Monday, August 15, 2011

Cai Lin masih ada sebab gembira



CAI LIN menampilkan renangan bertenaga dalam acara 800m gaya bebas pada temasya Sukan Universiade 2011 di Pusat Akuatik Universiade pagi semalam.


SHENZHEN - Meskipun gagal memperbaiki rekod peribadi, perenang negara, Khoo Cai Lin tetap berpuas hati dengan pencapaiannya dalam acara 800 meter gaya bebas wanita pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2011.
Cai Lin, 24, berkata, catatan masa 8 minit dan 52.00 saat yang dilakukan di Pusat Akuatik Universiade pagi semalam, lebih baik daripada pencapaiannya di Shanghai, China bulan lalu.
Pada Kejohanan Renang Dunia itu, Cai Lin mencatatkan masa 8:57s dalam acara yang sama.
"Saya rasa sangat gembira kerana prestasi saya hari ini (semalam) lebih baik daripada apa yang saya lakukan di Shanghai dua minggu lalu.
"Daripada tiga saringan pertama hari ini (semalam), saya berjaya menduduki tempat kelima keseluruhan," kata perenang kelahiran Selangor itu ketika ditemui di Pusat Akuatik Universiade pagi semalam.
Untuk rekod, catatan masa peribadi terbaik dan juga rekod kebangsaan milik Cai Lin dalam acara 800m gaya bebas adalah 8:45s yang dilakukannya pada temasya Sukan SEA 2009 di Laos.
Pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia ke-54 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil pada Mei lalu, Cai Lin berjaya mencatat masa 8:49.28 saat.
Cai Lin berkata, dia masih mampu mempamerkan aksi yang cemerlang meskipun terpaksa berdepan pencabar yang berbeza berbanding ketika menyertai Kejohanan Dunia bulan lalu.
Hari ini, Cai Lin akan meneruskan saingan dalam acara 400m sebelum melengkapkan renangan dalam acara 200m gaya bebas pagi esok.
Pada masa yang sama, Cai Lin mengakui, dia masih mengintai peluang untuk beraksi pada Sukan SEA 2011 di Indonesia, November depan.
"Setakat ini, saya belum pasti akan beraksi dalam acara ini (800m gaya bebas) pada Sukan SEA 2011. Sepatutnya, atlet yang menduduki dua tempat teratas pada Sukan SEA sebelum ini, layak untuk menyertainya.
"Kalau boleh, saya mahu menyertai temasya itu kerana saya mahu mempertahankan pingat perak yang dimenangi di Laos lalu," katanya.
Sebelum ini, Cai Lin berkata, penampilannya di Shenzhen sangat penting untuk dia meningkatkan prestasi, sekali gus menempah tiket ke Sukan Olimpik 2012 di London.

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...