Saturday, November 2, 2013

Erti perayaan Deepavali



JIKA orang Melayu sering mengenakan baju kurung dan baju Melayu ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri, masyarakat India yang beragama Hindu pula terkenal dengan sari dan baju punjabi serta kurta mereka.
Sempena perayaan Deepavali tahun ini, jenama mutiara terkenal Rafflesia telah bekerjasama dengan seorang pereka fesyen sari dan punjabi tempatan terkenal iaitu Thairealaxme of Thaaraz.
Pengalaman cukup berharga buat enam selebriti tempatan kerana dipilih Rafflesia bagi menggayakan baju tradisional dan kotemporari India milik pereka fesyen tersebut.
Mereka yang dipilih iaitu Jasmine Michele, Raja Ilya, Yasmin Nadiah, Nur Fathia, Sangeetha dan Reenetha turut berkongsi mengenai sambutan perayaan Deepavali masing-masing yang jatuh pada hari ini.
Reenetha suka makanan Deepavali
Mengenali sosok gadis berusia 28 tahun bernama Reenetha, dia merupakan pelakon Tamil yang juga pernah berlakon di bawah syarikat Skop Production Sdn. Bhd. milik penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam.
"Sebelum ini saya pernah bekerja di bawah Skop Production selama setahun untuk drama Metro Skuad 52 episod," ungkapnya yang anggun menggayakan baju punjabi retro tahun 70-an jenis Chuditar ketika ditemui di butik Rafflesia di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur.
Berkongsi mengenai sambutan Deepavali pada tahun ini, ujarnya, dia akan pulang ke kampungnya di Masai, Johor pada petang Sabtu kerana terlibat dengan penggambaran sebuah program pada pagi raya itu.
Biarpun sibuk sebagai pelakon dan juga pengacara program Astro Vanavil, akui Reenetha, dia tetap berusaha untuk bercuti sekurang-kurangnya seminggu untuk menyambut perayaan yang juga digelar Pesta Cahaya itu setiap tahun.
"Bagi saya perayaan Deepavali sangat penting dan terbesar dalam masyarakat India. Disebabkan itu, saya akan bercuti daripada sebarang aktiviti seni.

REA THAIREALAXME (tiga dari kanan) bersama barisan selebriti yang menggayakan sari rekaannya.


"Perayaan tersebut juga memberi peluang kepada saya untuk bertemu sanak keluarga di seluruh Malaysia termasuk ahli keluarga saya yang turut berada di Singapura," tuturnya yang juga mendedahkan suka menyambut Deepavali kerana dapat menikmati makanan tradisional India.
Antara makanan tradisional yang disukai anak sulung kepada dua beradik itu ialah maruku dan resem.
Sangeetha dimarahi ibu
Bagi pelakon Sangeetha pula, dia yang terkenal menerusi filem Telegu iaitu Swiss Raja itu meraikan Deepavali di Kepong, Selangor.
Buat pertama kalinya juga selama empat tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, Sangeetha pulang beraya bersama keluarga selepas dimarahi ibunya.
"Selama ini saya tidak pulang menyambut Deepavali kerana terlibat dengan penggambaran drama atau filem.
"Sebenarnya saya memang suka bekerja pada Deepavali. Saya rasa lebih bersemangat. Tetapi, tahun ini saya terpaksa juga balik beraya selepas dimarahi ibu," luahnya yang anggun mengenakan punjabi jenis Anarkali berwarna-warni itu.
Disoal mengenai makna Deepavali bagi dirinya, kata Sangeetha, ia adalah festival yang penuh dengan warna dan juga mampu memberi semangat positif kepada setiap masyarakat Hindu.
Mengulas lanjut mengenai sambutan Deepavalinya, tutur Sangeetha, setiap tahun keluarganya akan memasak wajik yang merupakan sejenis pulut berwarna coklat yang turut menjadi makanan masyarakat Islam tatkala menyambut Aidilfitri.
"Saya sangat suka wajik kerana rasanya yang manis dan isinya yang padat," ulasnya lanjut.
Jasmine anggap sari seksi
Jika Reenetha dan Sangeetha beraya bersama keluarga, bagi aktres terkenal filem Tamil iaitu Jasmine Michele, sudah dua tahun dia tidak dapat balik menyambut Deepavali kerana sibuk dengan penggambaran drama atau filem.
JASMINE MICHELE tidak dapat menyambut Deepavali kali ini bersama keluarga.


