
Sana sini, hangat memperkatakan tentang muzikal The Secret Life of Nora yang sedang dan masih ditayangkan di Istana Budaya sehingga 22 Oktober ini.
Selain watak agen perisik Nora lakonan Datin Seri Tiara Jacquelina, Murai Batu difahamkan juga ramai yang memuji melambung tinggi watak Khatijah lakonan Adibah Noor.
Ramai yang menyifatkan, Adibah Noor kelakar habis.
Dia sungguh bersahaja dalam memainkan wataknya sehingga berjaya membuatkan tetamu yang pernah menyaksikan pementasan itu, termasuk Yang Di-Pertuan Agong, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Mizan Zainal Abidin besama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah tak kering gusi menyaksikannya.
Murai Batu juga telah bersekesempatan menonton muzikal berkenaan dan babak yang paling mencuit hati sekali ialah babak terbang Adibah Noor bersama-sama Tony Eusof di akhir pementasan berkenaan. Memang tergelak hingga tak ingat dunia.
Walau apapun bukan soal babak terbang-terbang yang ingin Murai Batu sentuh di sini, tetapi kesungguhan Adibah Noor dalam menjayakan wataknya sehingga sanggup membayar menggunakan wang sakunya sendiri untuk keseluruhan pakaian yang dipakainya pada pementasan itu.
Murai Batu di fahamkan, Adibah Noor telahpun mengupah seorang pereka fesyen popular tempatan yang sememangnya rapat dengannya sejak beberapa tahun lalu, untuk menyiapkan beberapa pasangan pakaian untuk persembahannya itu.
Tak perlulah Murai Batu beri tahu berapa nilai wang saku yang telah dibelanjakan Adibah Noor, tapi cukuplah jika Murai Batu beritahu bahawa nilai yang dibelanjakannya bukanlah murah. Apatah lagi pereka fesyen berkenaan sangat popular pada masa sekarang.
Ini bukan soal Adibah Noor sombong atau tidak mahu memakai langsung pakaian yang telah disediakan oleh pihak produksi, tapi sebagai pelakon berpengalaman dan mementingkan kesempurnaan, dia juga berhak membuat pilihan untuk tampak menarik di atas pentas.
Nah! Lihat lah saja hasilnya. Dia berjaya buktikan, bahawa fizikal 'plus size' yang dimilikinya bukannya penghalang untuk tampak menarik di sisi agen jelita Nora dan anak-anak buahnya yang lain.
Murai Batu faham dengan keadaan Adibah Noor. Sebab bukan semua orang boleh melahirkan sebuah rekaan baju yang tampak menarik lagi bergaya untuk individu 'plus size' seperti Adibah Noor. Jadi solusinya ialah dengan mencari tukang jahitnya sendiri.
Apa yang Murai Batu nampak di atas pentas, ternyata Adibah sangat selesa ke hulu ke hilir dengan pakaian yang disediakan oleh pereka fesyennya sendiri. Mungkin itu jugalah rahsia, mengapa wataknya sangat berjaya menambat hati ramai penonton.
@murai.com.my
No comments:
Post a Comment