SEBELUM ini Terrence Tan sentiasa memastikan dia membawa beberapa kad setia yang disimpan di dalam dompetnya ke mana sahaja dia pergi. Tujuannya, supaya dia tidak terlepas peluang jualan istimewa bagi pemegang kad setia atau tiba-tiba naluri membeli-belah tercetus di destinasi tertentu yang memerlukan penggunaan kad tersebut.
Situasi itu menyebabkan dompetnya kelihatan sendat kerana dipenuhi dengan himpunan kad ganjaran. Namun, baru-baru ini keadaan berubah apabila dia hanya membawa gajet Samsung Galaxy Note sewaktu berkunjung ke Plaza Low Yat di Kuala Lumpur.
Diimbas jurujual
Ketika membeli beberapa produk berkaitan teknologi, dia hanya menunjukkan kod QR bagi aplikasi Moola Frenz yang baru disertainya untuk diimbas oleh jurujual kedai terbabit.
“Aplikasi mudah alih Moola Frenz ini sangat hebat. Ia memudahkan pengguna tanpa perlu menyimpan kad setia yang banyak.
“Malah, apabila kita membeli-belah di rangkaian Moola Shopz, lebih banyak ganjaran yang dapat dinikmati. Ia benar-benar mengujakan saya sebagai pengguna,” jelas Terrence kepada Kosmo! ketika ditemui baru-baru ini.
Aplikasi mudah alih Moola dilancarkan oleh ICT Utopia Sdn. Bhd. iaitu subsidiari milik penuh 1 Utopia Berhad pada majlis di plaza tersebut baru-baru ini.
Ia merupakan program Pulangan Tunai-Gaya Hidup pertama seumpamanya yang menyasarkan pengalaman membeli-belah pengguna dengan ganjaran tanpa henti.
Langkah ini seiring dengan permintaan pengguna yang mahukan harga yang lebih rendah, berkualiti, pilihan lebih baik dan berkemampuan untuk mencapai perniagaan melalui semua saluran yang ada pada bila-bila masa.
Berbeza dengan program ganjaran konvensional, Moola ialah program mobil evolusi yang berfungsi menggunakan aplikasi mobil dan kod QR menggunakan teknologi terkini.
Aplikasi mobil ini dicipta khas untuk kemudahan pelanggan menikmati pengalaman membeli-belah secara percuma. Pada masa yang sama, mereka berpeluang memperoleh tawaran paling hebat tanpa memerlukan sebarang kad. Majlis ini dilancarkan oleh Pengarah Urusan 1 Utopia Berhad, Victor Chin dan Pengurus Besar Kumpulan Low Yat, Michael Lee.
Pengarah Eksekutif 1 Utopia Berhad, Kenny Chow berkata, Moola merupakan lebih daripada program kesetiaan biasa. Ia menyamai kehebatan wang tunai yang digunakan sebagai pembayaran alternatif untuk ahli-ahlinya yang dikenali sebagai Moola frenz.
“Sama ada anda untuk membayar sepenuhnya atau melunaskan harga belian serta-merta ketika menjamu selera, membeli produk IT, melancong dan produk fesyen di rangkaian Moola Shopz.
“Moola menawarkan kemudahan maksimum untuk membayar barangan dan perkhidmatan tanpa wang tunai sebaliknya menggunakan teman paling rapat pengguna, telefon pintar. Tanpa proses berlarutan, anda hanya perlu imbas dan urus niaga selesai,” jelas Kenny.
Moola sememangnya unik jika dibandingkan dengan program yang terdapat di pasaran. Ia menawarkan penebusan fleksibel di mana-mana Moola Shopz menggunakan Moola yang telah diperoleh dan dikumpul.
Setiap pembelian akan memperoleh poin Moola, yang kemudiannya boleh digunakan untuk menjamu selera di pelbagai restoran dan outlet F&B, membeli-belah untuk produk ICT termasuk percutian dan fesyen.
