Sunday, December 16, 2012

Arja mahu jadi penyanyi



PEMANDANGAN susuk tubuhnya yang jantan sudah melayakkan jejaka bernama Azharudin Ramli ini digelar lelaki maskulin. Tingkah dan cara tutur katanya juga tidak mencacatkan rupa gagah jejaka berusia 29 tahun ini.
Biarpun si empunya diri mahu mengelak, namun pada separuh jiwanya turut mengalir bersama imej yang tidak sedap didengar. Penangan filem pertama lakonannya berjudul ...Dalam Botol yang menjadikan Arja sebagai seorang transgender itu masih melekap pada figura tersebut hingga kini.
Naskhah arahan Raja Azmi yang menjadi tanda salam perkenalannya turut membuat pemilik nama popular Arja Lee itu menjadi sedikit menggelegak. Sementelah kontroversi negatif itu menjadi penyumbang kepada graf popularnya.
Kesediaannya menjadi pencinta sesama jenis dan keberanian melakonkan aksi bogel sehingga menerima kata-kata kritik adalah sesuatu yang hakikat. Namun si empunya diri sudah mahu melupakan cerita lama itu.
"Biarlah hal yang sudah berlaku itu berlalu. Sebenarnya masih ramai lagi yang tidak mengenali saya. Cuma ada segelintir yang masih ingat tentang kontroversi itu.
"Saya bukan budak-budak lagi dan tahu menguruskan diri. Saya tahu apa yang saya buat dan memikirkan baik dan buruknya. Lagipun setelah bergelar graduan, saya perlu menjaga batasan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam masyarakat.
"Biarlah cerita itu lenyap begitu sahaja kerana saya sedar ia mungkin kesilapan saya sendiri pada masa lalu. Syukur kerana saya kini langsung tidak dengar hal itu dibangkitkan lagi," kata jejaka yang berketinggian 177 sentimeter ini.
Biarpun naskhah yang penuh nostalgik dalam sejarah hidup Arja itu sekadar mengutip pulangan RM570,000 ketika ditayangkan pada Mac tahun lalu, namun keberanian Arja menanggalkan pakaian itu kekal menjadi ingatan peminat filem tempatan.
Mengakui sedikit sesal tentang hal tersebut, jelas Arja: "Perbuatan itu sebenarnya tidak menjadi masalah besar. Ia mungkin kesilapan kecil saya yang pernah dibuat pada suatu ketika dahulu.
"Tetapi saya lebih gembira dan berterima kasih apabila orang Malaysia sudi memaafkan kesalahan itu. Saya ingin tegaskan juga bahawa kalau mati hidup balik pun saya tidak akan melakukannya lagi."
Panas yang dibawa bersama sensasi filem arahan Raja Azmi itu tidak lama, apatah lagi dia tidak lagi muncul-muncul dalam sebarang filem lain. Sementelah Arja sibuk menamatkan pengajiannya di peringkat ijazah Sarjana Muda dalam bidang Seni Halus (Lakonan dan Pengarahan) di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Walaupun seketika menyepi, Arja yang kembali mengecap nama menerusi drama Saiful Nita yang baru sahaja tamat siarannya bakal aktif semula.
"Syukur saya sudah tamat pengajian selama tiga tahun di USM apabila selesai konvokesyen pada September lalu. Kini bolehlah saya meneruskan fokus kepada bidang kerjaya pula.
"Sebelum ini pun (selepas filem ...Dalam Botol) bukan tiada langsung tawaran berlakon filem. Tetapi ia terpaksa ditolak kerana mahu memberi tumpuan kepada pengajian dahulu," katanya.
Sebagai terus membuktikan kebenaran sifat jantannya menerusi cabaran fizikal pula, Arja bakal muncul menerusi rancangan realiti televisyen Fear Factor Selebriti Malaysia yang bermula pada 29 Disember ini pukul 9 malam di saluran Astro Ria.
MAHU melupakan kontroversi lalu, Arja sudah mencongak untuk membuka diari 2013 dengan cerita baik-baik sahaja.


"Pastinya ia pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan jauh berbeza berbanding ketika melakukan persiapan dalam booth camp selama lima hari di Batu Caves, Selangor dan beberapa sesi latihan sendiri.
"Saya gembira juga apabila digandingkan dengan Alam (Wakaka Crew) sebagai pasangan kerana kami saling melengkapi. Saya takut pada ketinggian dan dia yang lebih berani akan membantu saya juga.
"Tidak banyak beza pun rancangan tersebut berbanding aksi yang kita tonton dalam rancangan Fear Factor luar negara melainkan tiada aksi memakan makanan pelik kerana penerbit tidak mahu menyentuh sensitiviti penonton di sini.
"Apa yang pasti ia sesuatu yang menarik untuk ditonton. Banyak drama dan aksi lucu juga," katanya yang berkelana ke Cape Town, Afrika Selatan bersama 15 pasangan selebriti lain selama tiga minggu pada Oktober lepas.
Sementara hangatnya masih ada, Arja tidak sekadar mahu bersandarkan kepada kerja lakonan apabila nekad untuk turut bergelar penyanyi. Protfolio itu seharusnya menjadi kenyataan kelak apabila dia bakal muncul menerusi sebuah single tidak lama lagi.
Diberi judul Cerita Pada Mereka, lagu ciptaan komposer Keroz Nazri itu diberi nafas balada urban agar serasi dengan selera semasa pendengar.
"Single itu bukan kerana syok sendiri tetapi dilakukan atas keyakinan sendiri apatah lagi bermulanya saya dalam dunia hiburan adalah sebagai seorang penyanyi.
"Jika ada yang masih ingat, saya sebenarnya pernah menyertai rancangan realiti Gangstarz dan Akademi Fantasia 6. Saya juga pernah terlibat dalam beberapa pementasan muzikal di Istana Budaya yang memerlukan saya menyanyi secara langsung.
"Untuk lagu itu pun saya sudah melakukan yang terbaik dengan rencah bukan melakukan apa yang kita sendiri suka, tetapi apa yang orang mahu," jelas anak jati Kuala Lumpur itu.
Selain sibuk merakamkan single tersebut, Arja sedang mencari bahan untuk menghasilkan dua buah lagu lain.
Dalam galak bercerita, Arja turut berkongsi jadual kerjanya apabila sering sibuk mengadakan persembahan nyanyian di beberapa majlis dan baru sahaja tamat penggambaran telemovie La Diva Laressa bersama aktres Erra Fazira untuk siaran di saluran Astro Ria.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1216&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2FD48YT8o
Hakcipta terpelihara 


Cari pakar katering di Melaka? Hubungi Mhi Teguh hari ini!

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...