Sunday, November 3, 2013

Dahulu saya comot - Nazim Othman

NAZIM menyifatkan transisi fesyen dan kerja lakonnya berjalan seiring.























CUACA panas terik pada petang Selasa lalu tidak menghalang Nazim Othman untuk menyarung baju kot dan bertali leher kupu-kupu (bow tie). Penampilan yang selayaknya digayakan ketika melintasi karpet merah itu bukan penghalang untuk Nazim melayan permintaan untuk beraksi di siar kaki sebuah deretan rumah kedai di Damansara.

"Jangan risaukan, saya okey," katanya sambil membetul-betulkan sut yang terletak kemas pada tubuhnya.
Memiliki ketinggian 178 sentimeter dengan berat badan hanya 67 kilogram, sosoknya molek untuk menyarungkan apa jenis pakaian ke badan.
"Saya pakai apa yang saya rasakan selesa, kemas, sesuai dengan situasi, tidak comot dan menterjemahkan siapa saya," ujarnya ketawa memintas persoalan pengaruh imej KPop jika itu yang hendak ditala ke mukanya.
Cerita Nazim, penataan gaya dan imej kemas itu mula menjadi sebahagian daripada dirinya selepas dua tahun bergelar pelakon.
"Rasanya transisi imej dan keyakinan saya sebagai seorang pelakon bergerak seiring. Dahulu saya pakai entah apa fesyen, rasa comotnya saya bila tengok gambar-gambar lama. Begitu juga dengan lakonan. Sekarang, saya sendiri dapat rasakan perbezaan. Asalkan positif dan membawa banyak kebaikan untuk saya, saya selesa rasa lebih berkeyakinan dengan imej saya sekarang," ujarnya.
Menghampiri fasa terakhir tahun 2013, Nazim ada kesibukan dan perkembangan terbaharu yang mahu dikongsikan dengan khalayak. Selain kerja seni yang menunjukkan keizinan untuk dia terus berkarya sebagai pelakon, lelaki berzodiak Virgo berkongsi sisi bisnes, obsesi, hala tuju kehidupan peribadi dan cabang seni lain yang sedang bergulir dalam perancangannya ketika ini.
Butik pakaian sendiri
Atas kecintaan terhadap fesyen, duta jam tangan jenama terkenal itu turut menyimpan harapan untuk memiliki sebuah butik pakaian sendiri pada masa hadapan.
“Idea itu diilhamkan oleh seorang sahabat yang kenal sangat dengan sikap saya. Tahun depan usia saya 30 tahun, jadi saya kena fikirkan sesuatu. Butik pakaian itu salah satu daripada agenda besar saya. Setakat ini sudah banyak koleksi yang dikumpul dan pakaian-pakaian itu bukanlah hasil rekaan saya sebaliknya stok yang saya perolehi daripada luar negara. Ia dipilih berdasarkan cita rasa dan apa yang saya rasakan sesuai dengan kelompok pelanggan sasar,” jelas Nazim yang menjadikan laman Instagram sebagai platform promosi awal kepada butik pakaiannya nanti.
Disember bulan terbang
Terlibat dengan penggambaran drama bersiri terbaharu berjudul Kalimah Jiwa, Disember nanti, drama hasil produksi Rumah Karya Citra itu bakal akan menerbangkannya ke sebuah lokasi di New Zealand untuk penggambaran di sana.
“Kiranya hujung tahun ini ada negara berbeza rasa dan cuaca yang akan saya lalui. Selepas ke New Zealand, saya juga baru memberi kata putus untuk sebuah drama lain berjudul Gerimis Salju Naminara. Penggambaran drama itu akan membawa saya ke Korea Selatan selama dua minggu ketika musim salji. Bekulah saya di sana nanti. Sebenarnya saya kurang gemar untuk bekerja dalam cuaca sejuk sebab ‘kulit Melayu’ saya ini sensitif,” katanya yang bakal bergandingan dengan Tasha Shilla, Izara Aisyah dan Afiq Muiz dalam drama berkenaan.
Berbalik kepada drama Kalimah Jiwa, drama yang sekali lagi meletakkan Nazim sebagai hero bawah arahan Erma Fatima itu disifatkan Nazim sedikit berlainan berbanding karakter yang pernah dibawa sebelum ini.
“Dalam Kalimah Jiwa saya jadi lelaki yang agak misteri. Dia lari meninggalkan bakal isterinya pada hari perkahwinan mereka. Sepatutnya saya berkahwin dengan seorang wanita, lakonan Bella Dally tetapi watak saya lebih banyak bersama Raja Ilya,” katanya.
BELLA DALLY, pelakon muda yang sudah dua tahun menyulam hubungan istimewa dengan Nazim sejak tahun 2011.


