Sunday, August 7, 2011

Uniknya konsert rakyat Hattan



KESUNGGUHAN Hattan seagai pengelola Konsert Rakyat seharusnya dipuji.
UDARA malam itu dingin. Bertemankan bayu desa yang masih berbaki bunga hujan, kelam malam di Kampung Dadong, Air Putih, Kemaman tiba-tiba bertukar wajah.
Tepian sawah kampung yang sebelum ini barangkali ada sekelompok anak muda atau penduduk desa yang bertenggek melepaskan lelah di saing hari, juga sudah bertukar menjadi tapak karnival. Menjelang Jumaat, 1 Ogos lalu, jalan di sekitar kampung sesak dibanjiri orang. Bukan sahaja dari Kampung Dadong bahkan didatangi beribu-ribu penduduk dari kampung-kampung bersebelahan.
Masing-masing datang membawa tikar. Ada tikar mengkuang ada juga tikar plastik sebagai alas duduk agar tidak miang sekadar berlapikkan jerami padi yang masih lembap.
Ucapan terima kasih harus diberikan kepada penduduk Kemaman kerana meraikan kedatangan rombongan penyanyi dari ibu kota dengan hati terbuka.
Selaku teraju yang mengepalai malam pesta itu, Hattan mampu tersenyum lebar, bak sawah yang terbentang jua dada lega melihat kehadiran penduduk segenap peringkat umur berhimpun untuk menyaksikan Konsert Rakyat pada malam berkenaan.

KEMUNCAK konsert. Semua artis terbabit berkongsi pentas menghiburkan hampir 10,000 penduduk yang hadir.


Konsert itu diadakan sempena Karnival Emping 2011 yang julung-julung kalinya diadakan bagi mempromosi aktiviti rakyat termasuk pesta mengemping yang semakin pupus kini.
Membawa segerombolan nama popular termasuklah Ramli Sarip, Zarina AF, Lena AF9, Rudy manakala Yus Maharaja dan Achong yang bertindak sebagai pengacara.
Lebih bermakna kepada hampir 10,000 penonton apabila para artis turut 'berselut' untuk menjayakan konsert dalam bendang yang tidak pernah dibikin sebelum ini.
"Tujuan saya memilih sawah sebagai tapak konsert adalah untuk mengingatkan artis, bahawa tanah sawah inilah yang menjadi punca rezeki penduduk Kampung Dadong malah ada antara kami (artis) juga berasal dari kampung," laung Hattan dari pentas yang dibina atas petak sawah yang baru ditunai padinya.
Membuka tirai konsert, Lena muncul dengan beberapa buah lagu tapi memandang auranya belum meresap di mata penduduk kampung, sepanjang Lena di pentas, penduduk seperti tertunggu-tunggu sesuatu yang lebih gempak.

RAMLI SARIP tetap memukau semua penonton dengan seleksi lantunannya termasuklah lagu berhantunya, Kamelia.


Barangkali itulah kali pertama buat penduduk di situ melihat sendiri keletah Yus bersama Achong yang secara natural menggelikan hati sebelum artis-artis seperti Zarina AF, Hattan sendiri dan Ramli Sarip mengambil bahagian melontarkan alunan dan muzik mereka.
Selain Konsert Rakyat yang menjadi acara kemuncak karnival berkenaan, artis-artis yang bertandang ke Kampung Dadong juga terlibat dalam acara sukan rakyat termasuk berakit, pertandingan mengemping padi, menangkap ikan, perlawanan futsal serta klinik gitar.
Menurut penduduk tempatan, pesta mengemping ibarat acara tahunan yang ditunggu-tunggu para pesawah. Lebih menarik lagi, pesta itu juga menjadi medan kepada para pemuda kampung untuk mengintai calon isteri.
Tapi pada karnival yang dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada Jumaat, 29 Julai itu, Karnival Emping 2011 sebaliknya bertujuan mendekati hati nurani rakyat serta menyeru agar saling bersatu hati dalam setiap corak kehidupan yang dilalui.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...