seperti Chanel, Dior, Valentino, Versace, Ellie Saab, Escada dan pernah berkhidmat dengan Kumpulan Melium seperti YSL, Hugo Boss, Pucci, Tod's, Stuart Weitzman dan Farah Khan.

SELAIN busana, beg tangan turut menjadi perhatian pencinta fesyen yang hadir pada malam MIFW.


Meneruskan tradisi dua tahun lalu, malam gala BDA MIFW 2011 baru-baru ini turut diselitkan dengan penghargaan buat media.
Anugerah Media Terbaik tahun ini berjaya disandang sisipan Stailo daripada akhbar Kosmo! berikutan sokongannya tidak berbelah-bahagi terhadap pereka-pereka tempatan menerusi artikel-artikel yang diterbitkan.
Penolong Pengarang Rencana Kosmo!, Zamri Rambli, mewakili Stailo Kosmo! menerima anugerah penghargaan tersebut yang pertama kali dimenangi sebuah kumpulan akhbar.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...