Saturday, September 22, 2012

Menjaga lembu seperti anak sendiri



WANITA berusia 40 tahun itu, Letchumi Muniandy bangun seawal pukul 6 pagi untuk memulakan tugas-tugas rutin bersama enam orang pekerja yang lain.
Tugasnya tidak glamor seperti pegawai perhubungan awam mahupun setiausaha, namun setiap hari dia mesti akan memastikan para pekerja memberi makan secukupnya 130 ekor lembu tenusu baka frisian sahiwal dan frisian jersey.
Susu lembu diperah dua kali sehari iaitu pada pukul 8 pagi dan 6 petang menggunakan kaedah tulang ikan dari Thailand. Kaedah itu mampu mengumpul susu sebanyak 600 liter sehari.
Kaedah perahan susu tulang ikan membolehkan lebih kurang 10 ekor lembu diperah sekali gus dalam satu masa.
Semua alat perahan susu yang dipasang pada kantung susu lembu bersambung menjadi satu saluran yang terus ke bekas pengumpulan.
Dengan kaedah tulang ikan, susu dapat diperah dengan cepat dan dalam masa yang sama tahap kebersihan terjamin.
Selang masa antara dua waktu memerah susu, Letchumi memastikan lembu-lembu itu mendapat makan dan rehat yang cukup. Dia dan para pekerjanya turut mendapat rehat sebelum tugas waktu petang menjelma.
Suaminya, P. Jaga, 45, yang merupakan seorang pensyarah membantunya pada hujung minggu. Dalam nada lembut, dia mengakui sudah masak dengan cabaran menjadi penternak lembu tenusu.
Ketika mula-mula menjalankan penternakan lembu tenusu, dia dan suaminya membeli lembu-lembu bunting dari Thailand.
“Tahun pertama, kami rugi besar kerana 20 ekor daripada lembu yang dimiliki mati. Tahun kedua, masih lagi tidak mendapat sebarang keuntungan.
“Tahun ketiga, saya mengambil keputusan menguruskan ladang ini sepenuh masa,” luah Letchumi ketika ditemui di ladangnya yang terletak di Kampung Ganun, Alor Gajah, Melaka.
Akuinya, kurang pengetahuan mengenai kesihatan dan keadaan fizikal lembu menyebabkan dia dan suami mengalami kerugian besar dua tahun lalu.
LEMBU-LEMBU ternakan perlu diberi makanan secukupnya sama dengan kuantiti pengeluaran susu.


Produktif
Sama seperti makhluk bernyawa lain, lembu juga menunjukkan tanda-tanda sedang sakit. Haiwan itu turut memerlukan rehat dan makan yang cukup supaya produktif dan tidak boleh terlalu tertekan.
Bagi Bacha Lal Baboothi Ram, 57, pula, masalah ruang ternakan dan makanan menjadi isu yang masih membelenggu hingga kini.
Dia yang merupakan generasi ketiga penternak lembu tenusu terpaksa memotong rumput-rumput sekitar Melaka setiap pagi semata-mata mahu memastikan lembu ternakan tidak putus bekalan makanan.
Letchumi juga berdepan masalah sama, penyelesaian yang dilakukan ialah menanam sendiri rumput di atas tanah seluas 24 hektar berdekatan ladang ternakan. Dahulu dia terpaksa membeli rumput dari Perak.
“Ketika menjalankan ternakan lembu tenusu secara bebas di ladang, hasilnya sangat banyak tetapi kini agak kurang setelah semua lembu dikurung,” cerita Bacha Lal.
Menurutnya, industri tenusu juga pernah mengalami zaman merudum sekitar tahun 90-an sehingga menyebabkan lelaki dari Tambak Paya, Melaka itu menjual ladang berteknologi tinggi di Hutan Pecah, Melaka.
Ketika itu, masalah penyakit dan harga susu lembu yang murah serendah 50 sen seliter menyebabkan dia terpaksa berbuat demikian, namun kini, Bacha Lal bersyukur kerana kehidupan sudah stabil dan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) kerap membantu.
“Menjaga lembu tenusu sangat susah, lembu-lembu perlu sentiasa diberi cukup air dan perlu diperiksa setiap hari,” jelasnya tetapi pada masa yang sama dia yakin pekerjaannya itu membuahkan hasil yang lumayan.
Pekerjaan yang diwarisi oleh datuk dan ayah Bacha Lal kini bakal diwarisi anaknya, Rajnath Dinesh Lal Bacha Lal, malah dia mampu menghantar salah seorang anaknya belajar di Glasgow, United Kingdom.
Pendapat yang sama turut dikongsi oleh Letchumi. Bidang pertanian dan penternakan sudah pasti akan memberikan keuntungan cuma perlu bersabar dan memakan masa. “Paling penting ialah rasa sayang kepada haiwan dengan kerap membelai dan menjaga lembu-lembu seumpama menjaga anak sendiri,” ujarnya sambil menambah, dia pernah mengalami lebam-lebam pada badan akibat ditendang lembu ketika proses memerah susu.
Seperti yang diungkapkan oleh Ketua penolong Pengarah Kanan JPV, Dr. Siti Salmiyah Tahir, 51, menternak lembu tenusu lebih susah daripada lembu daging.
“Penghasilan susu bukan sahaja untuk kegunaan anak lembu, malah perlu memenuhi kapasiti penggunaan sumber protein itu di seluruh negara,” kata Siti Salmiyah ketika melakukan lawatan ke ladang lembu penternak di sekitar Melaka.

