Saturday, September 22, 2012

Nilai mewah pelancongan Bhutan

SEBUAH biara Buddha yang dikenali dengan nama Tiger's NEst menjadi tarikan pelancongan unik berikutan lokasinya di pinggir tebing gunung.


BHUTAN, satu-satunya negara di dunia yang mengiktiraf kesejahteraan warganya sebagai tanda aras kemajuan adalah syurga bagi pelawat yang mengagumi alam semula jadi dan ketenangan.
Negara sistem beraja itu yang dikelilingi jiran India dan China juga adalah tempat bermeditasi Buddha Mahayana yang turut menarik kedatangan penziarah agama.
Lawatan ke Bhutan tidak kira apa jua tujuannya pasti mengujakan sesiapa sahaja.
Drukair adalah satu-satunya syarikat penerbangan yang mengadakan perkhidmatan udara ke Bhutan. Drukair tidak menawarkan sebarang hiburan dalam penerbangan, tetapi kekurangan itu diatasi dengan pemandangan luar yang menarik seperti Banjaran Himalaya, Gunung Everest dan Chomolhari.
Juruterbang Drukair yang mesra menunjukkan kepada para penumpang gunung-ganang utama selain memberikan sedikit penjelasan.
Penumpang pasti khusyuk menikmati pemandangan indah dan mengagumkan di luar tingkap.
Bagi mereka yang pertama kali ke Bhutan, pasti mengalami detik cemas semasa pesawat turun untuk mendarat. Hal ini kerana juruterbang perlu mengemudi pesawat melalui lembah dan lurah banjaran yang menjadi kubu semula jadi negara itu.
Kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Paro yang terletak di ketinggian 6,000 meter dari aras laut pasti menambahkan kerisauan penumpang, malah lapangan terbang itu antara yang paling mencabar di dunia.
Apa tidaknya, juruterbang perlu menerbangkan pesawat secara visual sepenuhnya.

SELAIN keindahan alam semula jadi, Bhutan turut mempunyai tarikan dari segi kebudayaan dan seni bina yang unik.


Tiada lampu isyarat
Keadaan jalan yang sempit dan berliku-liku dari Paro ke ibu negara Bhutan iaitu Thimphu mengambil masa selama sejam.
Cuaca sejuk, rumah-rumah ladang dan padang rumput menampilkan panorama indah sepanjang perjalanan.
Thimphu yang dikelilingi banjaran dengan ketinggian antara 1,800 hingga 3,800 meter dari aras laut merupakan bandar yang lengang, hanya terdapat beberapa baris hotel dan kedai.
Para pelawat terutama dari negara maju pasti gembira apabila mengetahui tiada lampu isyarat di Bhutan sekali gus tidak perlu memikirkan kesesakan lalu lintas.
Bhutan dengan bilangan penduduknya menjangkau 700,000 orang, selama ini tertutup kepada dunia luar dengan rakyat negara itu masih kuat mempertahankan tradisi dan adat resam mereka.
Walaupun begitu, arus kemodenan sedikit sebanyak membawa budaya asing menular perlahan-lahan dalam kehidupan penduduk tempatan.
"Lima tahun lepas, jarang dapat dilihat warga Bhutan memakai pakaian Barat di negara mereka, tetapi remaja masa kini sudah gemar menggunakan seluar jean dan kemeja T. Mereka juga meminati piza berbanding makanan tradisional Bhutan," kata seorang lelaki tempatan.
TARIAN Gopeng Gendang tidak harus dilepaskan oleh para pelancong.