Berlakon dengan kekasih
Selepas disatukan dalam sebuah drama pada tahun 2011 yang merapatkan hubungannya dengan Bella Dally sehingga mereka bergelar kekasih.
“Pertama kali kami berlakon sama ialah pada tahun 2010, ketika itu saya dan dia tiada sebarang perasaan. Selepas drama kedua pada tahun 2011, kami mula rapat dan sekarang kami berlakon sama. Rasanya tiada masalah sebab saya jenis yang tegas, masa kerja kena kerja secara profesional. Disebabkan saya beberapa tahun lebih tua daripada Bella yang baru berusia 22 tahun, dia memang mendengar kata. Dia tak boleh main-main kalau hendak jadi pelakon yang berjaya,” jelas Nazim yang sudah dua tahun menjalin hubungan istimewa bersama pelakon kelahiran program Pilih Kasih itu.
Sepanjang berkasih, cukuplah khalayak tahu hal perhubungan mereka namun untuk berkongsi lebih daripada itu, Nazim seboleh-bolehnya tidak mahu hubungan mereka menjadi fokus media.
Mahu jadi penyanyi
Sekitar tahun lepas ada cerita mengaitkan pelakon drama Kau Yang Terindah terhadap sebuah lagu Cinta yang menjadi runut bunyi drama Begitukah Cinta. Dia juga pernah mencipta sebuah lagu berjudul Langit Menangi yang menjadi runut bunyi drama Dejavu Di Kinabalu. Bercerita soal muzik, Nazim tidak pernah melupakan hasratnya untuk mencuba bakat sebagai penyanyi.
“Sekarang saya ada sebuah lagu berjudul Destinasi yang dicipta sepenuhnya oleh saya. Kali ini saya serius, biarlah orang kata saya tidak boleh menyanyi, yang penting saya mencuba. Dahulu ada seorang pelakon senior suruh saya buat kerja lain kerana lakonan saya kayu, saya teruskan juga berlakon. Begitu juga dengan nyanyian, belum cuba belum tahu. Kalau perancangan berjalan lancar, single berserta klip video lagu itu akan saya lancarkan hujung tahun atau selewat-lewatnya awal tahun depan, tunggu klip video siap dulu,” katanya yang menanggung untung atau rugi pelaburan untuk mengeluarkan single itu dari poket sendiri.
Melaram gaya Kpop di Pulai Nami
Lali dengan kritikan atau apa sahaja komen negatif berhubungan imejnya yang dikatakan terikut-ikut gaya KPop, Nazim tidak menjadi soal itu sebagai faktor yang akan mematahkan keyakinan dirinya. Peluang beraksi dalam Gerimis Salju Naminara nanti, Nazim awal-awal lagi sudah diberitahu pihak produksi agar imej sebagaimana yang dilihat dalam siri drama Korea juga harus menjadi sebahagian daripada karakternya.
“Sebenarnya imej saya itu bukannya hanya cenderung kepada KPop semata-mata, gaya kemas dan bersih begitu memang trend ketika ini. Persediaan bawa karakter di Korea itu juga bukan satu masalah buat saya. Dalam koleksi saya pun sudah ada sekitar enam helai jaket musim sejuk yang belum dipakai. Memang saya gemar mengumpul pakaian, bukannya untuk melaram semata-mata tetapi itu tuntutan watak dan perwatakan yang sering saya lakonkan. Saya memang tidak mengharapkan baju tajaan untuk lakonan di set,” ujarnya yang obses mengumpul koleksi kasut daripada pelbagai jenis dan warna termasuklah kasut pejabat, loafer dan but.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1103&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_06.htm#ixzz2jXb3JMKK
Hakcipta terpelihara 

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...