"Pada tahun lepas dan juga tahun ini saya tidak dapat balik sebab sibuk dengan aktiviti seni," jelasnya yang baru habis menjalani penggambaran sebuah drama arahan pengarah dari India berjudul Moodutani.
Jelita menggayakan pakaian sari kontemporari, Jasmine mengakui tidak berasa sedih kerana mempunyai ramai teman-teman dan ahli keluarga lain di Kuala Lumpur untuk meraikan bersama Deepavali.
Bicara Jasmine lanjut, biarpun tidak dapat pulang ke kampung menyambut Deepavali, dia tetap membeli sari kerana sangat suka memakainya selain menganggap sari merupakan pakaian paling cantik dan seksi di dunia.
Pelakon yang pernah membintangi filem Estet itu juga mengakui menyukai sejenis manisan bernama Nee Urandai yang merupakan salah satu hidangan wajib pada hari Deepavali di rumahnya.
Yasmin kehilangan nenek
Sementara itu, bagi pelakon Tamil, Yasmin Nadiah pula, dia mengakui menyambut perayaan Deepavali pada tahun ini di Taiping selama dua hari.
"Saya cuma bercuti dua hari sahaja kerana selepas itu saya terlibat dengan penggambaran muzik video Inni Vendahm," ujarnya yang mengenakan pakaian separa sari jenis Parade Tavani.
Berkongsi mengenai pengalaman manis dan pahit menyambut Deepavali, bicara Yasmin, tiga tahun lalu neneknya meninggal dunia dan pada tahun itu dia dan keluarga tidak menyambut Deepavali.
Mengulas mengenai kenangan manis sambutan Deepavalinya pula, apabila dia dapat berkumpul bersama keluarga sambil melakukan barbeku.
Fathia, Raja Ilya sambut bersama teman
Mungkin sedikit canggung apabila pelakon terkenal Nur Fathia dan Raja Ilya turut berada dalam kelompok selebriti Tamil yang lain. Bagaimanapun, luah Fathia yang comel menggayakan pakaian punjabi jenis potongan duyung itu, dia turut meraikan perayaan tersebut bersama rakan-rakannya yang beragama Hindu.
"Saya mempunyai ramai rakan-rakan India yang beragama Hindu sejak di bangku sekolah. Jadi, setiap kali perayaan Deepavali saya dijemput ke rumah mereka untuk merai bersama perayaan tersebut," jelasnya yang sehingga kini masih ke rumah rakan-rakannya jika tidak terlibat dengan sebarang aktiviti seni.
Sementara itu, bagi Raja Ilya pula, mungkin ramai yang menganggap pelakon drama Dahlia itu mempunyai darah India daripada raut wajahnya. Bagaimanapun, dedahnya, tiada seorangpun ahli keluarganya yang menyambut Deepavali.
Biarpun tidak menyambut Deepavali, dia yang kelihatan jelita dengan sari jenis burung merak itu bagaimanapun tetap mengambil cuti sehari setiap tahun demi menyambutnya bersama teman-teman beragama Hindu.
"Saya pernah bersekolah Tamil masa sekolah rendah dan kalau ikutkan kawan India saya lagi ramai berbanding Melayu. Jadi, saya sudah biasa menyambut bersama teman-teman beragama Hindu" ulasnya yang turut popular menerusi filem Tamil iaitu Appalam (filem Papadom versi Tamil) itu.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1102&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2jTO0gO7h
Hakcipta terpelihara 

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...