Thursday, January 23, 2014

Cabaran baharu Remy, Faizal, Kamal



MENDALAMI sesuatu watak yang telah diamanahkan oleh pengarah bukanlah perkara yang mudah bagi sebilangan pelakon.
Biasanya, proses menjiwai karakter banyak melibatkan permainan emosi yang turut menuntut adaptasi drastik oleh mental dan fizikal.
Ada segelintir pelakon yang sanggup mengubah bentuk fizikal mereka semata-mata mahu kelihatan serasi dengan watak yang diberikan.
Kesungguhan ini bukan semata- mata mahu meraih perhatian khalayak tetapi ia turut menjadi lambang kejituan dan matlamat sebenar yang ingin dicapai oleh pelakon tersebut.
Bagi pelakon Remy Ishak, perjalanan kariernya sebagai seorang pelakon mungkin tidak sederas pelakon-pelakon lain.
Justeru, apa yang sering ditekankan oleh jejaka berusia 32 tahun ini adalah dedikasi secara penuh yang harus diberikan terhadap setiap watak yang didukungnya.
Ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama para pelakon drama bersiri, Jiwa di Sri Pentas, Bandar Utama, Kuala Lumpur baru-baru ini, Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak begitu tegas dalam mendisiplinkan diri apabila terikat dalam sesebuah penggambaran drama.
Hubungan Remy dan Budi
"Dalam drama Jiwa, saya memegang watak sebagai Iskandar, seorang petinju yang agresif.
"Sepanjang dua bulan tempoh penggambaran Jiwa, saya terpaksa menjalani latihan secara intensif bagi mengekalkan bentuk badan.
"Untuk merealisasikan watak tersebut, saya turut menjaga corak pemakanan agar bentuk fizikal yang digambarkan menerusi watak Iskandar bertepatan dengan apa yang saya persembahkan," ujar Remy yang banyak menghabiskan masa di gimnasium bagi menyediakan diri sebelum proses penggambaran bermula.

REMY (kiri) dan Kamal Adli (tengah) dirakam ketika sedang berlatih sebelum memulakan penggambaran drama bersiri, Jiwa.


Selain itu, anak kelahiran Negeri Sembilan ini turut menjadikan Jiwa sebagai platform baginya untuk mengembangkan bakat lakonan, lebih-lebih lagi dalam genre aksi.
"Seperti semua sedia maklum, saya sering diberi peluang untuk memainkan peranan lelaki romantik menerusi beberapa buah drama dan filem sebelum ini.
"Sebagai seorang pelakon, saya tidak mahu dikenali dengan hanya satu watak sahaja. Saya juga perlu mempelbagaikan watak yang ingin saya ketengahkan pada satu-satu masa.
"Apabila diberi peluang untuk melakonkan watak sebagai seorang petinju menerusi sebuah drama bercorak aksi, saya terus menggunakan kesempatan ini untuk mempersembahkan yang terbaik," katanya yang banyak dibantu oleh koreografer seni mempertahankan diri ketika berada di lokasi.
Ketika ditanya mengenai perancangan seterusnya sejurus selepas tamat penggambaran drama bersiri tersebut, pelakon yang pernah membintangi filem Cun! ini berkata, dia mahu berehat sepuas-puasnya sebelum menerima sebarang tawaran pada masa akan datang.
"Setelah tamat proses penggambaran Jiwa bulan lalu, saya terlibat dengan sebuah telemovie untuk tayangan slot Cerekarama di TV3. Selepas itu, saya mengambil keputusan untuk berehat panjang.
"Sampai bila, itu tidak pasti. Saya akan kembali berlakon jika saya betul-betul bersedia untuk beraksi di depan kamera," katanya yang masih akan melalui proses perbincangan bagi tawaran lakonan yang diterima sepanjang tempoh percutian tersebut.
Akui Remy, walaupun tampak selektif, keputusannya mahu berehat dan berfikir panjang sebelum menerima sesebuah tawaran sedikit sebanyak dapat membantu mengembangkan kariernya ke peringkat yang lebih tinggi lagi.
"Setiap pelakon tahu di mana letaknya tahap kemampuannya dalam bidang lakonan. Justeru, watak yang dipilih haruslah selari dengan pengalaman dan peningkatan kematangan diri sendiri," katanya lagi.
Dalam pada itu, Remy dan kisah cintanya sering mendapat perhatian umum. Walaupun sebelum ini dia pernah dikaitkan dengan Tiz Zaqyah dan Maya Karin, malangnya hubungan cinta yang pernah terjalin sebelum itu terus hanyut dek arus waktu sebelum sempat ia mekar berkembang.
Terbaharu, dia dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan Budi Citawan, anak kepada pelakon berbakat besar, Wan Hanafi Su.
TIGA pelakon penting drama Jiwa ini turut mengamalkan diet pemakanan mereka.


