Saturday, January 12, 2013

Cinta saujana ladang teh



PEMETIK daun teh di India lazimnya dimonopoli oleh kaum wanita.


"SELAMAT datang. Anggaplah tempat ini macam rumah kamu sendiri". Kata-kata itu menyambut kehadiran kami sebaik tiba di Thengal Manor.
Sememangnya itulah yang diharapkan, lebih-lebih lagi ia merupakan pengalaman pertama kami menginap di vila keluarga salah seorang pengeluar teh terkemuka di India.
Berlatarbelakangkan taman-taman indah, Thengal Manor, yang terletak di perkampungan Assam, kira-kira 15 kilometer dari bandar Jorhat, India menjanjikan penginapan penuh eksklusif kepada pelancong.
Kunjungan ke vila lima bilik yang berciri era kolonial itu menandakan permulaan pengembaraan kami ke kawasan ladang teh terkemuka di India iaitu Assam dan Darjeeling.
Sepanjang tempoh itu, kami tidak sekadar menyaksikan kehebatan para pekerja ladang teh yang majoritinya wanita memetik daun-daun teh dengan kelajuan menakjubkan, malah berpeluang menghirup teh segar di hadapan pendiang api sambil dimanjakan gaya hidup mewah.
Pastinya, peluang yang ada digunakan untuk merasai sendiri keenakan teh Assam dan teh Darjeeling yang sangat terkenal dalam kalangan penggemar teh di seluruh dunia.
Saya akui, teh bukanlah minuman kegemaran saya. Bahan tanin yang terkandung dalam daun teh boleh menyebabkan perut saya memulas-mulas. Bagaimanapun, isteri saya yang berasal dari Scotland, tidak begitu.
Justeru tidak hairanlah jika dia begitu ketagih terhadap teh.
Faktor berkenaan, ditambah dengan keindahan alam semula jadi yang ditawarkan di wilayah timur laut India itu, mencetuskan minat kami untuk bercuti sambil mengembara di ladang-ladang teh yang kini semakin popular dalam kalangan pelancong.
Tarikan penginapan
Permintaan yang semakin meningkat menyebabkan banyak pengusaha teh di India kini membuka ladang mereka kepada pelancong yang berminat.
Mereka bukan sahaja dibawa untuk melihat proses pengilangan teh dilakukan, malah berpeluang menerokai kehidupan elit pemilik ladang teh yang digelar burra sahib oleh penduduk tempatan.
Ramai orang yang tidak mengetahui bahawa kebanyakan ladang teh dikuasai oleh orang Inggeris semasa zaman penjajah satu ketika dahulu.
Mereka menguasai laluan perdagangan teh di timur laut India, wilayah selatan dan Sri Lanka, termasuk rangkaian di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Bagaimanapun, ketika ini terdapat peningkatan dalam kalangan warga Amerika Syarikat (AS) yang turut menceburi perniagaan berkenaan.
Antara faktor utamanya ialah permintaan tinggi dalam kalangan penduduk di AS sendiri terhadap seni dan teh berkualiti tinggi, biarpun isteri saya menegaskan budaya minum teh masih baharu di sana.
Ditemani dua orang rakan dari Perancis, saya dan isteri merancang sendiri pengembaraan kami ke Thengal Manor.
Dikelilingi padang rumput seluas dua hektar, vila mewah lima bilik itu turut menempatkan ruang makan, ruang tamu, lounge, dapur dan pantri untuk keselesaan pengunjung.
Menariknya, keunikan seni bina dengan dekorasi dan perabot ala Inggeris yang menghiasi segenap sudut bangunan membuatkan pengunjung seolah-olah kembali ke era kolonial.
Sentuhan peribadi

BANGLO-BANGLO lama seperti ini banyak boleh ditemui di sekitar Assam dan Darjeeling.


Kemewahan vila itu turut diserlahkan dengan kehadiran lampu candelier dan pendiang api di setiap bilik. Terdapat sebuah lukisan potret salah seorang keturunan Barooah iaitu Bisturam Barooah. Vila itu sendiri dibina oleh anak lelakinya selepas bergelar pengusaha ladang teh rakyat India terkaya di Assam pada 1929.
Keluarga Barooah mula menerima kehadiran pelawat sejak tahun 2000, namun ladang teh itu kekal sebagai kawasan peribadi mereka.
Tidak jauh daripada vila itu terdapat 19 buah kuil kecil yang dibina khusus untuk upacara keagamaan.
Kami berkesempatan melihat kawasan sawah padi dan perkampungan yang dikelilingi pepohon buluh di samping melihat sendiri proses membuat teh di kilang Ladang Teh Gatoonga.
Kami juga menghabiskan masa hampir dua jam melalui dua pilihan laluan tersedia iaitu dari banglo Mistry Sahib yang merupakan pemilik Ladang Teh Gatoonga atau banglo Burra Sahib iaitu pemilik Ladang Teh Sangsua yang menawarkan panorama berbeza.
Banglo unik
Pada hari kedua di Assam, pengembaraan kami diteruskan dengan melawat Ladang Teh Addabarie berhampiran bandar Tezpur. Di situ, sebuah agensi pelancongan telah memajak kediaman pengurus ladang, sebuah banglo tiga bilik dikenali sebagai 1875 Heritage Bungalow serta lima buah rumah bersaiz sederhana untuk disewa kepada pelancong.
"Beginilah corak kehidupan pengurus ladang di sini," kata pengurusnya, Durrez Ahmed.
Beliau yang merupakan antara perintis kepada pelancongan unik itu menawarkan 21 penginapan berbentuk inap desa bersama pekerja-pekerja ladang dan rumah kelas atasan.
Berbanding kilang-kilang pemprosesan teh yang lain, kilang miliknya yang beroperasi sejak 1859 tidak bergantung kepada teknologi moden untuk menghasilkan teh berkualiti tinggi bagi pasaran AS dan Eropah.
"Kami memerlukan sentuhan manusia dan deria bau, bukan tangan robotik atau sensor aromatik," kata Mukhjerjee, sambil menjemput kami untuk merasai enam jenama teh keluarannya.
Antara yang paling popular ialah jenama Silver Tips Imperial, yang pernah direkodkan mencecah jualan sehingga AS$1,000 sekilogram (RM3,031) dalam satu acara lelongan di China.
Sebaik pulang semula ke Windamere, kami menikmati makan malam yang romantik di bawah cahaya lilin dan muzik berlatarbelakangkan era 20-an dan 30-an. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0110&pub=Kosmo&sec=Horizon&pg=ho_02.htm#ixzz2Hk8bhXQK 
Hakcipta terpelihara 

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...