Friday, November 8, 2013

Ron kagumi suara Amy Search



GAMAT seketika studio Suria FM apabila dua legenda rock, Amy Search dan pemain gitar utama kumpulan Guns N' Roses, Ronald Jay Blumenthal bertemu buat julung-julung kalinya.
Setelah kedua-duanya tampil menerusi segmen Ceria Pagi Di Suria kendalian Halim Othman dan Adibah Noor pada pukul 9.30 pagi, kedua-dua legenda berkenaan menjalani pula sesi rakaman untuk segmen Suria Rock bersama Bob Ringgo.
Dalam sesi rakaman tersebut, Amy mendendangkan salah satu lagu hitnya, Pawana sambil diiringi petikan gitar oleh Ron atau lebih dikenali dengan nama pentas Ron 'Bumblefoot' Thal.
"Amy mempunyai suara yang sangat bagus dan saya agak teruja dan kagum ketika dia mendendangkan lagu Pawana. Tidak hairanlah dia dilabelkan sebagai antara penyanyi rock legenda di negara ini.
"Begitu juga dengan lagu Pawana kerana muziknya yang cukup menarik dan ringkas. Malah, saya sudah berlatih sejak beberapa minggu lalu sebelum datang ke negara ini," ujarnya memulakan perbualan.
Berkongsi cerita mengenai tujuannya berkunjung ke Malaysia, pemuzik yang dilihat selesa tampil dengan gaya cukup ringkas itu memberitahu, dia memenuhi undangan daripada pejabat Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia untuk menjayakan beberapa aktiviti yang diaturkan.
Berada di Malaysia dari 3 hingga 7 November lalu, Ron yang datang bersendirian tanpa ahli Guns N' Roses yang lain terbabit dengan aktiviti seperti bengkel muzik, sesi bertemu peminat dan membuat persembahan bersama pemuzik tradisional tempatan yang berlangsung di Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur.
"Ini merupakan kali kedua saya datang ke Malaysia setelah kali terakhir ke sini pada bulan Mac lalu sempena konsert Guns N' Roses. Secara jujur- nya, saya sangat menyukai Malaysia dan berpeluang untuk datang ke negara ini memang tidak harus dilepaskan begitu saja.
"Selain keadaan cuaca yang agak panas serta masakan yang sedap, saya turut mengagumi kehidupan masyarakat di negara ini serta penerimaan golongan muda terhadap muzik rock," ujar pemain gitar berpengalaman itu.

BERSEMPENA kemunculan di konti Suria FM, Amy mengalunkan lagu Pawana sambil diiringi petika gitar Ron dan gitaris band rock, Deja Voodoo Spells, Rithan Vijay.


Menurutnya, sepanjang berada di Kuala Lumpur dia telah dibawa menikmati pelbagai makanan di beberapa buah restoran di Jalan Alor, Bukit Bintang dan menyifatkan Malaysia beruntung kerana kaya dengan pelbagai variasi makanan yang enak.
Ketika ditanya mengenai projek terbaharu Guns N' Roses pula, ujar pemuzik yang berasal dari New York itu, buat masa ini mereka sedang sibuk menghasilkan lagu-lagu baharu.
Ujarnya, dia menjangkakan bahawa tahun 2014 bakal menjadi musim yang agak sibuk buat band berkenaan. Selain merancang untuk menghasilkan album terbaharu, mereka bakal terbabit dengan persembahan siri jelajah di seluruh dunia.
"Sekarang ini setiap ahli band mempunyai komitmen masing-masing tetapi kalau ada masa, kami akan berkumpul bersama-sama untuk berbincang mengenai lagu-lagu yang akan dimuatkan dalam album baharu nanti," ujarnya yang menyatakan, Chinese Democracy merupakan album terakhir dihasilkan mereka pada tahun 2008.
Sos cili
Siapa sangka, di sebalik kariernya sebagai seorang pemuzik serta peranan utamanya selaku gitaris utama Guns N' Roses, Ron turut menceburi bidang baharu iaitu pengeluaran cili sos.
Menurut Ron, selama ini dia memang menggemari masakan pedas dan akhirnya timbul idea untuk mengeluarkan sos cili sendiri setelah dia berkenalan dengan seorang pengeluar sos cili.

AMY dan Ron sempat bergambar kenangan di konti Suria FM bersama Halim dan Adibah.


"Sebenarnya sudah lama saya mempunyai impian untuk menghasilkan sos cili jenama sendiri setelah menikmati pelbagai jenis sos di merata-rata tempat.
Menerusi perkenalan dengan seorang rakan yang menjalankan perniagaan sos cili, akhirnya impian ini terlaksana.
"Menerusi kolaborasi dengan rakan saya itu, akhirnya muncul jenama sos cili yang diberi nama Bumblefoot Hot Sauce dan ia telah dilancarkan pada bulan Januari lalu," jelasnya.
Kata Ron, di bawah jenama Bumblefoot Hot Sauce, terdapat enam jenis perisa yang dihasilkan iaitu Bumblicious, Bumblef**ked, Normal, Abnormal, Uncool dan Bumblebabe.
Menurutnya, sesuatu yang cukup menarik tentang keenam-enam sos cili tersebut adalah apabila ia dihasilkan dengan menggunakan resipinya sendiri.
"Setakat ini sambutan yang diterima daripada orang ramai cukup menggalakkan dan mereka suka dengan kesemua perisa. Daripada keenam-enam perisa yang dihasilkan, Abnormal paling mendapat sambutan ramai kerana rasa pedasnya yang sangat enak," ujarnya.
Satu pengiktirafan
Sementara itu, Amy Search atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman menyifatkan dirinya cukup bertuah kerana dapat bersemuka dengan gitaris daripada band yang terkenal di seluruh dunia itu.
Menurut Amy, ia merupakan kali pertama dia dapat berjumpa secara langsung dengan Ron.
Ini memandangkan sebelum ini dia tidak berkesempatan kerana membuat persembahan di tempat lain ketika kehadiran Guns N' Roses dahulu.
"Pastinya ia merupakan suatu kena- ngan yang cukup manis buat diri saya sepanjang bergelar penyanyi. Semua orang sedia maklum, Guns N' Roses merupakan satu nama yang cukup besar dan memang rasa bertuah dapat bertemu salah seorang anggotanya secara bersemuka.
"Sepanjang pertemuan tersebut, pelbagai perkara yang kami bualkan mengenai muzik rock. Apa yang saya perhatikan, Ron merupakan seorang individu yang sangat merendah diri, meskipun namanya cukup terkenal dan popular," ujarnya.
Selain itu, Amy mengakui agak teruja meraih undangan untuk membuat penampilan istimewa bersama Ron pada persembahan pemain gitar tersebut dalam satu acara kolaborasi bersama pemuzik tradisional tempatan, Dewangga Sakti di Balai Seni Visual Negara pada 6 November lalu.
"Sebelum ini, saya ada menerima surat daripada pejabat Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia yang menyatakan mereka mencari seorang penyanyi rock Malaysia untuk membuat persembahan bersama Ron dan akhir- nya, nama saya telah dipilih.
"Dalam persembahan tersebut saya cuma menyampaikan sebuah sahaja lagu iaitu Pawana dan diiringi petikan gitar Ron.
"Biarpun sekadar penampilan istimewa dan mempersembahkan sebuah lagu, namun saya anggap ia sebagai suatu pengiktirafan istimewa buat diri saya," jelasnya.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1108&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2k47lC7bE
Hakcipta terpelihara 

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...