Saturday, October 22, 2011

Santai di Impian Morib



PENGINAPAN jenis calet sesuai bagi mereka yang inginkan suasana privasi.


SEJAK dahulu lagi, Morib menjadi satu aset penting kepada daerah Kuala Langat. Terletak kira-kira satu jam setengah pemanduan berkereta dari Kuala Lumpur, tidak hairanlah ia sering menjadi tumpuan pengunjung yang mahu melarikan diri seketika daripada kehidupan kota.
Popularitinya tidak terhad sebagai pusat perkelahan keluarga seperti yang ditawarkan di Pantai Morib, Pantai Kelanang, Pantai Tanjung Rhu dan Pulau Carey.
Pengunjung juga boleh memilih untuk melawat Bukit Jugra yang menyimpan pelbagai nilai dan kesan sejarah Kesultanan Melayu Selangor satu ketika dahulu.
Bagi yang ingin bermalam di sini namun, tercari-cari lokasi penginapan yang sesuai, apa kata berkunjung ke Hotel Impian Morib.
Bertaraf tiga bintang, hotel yang dibuka sejak tahun 2005 itu pastinya memberikan keselesaan yang diinginkan.
Sebaik menjejakkan kaki, pengunjung akan disambut mesra oleh petugas hotel yang murah dengan senyuman.
Elemen tradisional Melayu yang dijadikan tema dekorasinya menyejukkan pandangan mata.
Secara keseluruhan hotel itu menawarkan 60 bilik dari jenis superior dan deluxe. Bagi yang inginkan suasana yang lebih privasi, terdapat 20 penginapan jenis calet yang boleh dijadikan pilihan.

HOTEL Impian Morib sesuai menjadi persinggahan tetamu yang bertandang di Kuala Langat.


Menariknya pengunjung boleh memilih sama ada mahu menikmati pemandangan kehijauan flora dan fauna, kolam renang atau lautan yang terbentang luas setiap kali menjenguk ke luar pintu atau balkoni masing-masing.
Ruang biliknya tampak sederhana dan ringkas namun, tetap memberi keselesaan yang diinginkan umpama berada di rumah sendiri.
Kemudahan asasnya juga lengkap dengan penghawa dingin, kemudahan membuat teh dan kopi, telefon, jalur lebar Internet, televisyen satelit, air panas dan peti ais mini.
Menariknya, hotel itu mempunyai kolam renang yang luas dan besar. Ruang di sekeliling kolam renang juga boleh digunakan untuk majlis-majlis keraian dan barbeku.
Bagi pengunjung yang ingin beriadah, terdapat beberapa kemudahan yang disediakan di sini. Antaranya gimnasium, padang permainan, gelanggang bola tampar pantai, ping pong dan permainan dalaman.
Kedudukannya yang hanya beberapa meter dari Pantai Morib juga membolehkan pengunjung bermandi-manda atau sekadar bersantai sambil melihat panorama matahari terbenam.

KOLAM renang yang luas membolehkan pengunjung bebas bermandi-manda.


Bagi peminat-peminat golf pula, bolehlah berkunjung ke Sri Morib Golf Club yang terletak berhampiran. Malah, pihak hotel juga bersedia menawarkan beberapa aktiviti seperti menyelusuri sungai, lawatan atau memancing di laut berdasarkan permintaan.
Jika mahu menjamu selera, berkunjunglah ke Restoran Temasya yang terletak berhampiran lobi. Ia mampu memuatkan kira-kira 100 pengunjung pada satu-satu masa sambil menyediakan pelbagai hidangan Barat dan tempatan yang enak pada harga berpatutan.
Lebih penting, pengunjung juga tidak perlu risau akan statusnya kerana ia mempunyai sijil perakuan halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Hotel Impian Morib juga menawarkan kemudahan bagi agensi-agensi kerajaan atau syarikat korporat yang mahu mengadakan kursus, seminar, mesyuarat atau hari keluarga.
Terdapat empat dewan yang boleh dipilih iaitu Kelanang, Jugra, Bayu dan Sri Morib yang mampu memuatkan antara 40 hingga 220 peserta. Setiap satu lengkap dengan kemudahan bersidang seperti sistem pembesar suara, mikrofon dan skrin.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...