LETCHUMI memastikan lembu ternakannya mendapat kasih sayang selain mendapat makanan secukupnya setiap hari.


Ubat pembasmi kuman
Susu merupakan hidangan yang penuh nutrien dan mudah dihadam. Ia mengandungi lemak tepu, protein, kalsium dan juga vitamin C.
Ia sangat mudah tercemar sama ada melalui ubat-ubatan yang diberikan pada lembu atau bakteria selepas dibiarkan terdedah pada suhu bilik dalam tempoh yang lama.
Sehubungan itu, Ladang Agro Tenusu milik Letchumi mengamalkan amalan ladang yang sangat ketat. Setiap kenderaan yang masuk akan melalui takungan air yang mengandungi ubat pembasmi kuman.
Kaki-kaki lembu yang akan diperah di sistem tulang ikan juga akan dinyah kuman selain bahagian puting turut dilakukan prosedur yang sama.
Susu yang diperah serta-merta dihantar terus ke Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu (PPIT), Air Molek untuk dijual dan disimpan. Setiap empat hari, susu terkumpul dibawa ke syarikat tenusu, Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI) untuk diproses menjadi produk susu.
Di PPIT, susu disimpan dalam tangki penyejukan yang mengekalkan suhu pada 4 darjah Celsius. Takat suhu yang sesuai untuk memastikan sumber protein dalam keadaan baik. Bakteria dalam susu boleh dihapuskan dengan menurunkan suhu atau menaikkannya dengan cara mendidihkan.
Selain memastikan susu sentiasa segar, pencemaran antibiotik juga pernah menjadi isu yang menghalang para penternak lembu untuk terus maju.
Ia sukar dikesan melalui ujian ringkas dan memerlukan beberapa siri ujian yang intensif. Apabila susu yang tercemar dicampur dengan susu yang elok, maka keseluruhan susu tersebut sudah tidak boleh diterima dari segi kualiti.
“JPV giat membantu para penternak dalam memberi pendidikan mengenai isu tersebut sejak tahun 2000. Kini, kes susu tercemar dengan bakteria hampir 0 peratus iaitu 0.1 peratus,” kata Siti Salmiyah.
Terangnya, banyak cara yang digunakan oleh para penternak dalam mengasingkan lembu yang sedang dalam proses rawatan menggunakan ubat antibiotik.
Antaranya, lembu diberi tanda pada bahagian ekor dan diasingkan bagi pengurusan memerah susu. Selepas semua lembu yang sihat diperah susunya, susu lembu sakit pula diperah. Susunya digunakan untuk minuman anak-anak lembu.
Jangka masa pengasingan lembu yang mendapat rawatan bergantung pada jenis ubat yang digunakan iaitu antara tiga hingga 14 hari dan tempoh itu susu dianggap rosak.
“Walaupun sakit, susu perlu diperah kerana jika tidak, kantung susu akan sakit dan boleh rosak. Apabila rosak, ia sudah merugikan penternak,” cerita Siti Salmiyah. Namun, masalah tersebut boleh dikawal.
Disebabkan kebanyakan ladang ternakan sekarang mengamalkan sistem kandang atau fidlot akibat kekangan tanah, lembu perlu mendapat makanan yang secukupnya.
JAGA (kiri) menunjukkan keberkesanan hasil perahan susu yang menggunakan kaedah tulang ikan.


Baka lembu
Jadi, kaedah kecekapan makanan digunakan bagi memastikan makanan yang diberikan mampu menghasilkan kandungan susu yang setimpal. Selain rumput, makanan lembu mesti mengandungi tenaga., fosforus dan serat.
Melalui pemerhatian JPV, lembu-lembu baka dari Australia berpotensi mengeluarkan susu sebanyak 25 liter sehari berdasarkan pada faktor cuaca, air dan pemakanan di Malaysia.
Lembu-lembu memerlukan keprihatinan penjaga supaya ia berada dalam keadaan optimum bagi menghasilkan susu. Lembu bunting selama dua bulan dan mengeluarkan susu untuk tujuh bulan berbanding lembu daging hanya tiga bulan.
Selepas sembilan kali melahirkan anak, lembu tersebut akan dijual atas faktor penurunan pengeluaran susu.
Dalam tempoh itu, penjagaan lembu sangat penting. Menurut Pengarah Makmal Kualiti Susu, Melaka, Rosnaini Ali, 50, terdapat konsep yang dikenali sebagai cowsignals digunapakai dalam memberi gred mengikut fizikal haiwan.
Secara asasnya, terdapat enam elemen yang perlu dinilai iaitu air, cahaya, udara, rehat, ruang dan makanan. Kesemuanya harus diteliti, dinilai dan difikirkan seterusnya bertindak atas keputusan yang dibuat.
Terdapat lima skor dengan skor pertama bagi lembu yang terlalu kurus sehingga skor lima yang menggambarkan lembu obesiti. Lembu sepatutnya berada dalam keadaan antara skor tiga dan 3.5.
Satu lagi bahagian yang perlu diperhatikan ialah rumen. Rumen merupakan ruang pertama dalam perut binatang yang menyimpan makanan separuh cerna buat sementara waktu. Makanan dalam rumen akan dimasukkan ke dalam mulut kembali sebelum dikunyah sehingga lumat.
@kosmo.com.my

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...