Saturday, October 22, 2011

Fesyen dan makanan magnet San Francisco



NOLI memilih California sebagai negeri pilihan jika dapat berhijrah ke AS.

SAN FRANCISCO merupakan sebuah kota yang penuh dengan restoran dan kafe menghidangkan masakan dari seluruh dunia. Malah, masyarakat di Amerika Syarikat (AS) sendiri mengakui mereka sering berkunjung ke San Francisco atau ringkasnya disebut San Fran yang terletak di California untuk menjamu selera.
Kewujudan restoran Itali yang banyak di bandar raya berkenaan menyebabkan wujudnya kawasan yang dipanggil Little Itali. Restoran lain yang terdapat di San Francisco termasuklah restoran Turki, restoran makanan Arab, Vietnam serta restoran makanan Cina di sebuah kawasan yang dipanggil Chinatown.
Chinatown di sini mungkin tiga kali ganda luasnya berbanding kawasan membeli-belah Petaling Street di Kuala Lumpur. Pelbagai barangan menarik dijual di Chinatown termasuklah jaket dan baju T bertulis San Francisco, rambut palsu pelbagai gaya dan warna bagi mereka yang meminati fesyen dan pelbagai cenderamata unik.
Restoran terbaik
Rangkaian kafe The Cheesecake Factory pula menghidangkan kek keju pelbagai perisa, pasta dan piza bagi mereka yang gemarkan manisan dan hidangan yang ringkas.
Seorang penduduk San Francisco memberitahu, restoran yang ingin beroperasi di San Francisco perlu memastikan hidangan mereka berkualiti dan lazat. Persaingan begitu sengit dan restoran yang didapati tidak menjaga kualiti menghadapi risiko gulung tikar dalam waktu yang singkat.
Bagi rakyat Malaysia yang mungkin terlalu rindukan nasi atau hidangan kedai mamak ketika berada di bandar raya itu, mereka boleh menjamu selera di restoran-restoran makanan Pakistan yang menghidangkan nasi beriani, capati dan roti nan.
Jika ingin mendapatkan makanan pada harga yang lebih murah berbanding di restoran, terdapat gerai-gerai kecil yang menjual pelbagai pilihan hot dog dan sandwic. Pengunjung boleh duduk di bangku-bangku yang disediakan di tempat-tempat awam untuk menikmati makanan.
Namun, dalam keghairahan membeli-belah dan menjamu selera pengunjung perlu sedar bahawa caj perkhidmatan dikenakan ke atas setiap barangan. Cukai perkhidmatan yang dikenakan adalah sebanyak 9.5 peratus. Selain itu pemberian tip sebanyak 15 peratus daripada jumlah keseluruhan bil juga digalakkan di restoran atau di hotel-hotel.
Masyarakat San Francisco atau AS umumnya memang gemar menghabiskan masa berbual di kafe-kafe. Difahamkan terdapat hampir 100 buah kafe Starbucks di San Francisco sahaja. Setiap pagi Starbucks biasanya penuh
Sesak dengan golongan pekerja yang membeli kopi untuk dibawa ke tempat kerja masing-masing.
Selain dikenali sebagai kota makanan, San Francisco turut dikenali sebagai kota fesyen yang menjadi tumpuan selepas New York. Bandar raya ini juga merupakan tempat lahir bagi jean jenama Levi's.

SAN FRANCISCO menjadi salah satu daripada hab utama fesyen di AS selepas New York.


