Monday, November 7, 2011

Takjub gunung berapi aktif



KAWAH Gunung Bromo memuntahkan debu volkanik tebal yang menyebabkan banyak penerbangan di timur Jawa terpaksa dibatalkan.


KIRA-KIRA lapan tahun dulu, penulis menonton filem Pasir Berbisik lakonan Christine Hakim dan Dian Sastrowardoyo. Filem arahan Nan Triveni Achnas itu memberi kesan yang begitu mendalam sehinggakan penulis memasang tekad untuk menjejakkan kaki ke kawasan lokasi filem itu di kaki Gunung Bromo.
Jadi bila diajak teman untuk ke sana baru-baru ini, saya tidak berfikir panjang untuk bersetuju tanpa mengetahui Gunung Bromo sedang aktif meletus sejak November tahun lalu!
Namun, kerana tiket kapal terbang ke Surabaya telah dibeli, penulis dan tiga orang lagi teman, nekad meneruskan perjalanan ke Taman Nasional Bromo Tengger Semeru (Bromo) sambil memujuk hati, inilah masanya melihat gunung berapi meletus di depan mata.
Tidak seperti Gunung Merapi di Yogyakarta, Bromo mengeluarkan abu dan asap dingin, maka zon selamat adalah sekitar dua kilometer persegi berbanding Merapi sekitar 15 kilometer persegi.
Rangkaian gunung berapi
Bromo yang terletak kira-kira empat jam perjalanan berkereta dari Surabaya adalah sebahagian daripada rangkaian pergunungan berapi yang terbentang di sepanjang Pulau Jawa.
Taman nasional itu dinamakan sempena dua gunung ikonik Jawa Timur iaitu Gunung Semeru (tertinggi di Jawa pada 3,676 meter), Gunung Bromo dan orang suku Tengger yang mendiami kawasan itu.
Gunung Semeru, yang juga dikenali sebagai Mahameru (bermaksud gunung besar) adalah antara gunung berapi yang paling aktif di Indonesia.
Gunung Bromo (2,392 m), Gunung Batok (2,470 m), Gunung Kursi (3,392 m), Gunung Watangan (2,601 m) dan Gunung Widodaren (2,600m) pula terletak di atas hamparan permaidani pasir berwarna kelabu seluas 5,290 hektar yang dikenali sebagai Lautan Pasir.
Masuk sahaja ke desa Cemoro Lawang, pintu masuk ke Bromo, penulis dan rakan-rakan merasakan seolah-olah dibawa ke dunia lain. Cuaca ketika itu gerimis dan mendung, begitu muram serta udara diselaputi abu tebal.
Sawah padi, pelbagai tanaman, rumah, sekolah, kuil lama semuanya ditimbus abu tebal. Tetapi jalannya bersih kerana penduduk setiap hari akan menolak abu ke tepi hingga membentuk batas jalan.
Kami tiba sekitar jam 4 petang. Cemoro Lawang seperti kota tinggal. Suasana sunyi sepi. Cuma sesekali kami berselisih dengan lori atau motosikal.
Kenderaan Avanza yang kami sewa terus mendekati orang pertama dan satu-satunya manusia yang kelihatan di situ untuk bertanyakan adakah Bromo selamat dikunjungi. Pak Soetomo namanya.
Beliau menjelaskan, Bromo masih berstatus siaga (berjaga-jaga) namun, kawah Bromo dan Lautan Pasir tidak selamat dikunjungi, tetapi pemandangan kawasan Bromo masih boleh dinikmati dari Gunung Penanjakan.
Kami bersyukur kerana pemandangan terindah dan terbaik kawasan Bromo adalah dari puncak Penanjakan.
Kiamat kecil


PINTU gerbang masuk ke kawasan Bromo kelihatan sepi dan seperti kota yang ditinggalkan.