Tidak terus mengiyakan kenyataan tersebut, Remy memberitahu, dia dan Budi masih dalam proses mengenali antara satu dengan lain.
Katanya: "Saya mula mengenali Budi kira-kira setahun yang lalu. Saya tidak mempunyai ramai kawan perempuan."
"Justeru, apabila saya sering dilihat keluar bersama Budi, banyak spekulasi timbul sedangkan ketika itu kami hanya kawan biasa.
"Saya selesa berkawan dengannya. Dia merupakan seorang wanita yang bijak dan baik. Lagipun, dia mahu berkawan dengan saya bukan kerana saya seorang pelakon. Dia mahu mengenali saya sebagai sebagai individu biasa," kata Remy yang kini lebih bersifat terbuka dalam berkongsi kisah peribadinya.
Faizal letak syarat
Melanjutkan bicara pada petang itu, pelakon berbakat besar, Faizal Hussein, 46, begitu teliti dalam menerima tawaran yang diberikan oleh produksi drama dan filem bagi memastikan kelangsungan hayatnya dalam bidang lakonan dapat dipanjangkan.
"Sejujurnya, saya cukup teliti dalam menerima tawaran berlakon drama dan filem. Bagi penerbitan drama, saya akan menerima tawaran untuk memainkan watak utama sahaja.
"Walaupun kenyataan ini nampak sedikit keterlaluan tetapi saya percaya industri penerbitan drama dan filem masih memerlukan khidmat dan bakat yang saya ada untuk menerajui watak-watak utama," katanya yang memegang watak sebagai bapa kepada Iskandar menerusi dalam Jiwa.
Dalam pada itu, pelakon yang pernah popular dengan filem Gila-Gila Remaja ini memberitahu, dia hanya bersedia untuk memainkan watak yang menampilkan dirinya lebih berusia asalkan ia relevan serta berkembang mengikut jalan cerita. Dia bagaimanapun belum bersedia untuk melakonkan karakter bapa kepada anak yang sudah dewasa.
"Seperti dalam Jiwa, saya melakonkan watak sebagai seorang bapa yang mana karakter anaknya turut serta membesar seiring dengan watak saya.
"Jika saya bersetuju untuk melakonkan watak seorang bapa yang anaknya sudah sedia dewasa, saya akan membunuh peluang untuk memegang watak utama dalam penerbitan drama atau filem pada masa akan datang," jelas Faizal.

REMY dan Kamal Adli merealisasikan karakter petinju dalam drama bersiri, Jiwa.


Kamal gerun dengan diiet
Jika hendak dibandingkan dari segi umur dan jumlah pengalaman, Kamal Adli, 28, merupakan pelakon paling muda antara dua nama besar yang bergandingan dengannya menerusi drama bersiri Jiwa.
Meletakkan pelakon-pelakon itu sebagai penanda aras baginya untuk terus mempersembahkan yang terbaik kepada penonton, Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli banyak mempelajari tentang selok-belok dunia lakonan serta proses menjiwai watak daripada mereka.
"Saya berasa sangat beruntung kerana digandingkan dengan pelakon-pelakon yang hebat menerusi drama Jiwa. Tidak dinafikan, saya berasa sungguh kecil jika hendak dibandingkan dengan mereka.
"Namun, pengalaman berlakon bersama mereka banyak memberikan inspirasi kepada saya untuk terus berusaha dalam mengembangkan kerjaya ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.
Kamal turut memberitahu, salah satu cabaran yang terpaksa ditempuh sepanjang proses penggambaran drama tersebut berlangsung adalah apabila dia terpaksa mengikut jejak langkah Remy dan yang lain-lain dalam menjaga diet pemakanan kerana bimbang berat badannya akan meningkat.
"Ketika berada di lokasi, kesemua pelakon yang terlibat begitu mengambil berat tentang jenis makanan yang mereka ambil. Paling menggerunkan, mereka hanya makan buah-buahan serta lauk sahaja.
"Sebagai salah satu kesedaran untuk menjaga badan, saya turut mengikuti jejak langkah mereka dan sering ke gimnasium untuk mendapat berat badan yang ideal sepanjang terlibat dengan penggambaran," jelasnya lagi.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0123&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2rCgfqvhL 
Hakcipta terpelihara 


Pening cari penginapan bajet utk seisi keluarga anda semasa datang ke Melaka? Teratak santai dan rileks kami jalan penyelsaiannya! Hubungi Hj Wakif hari ini!

Seri Duyong Melaka Homestay

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...