Monday, November 21, 2011

Renang berirama negara kuasai kolam Jakabaring


ATLET renang berirama negara bergambar bersama pingat emas yang dimenangi dalam acara rutin bebas berpasukan di Kolam Renang Stadium Jakabaring, Palembang semalam.

PALEMBANG - Skuad renang berirama semakin menghampiri cita-cita untuk menyapu bersih pingat emas pada Sukan SEA 2011.
Pada hari kedua acara ini semalam, skuad negara berjaya meraih pingat emas ketiga dan keempat.
Selepas memenangi dua emas pertama kelmarin menerusi acara duet dan berpasukan rutin teknikal, Malaysia tidak memberi peluang kepada negara lain dengan mendominasi pula acara duet dan berpasukan rutin bebas semalam.
Gandingan Katrina Ann Abdul Hadi dan Png Hui Chuen terus menjadi sumber inspirasi buat rakan sepasukan lain dengan meraih emas ketiga mereka pada temasya ini menerusi acara duet rutin bebas.
Katrina-Hui Chuen (76.051) yang menerima tentangan sengit, menewaskan pasangan duet Singapura (72.476) di tempat kedua dan Indonesia (71.563), ketiga.
Kedua-dua mereka kemudian turun sekali lagi bergandingan dengan Emanuelle Mah, Lee Yhing Huey, Lee Zhien Huey, Mandy Yap, Tan May Mei dan Yeo Pei Ling untuk menguasai acara berpasukan.
Gandingan lapan perenang itu yang mengumpul 75.825 mata berjaya menewaskan pasukan tuan rumah, Indonesia (73.925 mata) di tempat kedua dan Thailand (72.113 mata), ketiga.
Pengurus pasukan, Siu Wai Leng berkata, selepas kesemua empat emas yang sudah dipertandingkan dikuasai sepenuhnya skuad negara, pihaknya mula mengintai untuk menyapu bersih kesemua enam emas yang dipertandingkan.
"Esok (hari ini) ada dua lagi acara terakhir. Harap jika kita dapat kekalkan momentum, semua emas boleh jadi milik kita.
"Apa yang penting adalah mengelak daripada melakukan kesilapan sahaja," katanya.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...