PETALING JAYA: Pelakon Syafie Naswip terkilan dengan sikap seorang aktor remaja yang enggan memohon maaf selepas menyebabkan kecederaan kepadanya ketika penggambaran telefilem Neraka Abah beberapa hari lalu.
Syafie atau nama sebenarnya Mohammad Syafie Naswip, 20, berkata, kecederaan pada lengan kirinya itu terjadi akibat terhentak pada akar pokok selepas ditendang dengan kuat oleh pelakon berkenaan ketika penggambaran berlangsung.
“Lengan kiri saya menjadi bengkak dan lebam teruk kerana terhentak pada akar pokok selepas ditendang pelakon itu ketika adegan pergaduhan bagi penggambaran.
“Saya pelik mengapa dia menendang saya seperti pergaduhan sebenar sehingga mendatangkan kecederaan kepada saya. Walhal dia sudah berlakon sejak zaman kanak-kanak lagi. Takkanlah dia tidak tahu teknik lakonan?
“Apa yang saya kesalkan dia langsung tidak meminta maaf dengan tindakannya itu sehingga hari ini (Rabu) sedangkan dia tahu saya benar-benar mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Rabu.
Syafie bagaimanapun mengambil pendekatan untuk tidak memaklumkan siapakah pelakon tersebut.
Telefilem arahan Heykal Hanifah itu turut dibintangi Amyza Aznan, Azhan Rani, Zarina Zainoordin (AF2) dan adik Raikal. Ia bakal ditayangkan pada 17 Oktober depan di TV9.
Aktor yang popular menerusi filem Mukhsin ini berkata, insiden tersebut meninggalkan tanda tanya kepadanya mengenai alasan di sebalik tindakan pelakon remaja yang disifatkan sebagai tidak profesional itu.
“Saya masih tertanya-tanya sama ada dia sengaja atau tidak apabila menendang saya dalam penggambaran itu? Saya tidak tahu apa yang cuba dibuktikan dan niat di sebalik tindakannya tersebut?
“Malah, lebih mengecewakan apabila dia tergelak dan menganggap kejadian itu bukan sesuatu yang serius selepas melihat saya mengerang kesakitan akibat perbuatannya itu,” kongsinya.
Ditanya adakah berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum itu, Syafie berkata, mereka tidak rapat dan hanya bertegur sapa ketika di lokasi sahaja.
“Kalau diikutkan ini adalah kali ketiga kami berlakon bersama tapi hubungan kami memang tidak rapat pun. Bila berjumpa di lokasi, kami hanya bersalam, berbual ringkas dan membuat hal masing-masing.
“Jadi, saya sendiri hairan mengapa dia bertindak demikian. Kalau kita bertindak atau berlakon yang agak kasar kepada orang lain pun kita akan segera minta maaf, apatah lagi selepas mengakibatkan kecederaan,” luahnya.
Mengenai kecederaan itu, Syafie berkata, bengkak pada lengannya kini beransur susut dan dia perlu berehat di rumah selama empat hari selepas menamatkan penggambaran pada Selasa lalu.
Syafie yang akan memulakan penggambaran telefilem Tasbih Yang Terlerai terbitan Filmscape selepas ini turut memberitahu dia mahu lebih berhati-hati jika menerima tawaran berlakon di samping aktor itu pada masa akan datang.
@mstar.com.my
No comments:
Post a Comment