Cabaran ke biara
Taktshang, sebuah biara Buddha yang dibina pada 1692, ataupun lebih dikenali sebagai Tiger's Nest menjadi tarikan utama di Land of the Thunder Dragon itu.
Terletak pada ketinggian 3,120 meter dari aras laut di kedudukan utara pekan Paro dan dikelilingi cenuram, lawatan ke situ pasti menguji kekuatan fizikal mana-mana pelancong.
Bahagian pertama perjalanan boleh dilakukan menggunakan kuda dengan bayaran Rs900 (nilai mata wang Bhutan, Ngultrum ditetapkan mengikut kadar Rupee India) iaitu kira-kira RM50.
Pemilik kuda akan memberi sedikit petua kepada penunggang sebelum memulakan perjalanan. Antaranya, apabila kuda mula mendaki, kena bongkokkan badan ke hadapan dan apabila turun bukit perlu menyandar ke belakang.
Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak pernah menunggang kuda, pasti ia memberi satu cabaran terutama apabila kuda tiba-tiba berpusing ke arah lereng bukit.
Perjalanan dengan kuda hanya meliputi bahagian pertama laluan tersebut dan bahagian kedua lebih sukar kerana pelancong perlu mendaki 750 anak tangga yang sempit dan curam.
Lawatan ke biara itu mengambil masa antara tiga hingga lima jam dan bagi mereka yang berjaya sampai ke puncak pasti sangat teruja melihat pemandangan alam semula jadi yang indah.

SAMA ada berjalan kaki ataupun menunggang kuda, laluan redup seperti ini memberikan pengalaman menarik buat pelancong.


Panorama indah
Dochula Pass terletak antara Punakha dan Thimphu. Genting itu agak popular dalam kalangan pelancong kerana menawarkan pandangan 360 darjah Banjaran Himalaya semasa cuaca cerah.
Kehebatan tempat itu terserlah dengan kewujudan Druk Wangyal Chortens yang terdiri daripada 108 buah kubah yang dibina oleh Bonda Ratu Sulung, Ashi Dorji Wangmo Wangchuk.
Genting tersebut juga adalah kawasan spiritual popular bagi warga tempatan dan asing. Ia boleh dilawati hanya dengan berjalan kaki berikutan wujudnya rangkaian jalan di situ.
Punakha dikenali sebagai Palace of Great Happiness dan banyak acara utama berlangsung di situ.
Semasa berada Punakha, para pelancong akan dapat melihat tentera zaman pertengahan lengkap dengan pakaian seragam. Mereka juga menceritakan kisah peperangan lampau membabitkan negara mereka.
Tarian Topeng Gendang adalah sebuah tarian kebudayaan dan agama yang tidak harus dilepaskan. Semasa persembahan, para penari memakai pakaian biara serta topeng kayu berwajah haiwan dan mitos.

Peta menunjukkan kedudukan Bhutan yang terletak di antara China dan India.


Kos mahal
Sebanyak 65,756 pelawat datang ke Bhutan pada 2011, sebilangan besar daripada mereka berusia lebih 60 tahun. Warga emas tersebut merupakan golongan kaya kerana kos melancong di Bhutan adalah mahal.
"Kami mahu warga emas yang kaya iaitu yang benar-benar menghargai negara kami dan tidak menjejaskan budaya serta alam sekitar kami," kata Perdana Menteri, Jigme Y. Thinley kepada Bernama.
Dari segi pelancongan, Bhutan hanya mahukan pelancongan bernilai tinggi.
"Bhutan telah mula memberi penarafan kepada hotel-hotelnya. Selagi tidak mencapai mata tertentu, pihak hotel tidak boleh menerima pelancong. Jika tidak pasti sukar untuk menampung pelancongan mewah," kata Jigme yang menyatakan Bhutan dalam proses pembangunan, tetapi akan mengekalkan budaya dan tradisinya.
Bhutan terkenal kerana tanda aras yang digunakan dalam pembangunan ekonominya iaitu Indeks Kesejahteraan Nasional dan Majlis Pelancongan Bhutan mempromosi negara itu melalui slogan Happiness Is A Place.
Sama ada pelawat itu menemui kepuasan di negara kecil tersebut bergantung kepada apa yang didambanya. Namun, Bhutan pasti mempesona pelawat bersama keindahan alam semula jadi dan kekayaan khazanah budaya.- Bernama
@kosmo.com.my

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...