Pak Lukito, pemandu kami terus membawa kami ke sebuah kawasan yang jaraknya kurang tiga km dari kawah untuk menikmati pemandangan matahari terbenam.
Sejurus turun dari kereta, kami disambut dengan abu halus yang kuat berbau sulfur meskipun memakai topeng pernafasan.
Kedengaran bunyi berderam seperti guruh dan tanah yang kami pijak bergegar yang datang dari arah kawah Bromo.
Pemandangan di sini sukar digambarkan dengan kata-kata. Ia mengingatkan saya kepada foto replika keadaan bumi zaman pra-sejarah (cuma tanpa dinosaur) dan permukaan bulan.
Kagum, takjub dan takut semua bercampur-baur. Meskipun menyeramkan, indah sungguh ciptaan Allah!
Purata setiap 15 minit kawah Bromo akan meletus, diikuti gegaran dan kepul asap coklat, hitam dan putih dilepaskan ke langit.
Kami menghabiskan masa hampir sejam menikmati kebesaran Allah dan ketika hendak memulakan perjalanan mencari penginapan, tiba tiba Bromo meletus dengan kuat.
Tanah bergegar dan keadaan menjadi gelap dan langit tiba-tiba merah kerana dilitupi asap dari Bromo. Tidak keterlaluan dikatakan penulis merasakan seperti berlaku kiamat kecil.
Kelihatan percikan lahar melimpah ke luar kawah. Penduduk tempatan yang berada di sekitar kami berlari menjauhi Bromo, menandakan itu bukan kejadian biasa. Sedangkan kami semua hanya berpandangan dan berzikir di dalam hati.
Malam terpanjang
Untungnya ke sana ketika Bromo sedang aktif kerana semua hotel sekitar Cemoro Lawang sepi dan berkadar murah daripada biasa kerana jumlah pelancong jatuh merudum.
Jadi kami berpeluang untuk menginap di hotel paling mahal dan terhampir dengan Bromo pada kadar RP650 ribu (RM224) semalam untuk kamar keluarga. Bilik itu lengkap air panas, ruang tamu dan dapur kecil.
Bilik yang sama berharga hampir RM400 semalam pada waktu puncak. Suhu di Bromo turun mendadak pada waktu malam dan boleh mencecah -0 darjah Celcius namun, penginapan di Bromo tiada pemanas. Sekalipun berjaket dan berbaju tebal beberapa lapis, sejuknya sampai ke tulang.
Malam itu gemuruh dan dentuman Bromo semakin menjadi-jadi dan sesekali nampak percikan lahar seperti bunga api. Luar biasa dan menginsafkan. Tingkap dan lantai bilik bergegar kerana gempa sepanjang malam. Terasa malam itu adalah malam terpanjang dalam hidup kami.
Puncak Penanjakan


PENULIS berfoto kenangan di tempat tinjau dua, Gunung Penanjakan. Kelihatan jelas di belakang hamparan Lautan Pasir dan kawah Gunung Bromo yang sedang meletus.



Pukul 3.30 pagi, kami berempat bersiap memulakan perjalanan ke puncak Gunung Penanjakan melihat matahari yang terbit jam 5 pagi. Berdasarkan pembacaan di Internet, jip yang disewa sepatutnya membawa kami terus ke lokasi. Rupa-rupanya di Penanjakan terdapat dua tempat tinjau.
Tempat tinjau satu, yang lebih rendah dan popular tidak boleh dilawati kerana perlu melalui Lautan Pasir. Tempat tinjau dua, yang bakal kami kunjungi, lebih tinggi, mencabar dan jip hanya boleh dibawa separuh jalan. Kami perlu mendaki kira-kira 1,000 meter terakhir dengan berkuda.
Empat ekor kuda padi bersama penjaga masing-masing telah pun menunggu di tengah jalan. Tidak ada seorang pun antara kami yang pernah menunggang kuda, apatah lagi menunggang di lereng gunung yang gelap-gelita dan curam.
Tapi ini bukan masanya lagi untuk menyesal. Sekali lagi kami nekad menunggang kuda dan berdoa semoga ini bukan keputusan yang salah.
Separuh jalan seorang teman terjatuh kerana kuda yang ditunggangnya tersandung batu. Mujur penjaga kuda cekap dan berjaya mengawal keadaan.
Selepas setengah jam menunggang, kami berkumpul di kawasan yang agak lapang. Penulis menarik nafas lega memikirkan akhirnya sampai juga tetapi rupanya perjuangan belum selesai. Masih ada 200 meter untuk didaki sendiri!
Negeri di atas awan
Kami tiba di tempat tinjau dua Gunung Penanjakan selepas mendaki cerun bertangga yang licin berbekalkan satu lampu suluh kecil.
Kabus dan debu volkanik yang menusuk mata dan hidung semakin menyeliputi kawasan pergunungan Bromo hinggakan meski pun matahari naik, cuaca masih gelap.
Hanya kedengaran gemuruh dari Bromo dan sesekali ia batuk dan berdentum. Setelah dua jam menunggu kami pasrah dan memulakan perjalanan untuk turun.
Dalam hati terasa bengang kerana pemandangan dari hotel barangkali lebih jelas dan tidak perlu bersusah payah begini.
Seperti memahami kekecewaan kami, tiba-tiba kabus mula bersurai, kawah Bromo dan Gunung Semeru mula kelihatan. Sekali lagi kami terpana dengan keindahan Bromo.
Tidak dapat saya gambarkan dengan perkataan perasaan saya melihat Bromo meletus dengan kepulan asap coklat, hitam dan putih melambung ke udara dengan Gunung Semeru tersergam megah di belakangnya. Terasa seperti berada di negeri atas awan. – Bernama

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...