LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish mengakui barisan pemain baharunya masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri bersama skuad The Reds itu.
Empat daripada lima muka baharu yang dibawa masuk Dalglish diturunkan dalam kesebelasan utama ketika Liverpool sekadar seri 1-1 pada aksi sulung menentang Sunderland dalam saingan Liga Perdana England kelmarin.
Musim ini, Dalglish telah membelanjakan sebanyak £50 juta (RM244.3 juta) untuk membawa masuk lima muka baharu ke Anfield dalam usaha memantapkan kembali juara Eropah sebanyak lima kali itu.
Matlamatnya hanya satu - Liverpool perlu kembali berada dalam kelompok empat kelab terbaik liga domestik.
Bagaimanapun, Dalgslih tidak mahu terlalu mendesak pemain-pemain baharunya iaitu Stewart Downing, Charlie Adam, Jose Enrique dan Jordan Henderson kerana percaya mereka memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.
“Ia merupakan suatu yang sukar apabila buat pertama kalinya beraksi di Anfield terutamanya Enrique yang hanya menandatangani kontrak bersama kami (Liverpool) kelmarin (Jumaat).
“Pada awalnya, kami tidak mahu menurunkan Enrique, tetapi kami tidak mempunyai pilihan selepas Fabio Aurelio mengalami masalah kecederaan minggu lalu.
“Ia memang sukar untuk menemui rentak permainan sebenar kami hanya selepas 24 jam bersama pasukan.
“Namun, pemain-pemain baharu yang diturunkan telah memberikan persembahan terbaik mereka dan kami gembira dengan aksi mereka pada perlawanan menentang Sunderland ini,” kata Dalglish.
Pada aksi di Anfield semalam, Liverpool terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi penyerang Uruguay, Luiz Suarez seawal minit ke-12 sebelum Sebastian Larsson menyamakan kedudukan buat Sunderland pada minit ke-57.
Mengulas lanjut aksi anak-anak buahnya itu, Dalglish berkata: “Meskipun Pepe Reina (penjaga gol Liverpool) tidak banyak diuji, tetapi keputusan seri adalah suatu yang positif buat kami.
“Kami mungkin memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol dan peluang terbaik menerusi Andy Carroll yang mana mampu mengubah keputusan menjadi 2-0, tetapi tuah tidak menyebelahi kami.
“Sunderland beraksi dengan baik dan bekerja keras bagi mengekang asakan kami dan mereka berhak untuk membawa pulang satu mata,” kata Dalglish. – AFP
No comments:
Post a Comment