KUNJUNGAN ke banglo berwarna jingga terang yang terletak di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor, ini disambut haruman menenangkan daripada bungaan segar seperti kesidang, melur dan santalia.
Sementara menunggu kedatangan pemilik, Faredah Abu Bakar, 49, yang tinggal di rumah bersebelahan, penulis sempat membelek hasil ketekunan wanita kelahiran Muar, Johor, itu membina landskap bersandarkan minatnya terhadap hidupan hiasan yang unik.
Antara yang mencuri pandangan ialah pokok paku-pakis hutan setinggi dua meter serta beberapa tumbuhan hiasan berdaun hijau tua.
Berdiri di tengah laman sambil menikmati hembusan angin yang mendinginkan, teratak indah ini bukan untuk didiami keluarga Faredah, sebaliknya dibuka kepada orang awam untuk tujuan inap desa.
Dikenali sebagai Homestay Orange Stripe, penginapan di kediaman bertemakan Asia tropika ini pastinya memberikan kelainan kepada pengunjung.
Tanduk rusa
“Saya sengaja mengecat rumah ini dengan warna jingga terang supaya rona hijau tumbuhan lebih menyerlah, apatah lagi jika disimbah cahaya lampu pada waktu malam,” ujar Faredah.
Memilih batu besar sebagai tema hiasan landskap, ibu kepada lima orang anak ini gemarkan tumbuhan hiasan yang unik dan sukar ditemui di pasaran biasa.
Selain pohon palma yang merimbun, Faredah juga sukakan pokok bunga renek yang dihias ala bonsai serta pelbagai jenis bungaan harum.
“Pokok tanduk rusa ini sudah berbelas tahun saya tanam, daripada selebar dua jari hinggalah sebesar pemeluk,” katanya sambil menunjukkan pokok yang digantung di samping pergola di bahagian tepi kediamannya.
Dengan tanah seluas 600 meter persegi, minat yang mendalam terhadap landskap ala resort ditumpahkan sepenuhnya pada bahagian luar banglo tiga bilik ini.
Baik di hadapan, belakang mahupun di kiri dan kanan kediaman, pengunjung boleh menikmati suasana hijau hasil sentuhan Faredah.
Masih mengekalkan warna jingga di bahagian dalam rumah, pemilik nyata sukakan susun atur perabot yang praktikal. Pilihan utama material sudah tentu kayu.
Paduan warna lantai marmar putih dan rona rustik perabot serta kelengkapan rumah yang lainnya menjadikan elemen hiasan dalaman banglo inap desa ini kemas dan memberi dimensi luas apatah lagi ia digandingkan dengan dinding yang dihias kertas hiasan dua tona.
“Saya sukakan aksesori lama dan perabot kayu. Tidak kisahlah jika ia perabot terpakai.
“Lagi tua perabot itu, lagi tinggi keinginan saya untuk memilikinya,” katanya yang sanggup menukarkan perabot barunya dengan sebuah almari lama dengan seorang pemungut barangan terpakai.
Dilengkapi sebuah televisyen, peti sejuk, perkhidmatan jalur lebar dan dapur terbuka, penginapan di Homestay Orange Stripe ibarat bercuti di rumah sendiri.
Pangkin
“Ramai pelanggan terdiri daripada eksekutif syarikat luar negara yang ditugaskan di sini. Biasanya mereka akan menginap hingga sebulan.
“Antara yang pernah menginap di sini ialah kumpulan eksekutif dari Korea, India, Singapura mahupun Indonesia.
“Pelanggan tempatan pula biasanya menjadikan homestay ini sebagai rumah persinggahan ke majlis perkahwinan atau mereka sedang membuat pengubahsuaian rumah atau sebagainya.
“Orang Korea suka tinggal lebih lama di sini kerana persekitarannya yang tenang dan dikelilingi tumbuh-tumbuhan hijau,” katanya.
Gemarkan suasana santai dan mementingkan pengaliran udara terbuka, Faredah sengaja membina pintu dan tingkap yang besar dan panjang semata-mata mahu pengunjung menikmati suasana ala resort yang diterapkannya.
“Dua daripada tiga bilik mempunyai pintu besar supaya pengunjung boleh buka dan nikmati pemandangan taman di hadapan mereka,” ujarnya.
Tidak menyediakan khidmat penyajian makanan, pengunjung boleh memasak atau mengadakan parti barbeku di halaman belakang rumah.
“Saya sengaja bina dapur di luar kerana mahu penginap makan secara santai di pangkin di belakang rumah. Jika lebih ramai, tentu suasana lebih meriah,” tuturnya.
Dengan harga serendah RM300 untuk satu malam meliputi seluruh kawasan rumah dan halamannya, Faredah masih boleh memberikan harga istimewa jika pelanggan bercadang menginap lebih lama.
No comments:
Post a Comment