San Francisco menempatkan pejabat pengurusan jean jenama Levi's yang dikenali sebagai Levi's Plaza. Pengunjung boleh mendapatkan pelbagai barangan Levi's di bawah satu bumbung di gedung-gedung Levi's yang terdapat di seluruh bandar raya ini.
Gedung lain yang terdapat di San Francisco termasuklah Nike Town yang menjual pelbagai pakaian sukan dan kasual jenama Nike. Tidak ketinggalan butik Victoria's Secret di mana pengunjung boleh mendapatkan pakaian, haruman dan alat solek jenama tersebut.
Berjalan kaki menyusuri deretan kedai dan jalan raya yang begitu sibuk di San Francisco penulis mendapati bandar raya berkenaan mempunyai begitu ramai masyarakat asing terutamanya mereka yang berketurunan Cina, Pakistan dan Asia Barat. Kebanyakan daripada mereka bekerja di premis-premis perniagaan dan restoran.
Ada juga antara mereka yang bekerja secara profesional seperti peguam. Kebanyakan mereka adalah generasi kedua imigran atau dibawa berhijrah ke AS oleh ibu bapa ketika masih kanak-kanak.
Terdapat warga asing yang hanya menjadi peniaga kecil seperti menjual topi dan sarung tangan di kaki-kaki lima.
Jambatan Golden Gate
Jambatan Golden Gate merupakan identiti bandar raya San Francisco dan dikatakan antara jambatan yang tercantik di dunia. Keunikan jambatan berkenaan adalah tiang menara berwarna merah yang tersergam indah serta kabel yang disusun dengan gaya tersendiri.
Jambatan berkenaan merentasi Selat Golden Gate yang menghubungkan San Francisco dengan Lautan Pasifik. Ia menghubungkan bandar Raya San Francisco dengan daerah Marin di California, AS.
Pada waktu malam, lampu-lampu yang menghiasi jambatan berkenaan menjadikan jambatan tersebut begitu indah.
Jambatan berkenaan mula dibina pada tahun 1933 dan siap pada 1937. Panjang jambatan tersebut adalah lebih 2.7 kilometer dengan enam lorong untuk kenderaan bergerak di kedua-dua hala.
Jambatan Golden Gate biasanya sibuk ketika musim panas. Sejak dulu lagi keindahan jambatan berkenaan sering dipaparkan dalam filem-filem Hollywood dan program televisyen terbitan AS.

PIER 39 merupakan kawasan pusat beli-belah, restoran, pusat arked video, persembahan jalanan dan Pusat Marin Mammal.


Dipercayai beribu-ribu orang membunuh diri dengan terjun dari jambatan ini. Ia dikatakan lokasi bunuh diri yang utama di AS dan di dunia.
"Mereka biasanya mengambil bas atau teksi ke jambatan tersebut. Polis sering menemui kereta sewa yang ditinggalkan berhampiran jambatan," demikian kata seorang warga AS sewaktu membawa penulis ke jambatan tersebut.
Alcatraz
Alcatraz merupakan satu lagi ikon San Francisco. Ia terletak kira-kira 2.4 kilometer dari pantai San Francisco Bay. Pada asalnya rumah api dibina di pulau berkenaan dan kemudiannya digunakan sebagai penjara sehingga tahun 1963.
Pada tahun 1969, pulau berkenaan didiami oleh sekumpulan aktivis India Amerika dari San Francisco. Namun selepas tahun 1972, Alcatraz menjadi kawasan rekreasi dan diiktiraf sebagai warisan negara pada tahun 1986.
Kini Alcatraz menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia. Untuk melawat Alcatraz pengunjung perlu menaiki feri dari Fisherman Wharf. Alcatraz banyak ditonjolkan dalam dokumentari dan filem terbitan AS. Namun, ada juga cerita-cerita seram dan kononnya Alcatraz berhantu.
Memandangkan penulis menyertai pakej makan malam di atas kapal, ketika menghampiri Alcatraz hari sudah semakin gelap. Justeru kami tidak berpeluang menjejakkan kaki di Alcatraz. Penulis hanya dapat meninjau Alcatraz dari atas feri. Namun kesan-kesan penjara lama tetap jelas kelihatan.
Jika perancangan untuk berhijrah ke AS menjadi kenyataan, California pasti menjadi negeri pilihan untuk menetap kerana dua tarikan utama bandar rayanya iaitu fesyen dan makanan.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...