Saturday, January 26, 2013

Layanan istimewa untuk penganut agama Hindu


Sejak 18 tahun lalu, sudah menjadi tradisi Pertubuhan Sri Agathiar Sanmarka Gurukulam Malaysia (SASGM) menghidangkan makanan secara percuma pada sambutan Thaipusam.


SELEPAS dimaklumkan bahawa makanan percuma yang disediakan pada hari Thaipusam merupakan sumbangan orang ramai, S.Kandasamy Suppiah, 57, yang tinggal di Sungai Tua, tidak jauh dari Batu Caves, segera menghubungi pihak penganjur untuk memberi sumbangan.
Sejak memberi sumbangan kira-kira 12 tahun lalu, Kandasamy tidak pernah melepaskan peluang mengunjungi pusat Pertubuhan Sri Agathiar Sanmarka Gurukulam Malaysia (SASGM) yang terletak di Kampung Laksamana, Batu Caves setiap tahun.
Bahan-bahan mentah seperti beras, bawang, kentang, minyak dan wang tunai antara barang yang disumbangkan Kandasamy. Sifat murah hati itu sudah sebati dengan jiwanya setiap kali perayaan Thaipusam disambut pada bulan Januari setiap tahun.
"Saya terharu dan berterima kasih dengan kewujudan sebuah pertubuhan yang bersedia menganjurkan acara pemberian makanan secara percuma kepada para penganut agama Hindu yang berlapar selepas upacara sembahyang.
"Program ini berjalan lancar sejak lebih sedekad lalu dan saya percaya ia mendapat restu daripada orang ramai yang memberi sumbangan di samping usaha ahli jawatankuasa SASGM," kata Kandasamy ketika ditemui selepas beliau menghantar beberapa kampit beras dan bahan-bahan mentah lain yang bernilai sekitar RM100.

PARA sukarelawan bekerjasama menyediakan makanan sehari sebelum acara.


Bak tuan rumah
Rata-rata penderma SASGM terdiri daripada orang awam kelas sederhana. Mereka tidak putus-putus memberi sumbangan sejak pertubuhan itu menganjurkan makanan percuma. Menurut beliau, selepas pertama kali menderma kepada SASGM, setiap tahun Kandasamy akan diingatkan untuk meneruskan usaha tersebut sama ada melalui risalah, telefon atau mesej ringkas oleh SASGM secara peribadi.
Mengalu-alukan kehadiran para penganut agama Hindu untuk makan tanpa sebarang bayaran, Pengerusi Pertubuhan SASGM, Panir Selvam, 50-an berkata, amalan yang diperkenalkan pertubuhan tersebut ialah seolah-olah mereka menjadi tuan rumah kepada para penganut yang datang dari serata Malaysia dan dunia.
"Sekiranya tetamu datang berkunjung ke rumah kita, tuan rumah lazimnya akan melayan tetamu dengan memberi makan minum. Itu yang kami lakukan," katanya memberi perumpamaan.
Pertubuhan yang beroperasi sejak tahun 1992 itu tertumpu kepada aktiviti keagamaan dan sosial. Idea untuk menyumbang makanan secara percuma itu bermula sejak tahun 1996. Tahun ini masuk kali ke-18 makanan percuma dijayakan SASGM.
Aktiviti seumpamanya bakal dikembangkan ke sebuah lagi kuil yang terkenal di Kuala Selangor.
"Kami menerima respons yang semakin baik dan memberangsangkan. Ini membuktikan keikhlasan dan komitmen orang awam," kata Selvam.
Menyasarkan sebanyak 100,000 hidangan, operasi agihan makanan dijadual berlangsung selama dua hari. Acara bermula pada 26 Januari dari pukul 7 pagi, manakala pada 27 Januari, agihan makan malam tamat sekitar pukul 10 malam.

SUKARELAWAN mengagih-agihkan makanan kepada orang awam.


Persediaan
Kerja-kerja penyediaan pula bermula sehari lebih awal iaitu pada 25 Januari.
Panir memberitahu, sejak beberapa tahun lalu, jumlah penganut yang mengambil makanan percuma semakin berkurangan. Faktor itu mungkin disebabkan perubahan lokasi dari pintu masuk utama. Kini, ia ditemepatkan berdekatan landasan kereta api.
Jika sebelum ini, SASGM menawarkan makanan siap dibungkus dalam bekas polistrine, strategi diubah kepada makanan dihidang di dalam pinggan beralas plastik.
"Perubahan lokasi mungkin kurang menggalakkan orang ramai berjalan masuk sehingga ke lokasi pemberian makanan percuma. Mereka juga perlu beratur menunggu giliran untuk makan di tempat yang disediakan," kata Panir.
Jelas beliau, perubahan lokasi tidak dapat dielakkan kerana ia melibatkan arahan pihak berkuasa tempatan untuk kerja-kerja penambah baik sekitar kawasan. Namun, Panir akui mereka mempunyai sebab kukuh untuk tidak menyediakan makanan yang siap dibungkus.
"Pada mulanya ramai yang melihat kaedah membungkus makanan lebih mudah. Tetapi apabila melihat kesannya, kami percaya para penderma pasti akan kecewa," katanya sambil mengarahkan salah seorang ahli jawatankuasa membawa rekod derma orang ramai.
M. Thilagavathy, 39, Timbalan Setiausaha Pertubuhan SASGM sambil membuka buku rekod derma memberitahu, dengan kaedah baharu ini mereka dapat mengurangkan pembaziran. Begitu juga dengan masalah sampah sarap apabila mempraktis layan diri berbanding membungkus makanan.
"Kita mempunyai ramai penderma, sebagai menghormati niat murni mereka, tidak manis makanan ini dibazirkan. Ia benar-benar bertentangan dengan polisi kami. Kami mengambil langkah ini setelah mempertimbangkan pengalaman mengendalikan aktiviti seumpamanya lebih sedekad lalu," kata Thilaga berhubung kaedah menghidang makanan seperti yang dilakukan pengusaha restoran daun pisang India.
Thilaga yang menyokong tindakan Pengerusi SASGM mendakwa, apabila makanan dibungkus, ada segelintir pihak mengambil kesempatan dengan mengambil lebih daripada yang diperlukan. Apabila berlebihan, mereka tanpa rasa bersalah membuang kotak-kotak polistrine yang berisi makanan merata-rata.
"Ini satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab dan menyakiti hati penderma. Jadi kami perlu mengubah strategi. Saya percaya, mereka yang benar-benar mahu makan, tidak kisah dengan perubahan ini. Apa yang penting, tiada pembaziran makanan," kata Thilaga.
Panir Selvam pula menambah, isu penggunaan polistrine yang membahayakan kesihatan dan alam sekitar turut diambil kira sebelum membuat keputusan.
"Jangan kerana satu niat yang baik, kita sanggup mengabaikan pelbagai perkara yang boleh membahayakan. Tidak berbaloi niat baik itu," katanya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2J4F3BtRD 
Hakcipta terpelihara 

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...