![]()
Reuters
PENUNJUK perasaan antikerajaan berhimpun di pekarangan Bank Simpanan Kerajaan di Bangkok semalam. |
Sejak lebih dua bulan lalu, ibu kota Thailand ini menjadi lokasi perhimpunan tunjuk perasaan untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.
Walaupun bilangan penunjuk perasaan itu semakin berkurang, mereka berjaya menutup sebahagian bangunan kerajaan dan memaksa Yingluck memindahkan pejabatnya.
"Kami sedia melaksanakan perintah darurat. Setiap pihak terlibat termasuk polis dan tentera menimbang secara serius pilihan ini tetapi kami masih belum mencapai persetujuan," kata ketua Majlis Keselamatan Kebangsaan, Paradorn Pattantabutr selepas menemui Yingluck.
"Penunjuk perasaan pernah berkata, mereka akan menutup pejabat- pejabat kerajaan. Setakat ini, penutupan tersebut cuma simbolik. Mereka pergi ke pejabat-pejabat kerajaan dan kemudian beredar. Namun, jika mereka mengubah taktik dengan menutup bank atau menutup pejabat kerajaan secara kekal, peluang kekacauan berlaku meningkat dan kami akan menguatkuasakan undang-undang darurat," jelas Paradorn.
Dekri darurat itu memberi kuasa kepada pasukan keselamatan untuk melaksanakan perintah berkurung, menahan suspek tanpa pendakwaan, menapis kandungan media dan melarang perhimpunan melebihi lima orang serta menutup beberapa kawasan kepada orang awam.
Dalam pada itu, seorang lelaki terbunuh manakala berpuluh-puluh orang cedera apabila beberapa butir bom tangan dilontar ke arah penunjuk perasaan antikerajaan di sini pada Jumaat lalu dan kelmarin.
"Pada pendapat saya, siri serangan itu dirancang sebagai provokasi untuk mengundang campur tangan tentera," kata pengarah penyelidikan Institut Hal Ehwal Asia Tenggara di Chiang Mai, Paul Chambers.
Sekiranya perintah darurat dikuatkuasakan, kata Chambers, Suruhanjaya Pilihan Raya berhak menolak untuk mengadakan pilihan raya pada 2 Februari depan seperti yang diumumkan Yingluck tetapi diboikot oleh pembangkang.
Demonstrasi di sini yang diketuai bekas Timbalan Perdana Menteri berusia 64 tahun, Suthep Thaugsuban berpunca daripada langkah Yingluck cuba memberikan pengampunan kepada abangnya, bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra pada tahun lalu.
Penunjuk perasaan tersebut menuduh Thaksin mengamalkan rasuah dan mahu menghapuskan pengaruh keluarganya.
Keganasan kali ini merupakan episod terbaharu dalam konflik lapan tahun antara penduduk kelas sederhana di sini dengan masyarakat miskin yang menyokong Thaksin dan adik perempuannya. - Reuters
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2r2suyHQh Hakcipta terpelihara