![]() |
PERJALANAN meredah Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) dari ibu kota Kuala Lumpur ke daerah kecil di bandar Taiping, Perak hujung minggu lalu membuahkan hasil apabila dapat bersua muka dengan si cantik manis Izara Aishah.
Ketika ditemui, pelakon itu sedang sibuk berlatih untuk babak aksinya bertempur dengan pelakon kacak, Datuk Eizlan Yusof.
Kelapangan seketika bintang Vanilla Coklat usai dikerumuni peminat daripada kawasan sekitar pantas diselitkan dengan temu ramah bersama rakan media.
Menyelak kembali pendedahan sensasi Izara tentang hubungan cintanya dengan seorang jejaka berusia 20 tahun lewat minggu lalu, bicara dimulakan dengan tanda tanya tindakan pelakon itu.
Tegas pemilik nama Izara Aishah Hisham, 20, dia tidak melihat pendedahan kepada khalayak mengenai kekasih hatinya itu sebagai satu propaganda. Malah dia berasa selesa dengan tindakan yang diambilnya.
Pendedahan itu, bagaimanapun tambah Izara tidak memberi kesan kepada karier seninya termasuk peminat. Malah, tindakan tersebut juga disokong oleh keluarga kedua-dua belah pihak.
"Sebenarnya saya tidak pernah sembunyikan dengan siapa saya berkawan dan dengan siapa saya bercinta sebelum ini. Saya dan dia pun sudah lama kenal. Jadi, tidak timbul isu saya cuba menipu atau mencipta sensasi apabila saya membuat pendedahan terlalu mudah dan tidak banyak bermain teka-teki.
"Keputusan untuk memberitahu kepada khalayak adalah keputusan saya sendiri dan untuk merahsiakan perkara tertentu juga keputusan saya. Maka orang ramai perlu menghormati hak privasi saya.
![]()
IZARA AISHAH menikmati karier sebagai seorang pelakon dengan baik. Justeru, apabila dia dihimpit kontroversi, pelakon ini cukup tenang dan berhati-hati menanganinya.
|
Saya tidak mahu dituduh berbohong atau cuba sembunyikan hakikat. Saya juga tahu batasan saya," katanya ketika ditemui di Taiping, Perak baru-baru ini.
Sebelum ini, Izara pernah memberitahu bahawa dia sudah mempunyai teman lelaki sebaya yang dikenalinya sejak dari kecil. Namun, hubungannya dengan ahli perniagaan itu bertambah rapat setelah tamat persekolahan tingkatan lima.
Biarpun sedang diulit bahagia, tegas Izara dia tidak pernah terfikir untuk melanjutkan hubungan itu ke peringkat lebih tinggi seperti perancangan bertunang atau berkahwin dalam masa terdekat.
Balun
Berbalik kepada matlamat asal pertemuan bersama Izara, pendukung watak Nurul Ain, seorang anak guru silat kampung dalam filem Balun berkongsi pengalamannya pertama kali membintangi filem aksi.
Filem yang kini masih dalam proses penggambaran memerlukan Izara mendalami ilmu persilatan Melayu iaitu Silat Pulut daripada seorang guru silat Dr. Aziwahija Yeop selama lebih dua bulan.
![]()
IZARA kini sibuk di lokasi penggambaran filem aksi, Balun.
|
"Sebelum ini saya pernah belajar seni bela diri Muay Thai sejak berusia 16 tahun, tapi saya hanya tahu teknik asas saja. Apabila sudah terlalu lama tidak berlatih, skil pun tidak sehebat dulu," getusnya berseloroh.
Sepanjang latihan sebelum memasuki set penggambaran filem arahan Bob Singah itu, Izara sudah mengalami beberapa kecederaan kerana tersalah percaturan.
"Saya pernah kena tendang di kepala, muka dan kaki. Lumrah kalau belajar seni bela diri.
"Belajar seni silat berbeza daripada Muay Thai kerana pergerakan yang lembut seakan-akan gerakan tarian. Saya memang minat seni bela diri sejak dulu lagi dan peluang beraksi dalam filem ini sudah lama saya tunggu sebenarnya," kongsinya teruja.
@kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment