Baru-baru ini GUA dijemput oleh pelakon Esma Daniel untuk menghadiri majlis doa selamat dan penggambaran hari pertama filem sulung arahannya, ‘Zaiton Ceritaku’ di Batu 8, Ijok, Bestari jaya, pada Sabtu lalu. Filem biografi terbitan Bruang Filem Sdn Bhd ini mengisahkan tentang penyanyi terkenal era 80-an, Zaiton Sameon.
Ketika penggambaran sedang dilakukan, Zaiton Sameon melakukan kejutan istimewa apabila hadir di lokasi penggambaran filem tersebut. Walaupun tidak berapa sihat selepas terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa anaknya pada tahun 1990, namun GUA boleh lihat darah seni yang mengalir dalam diri empunya badan masih kuat lagi.
Pantang mendengar muzik, pelantun lagu, ‘Kabut Serangkai Mawar’ ini asyik mahu menyanyi saja. Zaiton sempat juga menghiburkan penduduk kampung di situ dengan beberapa buah lagu termasuk lagu popularnya, ‘Menaruh Harapan’ . GUA sempat menemubual pemenang Anugerah Juara Lagu 1987 ini untuk bertanyakan tentang perkembangan dirinya sekarang.
“Syukur, Alhamdulillah, saya sihat saja dan masih mampu menyanyi. Saya kerap dapat ‘show’ dan kini tinggal bersama anak angkat saya di Kuala Lumpur. Kalau ada masa, saya juga selalu berkaraoke,” ujar Zaiton ketika ditemui baru-baru ini.
Apabila ditanya tentang pemilihan Nadia Aqilah untuk melakonkan wataknya dalam filem ‘Zaiton…Ceritaku’, Zaiton menjawab, “Saya terharu kerana ada yang sudi buat filem tentang saya. Saya suka Nadia. Cara dia bercakap spontan dan nyanyian dia pun bagus juga.
“Tapi saya belum tengok habis lagi lakonan dia, jadi tak boleh nak komen banyak lagi. Apa-apapun, kepada Nadia, buat yang terbaik. Saya harap awak boleh menjiwai watak saya dengan baik,” jelasnya mengakhiri perbualan.
@gua.com.my
No comments:
Post a Comment