Friday, October 18, 2013

Ugutan bunuh Nabila AF 2013 bukan sandiwara


DALANG yang membuat ugutan bunuh terhadap Nabila masih belum dikenal pasti.


SEKADAR gimik untuk melariskan rating Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) atau ia sememangnya benar-benar berlaku? Itu persoalan yang timbul daripada kes ancaman bunuh terhadap salah seorang pelajar program tersebut, Nabila.
Menjelaskan perkara itu, Penerbit Eksekutif AF 2013, Mackenna Singh mengakui pihaknya telah membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan Nabila serta peserta lain dalam program tersebut.
“Memang benar kami menerima ancaman bunuh terhadap Nabila pada lewat malam hari Jumaat dan laporan polis telah dibuat pada hari Sabtu lalu atas faktor keselamatan.
“Kami tidak dapat mengenal pasti siapakah dalang yang terbabit dalam kes ugutan bunuh itu kerana pengguna laman sosial Facebook terbabit menggunakan akaun palsu,” ujarnya yang ditemui selepas tamat konsert minggu kelima Akademi Fantasia 2013 di Auditorium Cempaka Sari, Putrajaya baru-baru ini.
Bunuh
Mesej ancaman bunuh yang diterima melalui akaun sosial rasmi Facebook AF 2013 itu mengutuk persembahan serta kualiti suara Nabila hingga sanggup membaling batu ketika pelajar itu membuat persembahan kelak.
“Saya kira ia agak melampau sebenarnya hingga seseorang itu sanggup membenci pelajar AF 2013 semata-mata tidak berpuas hati dengan persembahannya dan mengugut untuk membunuhnya.
“Saya percaya ugutan ini tiada kena-mengena dengan sejarah silam pelajar atau keluarganya. Buat masa sekarang, biar pihak polis melakukan siasatan cuma pihak kami akan mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak membenarkan pelajar-pelajar keluar daripada akademi,” katanya.
“Ancaman ini berlaku mungkin juga kerana kami membenarkan pelajar-pelajar ini berinteraksi dengan dunia luar melalui beberapa buah laman sosial seperti Instagram, Facebook dan Twitter.
“Apabila dimaklumkan ugutan ini terhadap pelajar terbabit, dia sudah takut dan agak tertekan. Tapi kami berjanji akan menjaga keselamatan pelajar-pelajar AF 2013 hingga tamat program ini,” tegasnya.

AMIRA yang mengalunkan lagu Skyfall meraih pujian juri.


Tak singkir
Bercakap mengenai gimik, nyata sekali keputusan tiadanya penyingkiran pada konsert minggu lalu sedikit sebanyak memberikan kejutan kepada penonton begitu juga Inspirer, Melly Goeslow.
“Alhamdulillah tiada penyingkiran pada minggu ini dan saya yakin pelajar-pelajar ini telah diberikan peluang kali kedua untuk memberikan persembahan yang lebih mantap pada minggu hadapan.
“Biarpun pada mulanya kami berdepan masalah berkomunikasi, tapi muzik itu universal maka masalah itu bukan faktor utama,” ujar Melly yang meletakkan Irmisa dan Suhada berada pada paras bahaya dan berpotensi untuk berdepan dengan proses penyingkiran.
Menerusi keputusan keseluruhan pada konsert minggu lalu, Azhael masih mendahului pelajar-pelajar lain dan diikuti dengan Nabila serta Amira.
Konsert minggu kelima menampilkan cabaran pelajar menyanyikan lagu-lagu daripada runut bunyi beberapa buah filem terkenal dari Malaysia dan Indonesia.
Antaranya, Pencinta Wanita daripada filem Heart, Ada Apa Dengan Cinta (Ada Apa Dengan Cinta), Pergi (Talentime), Wajah Rahsia Hati (Ali Setan), Skyfall (Skyfall) dan Ajari Aku (Saya Amat Mencintaimu).
Kejutan demi kejutan diberikan produksi AF 2013 kepada penonton dan pelajar kali ini. Contohnya kemunculan Anzalna, Lana Nordin, Sherry Ibrahim, Chacha Maembong dan Rozita Che Wan ketika Azhael menyampaikan lagu Pencinta Wanita serta kemunculan Shahir berduet bersama Aishah menerusi lagu Ada Apa Dengan Cinta.
Bagaimanapun, tumpuan harus diberikan kepada beberapa peserta yang semakin merudum prestasi antaranya Suhada, Faizul dan Indah termasuklah peserta duo Azhael biar sering meraih undian tertinggi setiap minggu.
Pujian juga harus diberikan kepada Amira dan Nabila yang telah menunjukkan peningkatan dan usaha untuk memberikan yang terbaik ketika persembahan pada minggu lalu. Tidak dinafikan kesesuaian pemilihan lagu menjadi faktor peningkatan kedua-dua pelajar itu.
@kosmo.com.my

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...