Moola memberi ganjaran tanpa henti kepada pembeli seperti baucer FreeMakan dan pelbagai tawaran hebat lain apabila mereka menggunakan Moola yang diperoleh untuk lebih banyak penjimatan dan nilai wang.
Pengarah Projek Moola, Ryan Loh berkata, semua ahli Moola Frenz akan menikmati keahlian sepanjang hayat percuma tanpa dikenakan caj pentadbiran atau yuran penyertaan.
“Apabila dibandingkan dengan pengalaman membeli-belah linear tradisional, Moola memberi lebih manfaat kepada pedagang melalui peningkatan belian impulsif dengan kesan sampingan ke atas keuntungan. Ia berdasarkan maklumat masa sebenar yang Moola berikan kepada pelanggan mengenai promosi dan produk baharu.
“Penggunaan media sosial pintar adalah satu lagi aspek utama Moola. Keputusan membeli amat dipengaruhi oleh pendapat yang diberikan melalui media sosial dan ulasan dalam talian.
“Tidak ada perniagaan yang imun daripada segmen mudah alih apabila sebahagian besar pengguna beralih ke telefon pintar. Program afiniti saudagar Moola melalui teknologi aplikasi mudah alih khusus akan membawa ribuan pelanggan baharu ke kedai pedagang yang mengambil bahagian sekali gus meningkatkan jualan, keuntungan dan kesetiaan pelanggan mereka dalam rangkaian Moola Shopz,” jelas Ryan panjang lebar.
Tambahnya, kadar penembusan telefon mudah alih di Malaysia telah mencatat rekod yang menakjubkan pada 127.7 peratus manakala kadar penembusan pengguna telefon pintar pula dijangka mencecah 80 peratus menjelang akhir tahun ini.
Di samping itu, berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh PayPal menyatakan, 642,770 rakyat Malaysia melakukan pembelian menggunakan peranti mudah alih pada tahun 2011, berbanding 253,960 tahun sebelumnya.
Transaksi telefon pintar ini bernilai RM337 juta, mewakili hampir tiga per empat daripada keseluruhan pasaran dagangan mudah alih, berbanding RM108 juta yang dicatatkan melalui tablet.
“Angka ini amat positif untuk Moola dan ICT Utopia yakin bahawa mampu memperoleh dua juta keahlian dalam tempoh setahun dari sekarang,” tutur Ryan lagi.
Kesedaran jenama
ICT Utopia telah memperuntukkan RM1.5 juta ke atas belanjawan pengiklanan dan promosi untuk mewujudkan kesedaran jenama yang lebih besar buat Moola.
Pada masa ini, ICT Utopia mempunyai 25 pedagang F&B dan 40 pedagang runcit ICT di Lembah Klang dan Plaza Low Yat. Jumlah tersebut akan diperluaskan ke seluruh negara menjelang awal tahun hadapan. Setakat ini, 1 Utopia telah memulakan media sosial, aktiviti saudagar setempat, peraduan dan bakal diikuti oleh radio untuk membina kesedaran yang lebih tinggi mengenai Moola.
Dalam pada itu, setiap Moola Frenz atau ahli Moola berpeluang memenangi kereta BMW 3 Series sebagai hadiah utama. Peraduan di seluruh negara ini terbuka kepada semua Moola Frenz yang berbelanja melebihi RM500 bagi setiap transaksi di ICT Moola Shopz dan RM50 di F&B Moola Shopz.
Apa yang perlu dilakukan oleh semua peserta ialah mendaftarkan nombor siri peraduan di dalam aplikasi Moola mereka. Poskan ke pusat perkhidmatan Moola atau masukkannya ke dalam kotak khas yang terdapat di Plaza Low Yat.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.moola.my atau www.facebook.com.moolamalaysia. Anda juga boleh muat turun Moola App dari GooglePlay, Blackberry App World dan Apple Aps Store.
@kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment