KUALA LUMPUR – Fizo Omar antara artis tempatan yang bertuah kerana mendapat geran bantuan berjumlah RM200,000 daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi memperluaskan perniagaan serunding yang dijalankannya baru-baru ini.
Menurut pelakon berusia 26 tahun ini, dia juga akan menggunakan duit daripada bantuan itu dalam beberapa lagi projek perniagaannya selain masih terus aktif berlakon drama dan filem sebagai salah satu sumber pendapatan yang dapat menjamin masa depannya.
“Sampai bila saya mahu berlakon? Jadi sebagai persiapan masa depan, saya mahu terbabit dalam perniagaan termasuklah dengan membuka restoran makanan Thai pada masa depan. Saya akan menggunakan duit bantuan itu bagi mempelbagaikan lagi perniagaan saya.
“Contohnya, buat masa ini, saya sedang menulis sebuah buku masakan yang menyediakan menu-menu masakan Thai di mana 90 peratus sudah pun siap. Buku itu akan diterbitkan oleh Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd. Dalam waktu terdekat ini,” katanya sewaktu ditemui kelmarin.
Dia merupakan salah seorang daripada kira-kira 10 artis termasuklah penyanyi, pelakon, pengacara dan ahli sukan yang terpilih mendapat bantuan itu yang bertujuan membantu bakal-bakal usahawan muda yang mahu memperluaskan kerjaya mereka dalam bidang perniagaan.
Jelas pelakon filem Kongsi yang mengaut kutipan tiket RM8.4 juta itu baru-baru ini, selain berlakon dia amat meminati bidang masakan sejak dari kecil yang dipelajarinya daripada ibunya serta saudara maranya yang ramai bekerja sebagai chef di hotel-hotel ternama.
“Biasanya kalau tidak ada penggambaran drama atau filem saya akan pergi ke pasar dan membeli barangan basah dan memasaknya di rumah. Memasak memang hobi saya sejak dulu lagi. Kalau berada di rumah ibu saya memang memberikan tugas memasak kepada saya,” ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment