KUALA LUMPUR — Permulaan kes pembelaan ditangguh lagi hari ini, tetapi Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi keterangan bela diri pada 22 Ogos untuk menjawab tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Perbicaraan kes itu ditangguhkan hari ini bagi membolehkan pihak pembelaan menemu bual enam lagi saksi.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah bagaimanapun menjelaskan kepada pihak pendakwaan dan pasukan pembelaan di kamarnya, apa jua keputusan daripada temu bual enam saksi berkenaan, perbicaraan akan diteruskan pada hari itu.
Peguam Anwar, S.N.Nair yang memohon penangguhan itu memberitahu mahkamah pihak pembelaan telah menemu bual 19 saksi yang berpotensi untuk dijadikan saksi dan mahu menemu bual enam lagi saksi yang bakal diuruskan.
Enam saksi itu termasuk bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan dua amah warganegara Indonesia.
Nair juga memberitahu mahkamah pihak pembelaan telah menyerahkan senarai saksi yang dicadangkan untuk dipanggil. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan bilangan saksi yang akan dipanggil.
Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, yang mengetuai pasukan pendakwaan, memberitahu mahkamah mereka akan membantu pihak pembelaan untuk menemu bual saksi selebihnya pada minggu ini.— Bernama
No comments:
Post a Comment