Saturday, November 2, 2013

Sheila On 7 idam konsert 3 jam

SHEILA ON 7 berkemungkinan mengadakan Konsert 3 on 3 di Malaysia pada tahun hadapan.


BAND tersohor Indonesia, Sheila On 7 nampaknya masih kekal popular di Malaysia meskipun band itu sudah menginjak usia 17 tahun pada tahun ini.
Bertemu dengan anggota Sheila On 7, Duta (vokal), Eross Chandra (gitar), Adam (bass) dan Brian (drum) di Festival Rangkaian Jenama Pakaian dan Muzik Serumpun di Speed City, Kuala Lumpur baru-baru ini terlihat jelas mereka masih sama seperti dahulu.
“Ini tahun ke-17 Sheila On 7 ditubuhkan. Melihat pada angka ini mungkin sudah berusia, tetapi pada kami sama sahaja kerana muzik satu pekerjaan yang kami suka lakukan,” ujar Duta.
Disoal tidakkah mereka menyimpan impian untuk mengadakan sebuah konsert besar seperti zaman kegemilangan mereka di Malaysia dahulu sempena ulang tahun ke-17?
Jawab Duta: “Sememangnya kami teringin membuat konsert di Malaysia. Sebenarnya tahun lalu sudah ada dua tawaran.
“Bagaimanapun disebabkan sekarang kami fokus untuk menyiapkan album kelapan yang akan bertemu peminat pada awal tahun depan, mungkin selepas itu kami akan fikirkan tentang konsert di Malaysia.”
Jelasnya, mereka tidak mahu mengadakan konsert semata-mata untuk meraih keuntungan tanpa memberi makna yang besar kepada peminat.
“Biarlah jika terjadi konsert kelak, semua kerja sudah beres. Tahun lalu di Indonesia, kami telah mengadakan sebuah konsert 3 On 3 yang berlangsung selama tiga jam tanpa henti dengan tiga sesi yang berbeza sempena ulang tahun ke-16.
“Mungkin kami akan adakan konsert 3 On 3 di Malaysia pula pada tahun hadapan. Namun, kami tidak mahu mengadakan sekadar konsert untuk mengikut jejak orang lain.
“Jika boleh biarlah konsert yang kami lakukan nanti akan diingati dan memberi makna yang positif buat peminat dan kami sendiri,” jawab Duta sambil dipersetujui oleh ahli yang lain.
Meskipun sudah berusia 17 tahun, band Sheila On 7 tidak merasakan diri mereka telah berusia, bahkan semakin bersemangat untuk terus kekal dalam bidang muzik.
“Perjuangan kami belum berakhir dan kami belum tua (ketawa). Kalau boleh kami mahu Sheila On 7 bertahan sampai 25 tahun atau lebih lagi selagi kami mampu bermain muzik,” balas Duta.
Bercakap tentang album kelapan yang masih dalam pembikinan, jelas Brian, mereka sudah pun muncul dengan single berjudul Canggung ciptaan Eross.
“Dalam album ini terdapat 10 buah lagu, empat lagu Eross dan selebihnya perkongsian antara ahli yang lain. Muziknya lebih luas sesuai dengan kematangan usia band Sheila On 7 hari ini,” kata Brian.

AKSI Duta (kiri) bersama Sheila On 7 masih mantap seperti dahulu.


Keluarga
Menyentuh tentang keluarga, anak-anak dan tugas sebagai bapa, senyuman dan keceriaan jelas terpancar pada wajah kesemua anggota Sheila On 7.
Jika sebelum ini setiap kali hadir ke Kuala Lumpur hanya mereka berempat sahaja, kini mereka pasti membawa segerombolan ahli keluarga terdiri daripada isteri dan anak-anak.
“Jika ada persembahan yang kami boleh bawa keluarga untuk bercuti kami akan bawa. Kali ini kami berada di Kuala Lumpur selama tiga hari, walaupun bukan cuti sekolah di Indonesia, kami bawa sahaja anak-anak, mereka terpaksa ponteng sekolah dengan rela (ketawa).
“Sebenarnya, jadual kami sangat padat, jadi inilah masa terluang untuk kami habiskan masa bersama keluarga. Walaupun tiga hari, sekurang-kurangnya mereka ingat yang bapa mereka membawa mereka bercuti,” kata Duta.
Walaupun sedar kerjaya sebagai pemuzik sangat mencabar, kata mereka berempat, sebolehnya mereka mahu anak-anak mereka mahir bermain muzik.
“Selagi saya mampu menghantar mereka ke kelas piano, biola dan sebagainya, saya akan hantar kerana saya mahu mereka mahir bermain muzik walaupun sekadar hobi.
“Sebagai bapa saya tidak akan halang apa sahaja impian anak-anak, asalkan kerjanya baik dan memberi manfaat. Jika mahu jadi pemuzik seperti kami, saya akan memberi sokongan,” jelas Duta sambil anggota yang lain menganggukkan kepada tanda setuju.
Sementara itu, Sheila On 7 telah menghiburkan peminat selama satu jam pada festival yang berlangsung selama tiga hari dan menghimpunkan 60 buah band itu.
Aksi Duta masih sama dan penuh bertenaga seperti dahulu. Peminat mereka juga tidak henti menyanyi bersama-sama 12 buah lagu yang didendangkan antaranya, Seberapa Pantas, Bila Kau Tak Di Sampingku dan Berhenti Berharap.
“Terima kasih kerana hadir bersama hari ini. Harap ini bukanlah konsert terakhir kami di sini. Kami sentiasa seronok setiap kali datang ke Kuala Lumpur,” kata Duta kepada peminatnya.
Selain Sheila On 7, band Go Gerila!, Bunkface, 6ixth Sense, Indie Mice, Drama Band, Hyper Act, Loka, Edane, Love Me Butch, Aryan Band, Pop Konspiracy, Buronan Mertua dan The Padangs turut membuat persembahan dalam festival selama tiga hari yang bermula pada 25 Oktober lalu.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1102&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm#ixzz2jTP1eCVj
Hakcipta terpelihara 

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...