LOS ANGELES - Penyanyi Shakira menjadi artis Colombia pertama yang menerima bintang Hollywood Walk of Fame Selasa lalu, sekali gus mengikut jejak langkah penyanyi terkenal lain seperti Ricky Martin dan Christina Aguilera yang mendapat pengiktirafan tersebut.
"Saya ingin mendedikasikan kejayaan ini kepada komuniti Latin di Amerika Syarikat (AS). Mereka ialah komuniti yang tidak pernah penat bekerja dan bermimpi setiap hari untuk menjadikan AS negara yang lebih baik," kata Shakira sambil dikelilingi oleh para peminatnya di jalan Hollywood Blvd.
Shakira yang berusia 34 tahun mencipta populariti di Latin Amerika pada tahun 1990-an menerusi album Pies Descalzos, selain single seperti Donde Estas Corazon dan Estoy Aqui.
Album keduanya, Donde Estan Los Ladronesmencatat kejayaan di peringkat antarabangsa dengan single seperti No Creo dan Ojos Asi yang diinspirasikan daripada muzik Arab.
Penyanyi Latin itu kemudian menghasilkan album Inggeris bertajuk Laundry Service, sama seperti yang dilakukan oleh artis lain termasuklah Enrique Iglesias dan Martin yang tampil dengan album bahasa Sepanyol dan Inggeris.
Lagu Whenever, Wherever, nyanyiannya pernah menguasai carta banyak negara Eropah, manakala versi Sepanyol memenangi anugerah Latin Grammy.
"Ketika saya berusia tujuh tahun dan datang ke Los Angeles buat pertama kali, saya melintasi jalan Walk of Fame bersama ibu. Saya masih ingat ibu berkata: Shaki, satu hari nanti nama awak akan ada di sini," katanya. - Reuters
No comments:
Post a Comment