Friday, November 8, 2013

Travel: Maldives tarik kehadiran pengembara


KERAJAAN Maldives menetapkan dua undang-undang berbeza bagi rakyat dan pelancong bagi menjaga kemakmuran negara itu.


MALDIVES merupakan salah satu destinasi percutian eksklusif di dunia. Namun, sejak lima tahun kebelakangan ini, ia menjadi tumpuan golongan pengembara bajet, sekali gus membuatkan agamawan di negara itu berasa tidak selesa dengan kehadiran mereka.
Kebiasaannya, pelancong yang menjejakkan kaki di lapangan terbang negara itu akan menaiki bot laju atau pesawat laut untuk ke resort persendirian yang dikelilingi batu karang indah. Di situ, pelancong bersantai dan menghabiskan masa tanpa mengendahkan keadaan negara sekeliling mereka.
Ia satu senario yang biasa dilihat sejak beberapa dekad lalu ekoran polisi yang memastikan pelancong asing mewah, terutamanya dari Barat dan pasangan pengantin baharu, berada di kepulauan-kepulauan tidak berpenghuni dan terasing daripada populasi Muslim tempatan.
Kerajaan Islam negara itu telah menetapkan dua undang-undang berbeza iaitu pelancong dibenarkan meminum alkohol, makan daging babi dan hubungan seks luar nikah bagi mereka yang belum berkahwin. Bagi wanita Maldives pula, mereka akan disebat di khalayak ramai sekiranya berzina.
Negara Islam
Naib Presiden Parti Adhaalath yang bersifat konservatif, Mauroof Hussain berkata, memandangkan Maldives merupakan sebuah negara Islam, pihaknya sentiasa menyokong idea bahawa industri pelancongan perlu diasingkan dari pulau-pulau yang didiami penduduk.
"Sekiranya pelancong yang datang membawa dadah, ia turut memberi kesan negatif kepada masyarakat di sini," ujarnya.
Walaupun gugusan kepulauan itu jauh dari penempatan penduduk, pelancong tetap memilih untuk bercuti di sekitar ibu kota Maldives, Male dan Pulau Maafushi terletak berhampiran selepas pengenalan polisi baharu yang bertujuan menarik pengembara bajet ke negara itu.
"Pelancong berbogel di kawasan kediaman penduduk adalah sesuatu yang tidak dapat diterima. Penduduk merungut ketika mereka bersolat di masjid, pelancong pula berbikini di sekitar kawasan itu," tambah Mauroof.

SEKUMPULAN lelaki bermain catur di luar restoran di Male.


Sejak pembaharuan yang dilaksanakan presiden pertama Maldives yang dipilih secara demokrasi, Mohamed Nasheed pada tahun 2009, penduduk Maldives dibenarkan untuk membuka rumah tumpangan di kawasan-kawasan pulau yang berpenghuni.
Seorang usahawan tempatan, Ibrahim Mohamed, 25, memperoleh keuntungan hasil perniagaan rumah tumpangan iaitu Sundhara Palace.
"Penduduk Maldives merupakan rakyat yang peramah. Masyarakat di sini tidak mahu pelancong diasingkan daripada penduduk. Ia merupakan kehendak kerajaan dan segelintir ahli perniagaan tempatan," ujarnya.
Sundhara Palace yang terletak di Male dibuka pada awal September lalu. Rumah tumpangan tiga bilik itu menawarkan penginapan asas serendah AS$30 (RM94) semalam.
Resort paling murah di negara itu kebiasaannya menawarkan harga 10 kali ganda lebih mahal berbanding Sundhara Palace. Selain kadar penginapan semalam yang mencecah ribuan ringgit, pihak resort juga menghidangkan makanan dan minuman yang mahal.
Potensi perniagaan
Menurut Ibrahim, polisi di rumah tumpangan merupakan sistem terbaik untuk memberi keuntungan kepada rakyat dan bukan ahli perniagaan yang kaya.
Segelintir pemilik resort yang mempunyai hubungan baik dengan pemerintah autokratik selama 30 tahun iaitu Maumoon Abdul Gayoom, terus menguasai ekonomi dan politik di Maldives.
Kumpulan ahli perniagaan yang berpengaruh itu telah bersatu menentang Mohamed yang digulingkan pada Februari 2012 oleh pemberontakan pasukan keselamatan yang dipanggilnya sebagai satu rampasan kuasa.
Usaha bekas pemimpin itu untuk kembali berkuasa melalui peti undi, gagal ekoran protes dan ketidakpastian rakyat selepas Mahkamah Tinggi Maldives membatalkan kemenangannya pada pilihan raya yang berlangsung pada 7 September lalu.
Keputusan mahkamah itu merupakan susulan pertikaian daripada calon pilihan raya, Gasim Ibrahim yang juga merupakan salah seorang taikun di Maldives dan penyokong Parti Adhaalath.
Terbaharu, pilihan raya Maldives akan diadakan semula pada 9 November ini dan jika perlu, proses ulangan seminggu selepas itu.
Sekiranya dipilih semula, Mohamed berjanji untuk mengembangkan polisi rumah tumpangan sebagai program pembaharuan sosial dan ekonomi negara itu.
"Industri ini berkembang dengan begitu pesat. Kami berpendapat banyak potensi yang harus diterokai," ujarnya kepada pemberita sebelum sesi pengundian pusingan pertama pilihan raya September lalu. - AFP
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1107&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm#ixzz2k4Ax07bI
Hakcipta terpelihara 

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...