Wednesday, October 5, 2011

Mahyuddin: Kerajaan Akui Negara Pernah Dijajah


KUALA LUMPUR: Kerajaan tegas berpendirian Tanah Melayu pernah dijajaholeh British berdasarkan kepada prinsip dan fakta mengenai perjuangan menuntut kemerdekaan oleh wira terdahulu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keterbatasan tindakan dan keputusan Raja-raja Melayu ketika era sebelum merdeka secara jelas membuktikan Tanah Melayu dijajah oleh British.
"Kita belajar subjek Sejarah...dan kita tahu penasihat British yang ada di Tanah Melayu ketika itu memberi nasihat kepada Raja-raja Melayu dan dalam konteks itu nasihat-nasihat berkenaan perlu diterima.
"Walaupun ada raja, tapi kita tidak bebas...kita terpaksa ikut arahan mereka dan sebab itu juga wujudnya perjuangan bagi menuntut kemerdekaan.
"Jadi kita mengambil pendirian bahawa negara ini pernah dijajah walaupun ada pihak yang memberikan pandangan yang bertentangan," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) yang ingin mengetahui pendirian kerajaan sama ada negara ini pernah dijajah ataupun tidak.
Polemik berhubung isu berkenaan timbul apabila Majlis Profesor Negara (MPN) membuat kesimpulan bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah.
Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya MPN, Prof Datuk Zainal Kling menegaskan Tanah Melayu tidak pernah dijajah sebaliknya hanya dilindungi pihak British dengan meletakkan negeri-negeri Melayu di bawah kekuasaan Pejabat Tanah Jajahan.
Walaubagaimanapun Muhyiddin berkata isu berkenaan tidak seharusnya terus diperdebatkan hingga boleh mengelirukan rakyat kerana pada dasarnya semua pihak memahami sejarah kemerdekaan negara.
"Ia tak perlu diperdebatkan lagi kerana rakyat sudah tahu. Selain itu adakah sambutan kemerdekaan setiap tahun adalah sia-sia?
"Tentulah tidak kerana kita tahu negara kita pernah dijajah," katanya.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...