Tuesday, October 29, 2013

NSA didakwa intip 60 juta panggilan telefon


GAMBAR fail pemandangan dari udara pada 31 Mei 2006 menunjukkan bangunan NSA yang terletak di Fort Meade, Maryland.


MADRID - Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) didakwa telah mengintip sebanyak 60 juta panggilan telefon dari Sepanyol dalam tempoh sebulan, lapor sebuah akhbar tempatan semalam.
Laporan tersebut dibuat berdasarkan dokumen yang diperoleh daripada bekas kontraktor NSA, Edward Snowden.
Kerajaan Sepanyol setakat ini menyatakan, ia tidak menyedari rakyatnya diintip oleh NSA.
Agensi keselamatan Amerika Syarikat (AS) itu sebelum ini dituduh mengakses puluhan ribu rekod perbualan telefon di Perancis selain mengintip perbualan telefon Canselor Jerman, Angela Merkel.
Sepanyol pada Jumaat lalu menolak gesaan Jerman supaya 28 anggota Kesatuan Eropah (EU) mengadakan perjanjian "sifar pengintipan" seperti yang dituntut oleh Berlin dan Paris.
Namun, Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy memberitahu, negara itu mahukan lebih banyak maklumat berhubung dakwaan tersebut.
Akhbar El Mundo semalam menerbitkan semula imej dokumen NSA yang didakwa menunjukkan agensi berkenaan mengintip 60.5 juta panggilan telefon di Sepanyol antara 10 Disember 2012 hingga 8 Januari tahun ini.
Menurut El Mundo, pengintipan tersebut melibatkan NSA merekodkan tempoh dan tempat sesuatu panggilan dibuat dan bukan mencuri dengar perbualan telefon.
Setiasuaha EU dari Sepanyol dan Duta AS ke negara berkenaan dijadual bertemu semalam selepas Rajoy berkata, beliau akan mendapatkan maklumat lebih terperinci daripada duta berkenaan.
"Kami akan membuat keputusan selepas mendapat maklumat terperinci sama ada akan menyertai tindakan Perancis dan Jerman atau sebaliknya," kata Rajoy pada satu sidang akhbar di Brussels Jumaat lalu. - Reuters
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2j6IrtYpR
Hakcipta terpelihara 

Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...