Wednesday, November 30, 2016

Trump dakwa pilihan raya dicemari pengundi haram


AP - GAMBAR fail menunjukkan Trump berdepan dengan Clinton dalam perdebatan di Universiti Washington di St. Louis pada 9 Oktober lalu.

WASHINGTON – Bakal Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa beliau boleh memenangi undi popular jika tidak terdapat jutaan pengundi haram semasa pilihan raya Presiden 8, November lalu.
Beliau pada masa yang sama membidas permohonan pengiraan semula undi di Wisconsin dengan menyatakan itu sebagai membuang masa.
Trump juga mengeluarkan kenyataan pedas di Twitter yang meminta calon Parti Demokrat, Hillary Clinton menghormati jumlah undi elek­toral yang dimenanginya.
“Selain memenangi majoriti undi elektoral, saya juga boleh memenangi undi popular jika anda menolak jutaan orang yang mengundi secara haram,” ujar Trump.
Beliau pernah memberi amaran sebelum pilihan raya bahawa keputusan mungkin ‘telah dirancang’ tetapi tidak mengeluarkan sebarang kenya­taan atau aduan selepas kemenangan mengejutnya 8 November lepas.
Trump dalam kenyataan terbaru itu, bagaimanapun tidak memberikan maklumat lanjut mengenai dakwaan tersebut dan penjelasan tindakannya menentang pengiraan semula undian.
Pegawai khas tertinggi Trump, Kellyanne Conway menyatakan kelmarin, jika pasu­kan Clinton terlalu mendesak dalam pengiraan semula undi di Wisconsin, bakal Presiden AS itu kemungkinan akan menarik balik janji pendakwaan isu penggunaan e-mel peribadi Clinton.
Dalam pada itu, lawan Clinton dalam Parti Demokratik, Bernie Sanders menyokong pengiraan undi tersebut.
“Parti Hijau mempunyai hak undang-undang untuk melakukannya. Kita pernah mengira semula undi dalam hampir semua pilihan raya. Tiada siapa menjangkakan jika terdapat perubahan yang besar,” ujar­nya dalam satu temu bual bersama CNN.
Sebelum ini, calon Parti Hijau, Jill Stein meminta pengiraan semula diadakan bagi mengesahkan integriti sistem pilihan raya AS dan bukannya mahu mencabar kemenangan Trump.
Pemerhati politik melihat peluang untuk mengubah keputusan pilihan raya itu tipis walaupun pengiraan semula undi diadakan di Wisconsin, Michigan dan Pennsylvania.
–AFP


Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1129&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4RPlDs3wG 
Hakcipta terpelihara 

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...