PELAKON yang dikenali menerusi drama bersiri Asmaradana dan bakal muncul menerusi Evolusi KL Drift The Series pada 4 Oktober ini nekad mahu meninggalkan dunia lakonan untuk bekerja dalam bidang perhotelan.
Dia yang mempunyai ijazah dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari Kolej Olympia, Kuala Lumpur dan ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti dari Kolej Taylor, Kuala Lumpur kini sudah bersiap sedia untuk menerima sebarang jawatan dalam bidang berkaitan.
Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 27, atau lebih dikenali Puteri Sarah berkata, dia sudah menghantar resume kepada beberapa buah hotel bertaraf lima bintang untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan ijazah yang diraihnya.
Bukan disebabkan merajuk atau kurang menerima tawaran berlakon, pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri De Movie ini menganggap keputusannya untuk bersara daripada bidang lakonan adalah bagi memenuhi impian kedua-dua ibu bapanya.
“Malah jika fikir balik, baik juga saya bekerja macam orang biasa (bukan artis), ada jaminan masa depan dan kewangan. Sampai bila saya hendak berlakon dengan meraih pendapatan yang tidak tetap,” ujarnya ketika ditemui di majlis pelancaran Evolusi KL Drift The Series di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Puteri Sarah, memandangkan umurnya sudah mencecah 27 tahun dan akan menghampiri 30 tahun, sudah masanya dia memikirkan masa depan agar mendapat pendapatan yang tetap.
Ujar kekasih kepada pelakon Ammar Alfian ini lagi, resume yang dihantarnya itu juga adalah kepada beberapa hotel terkenal di luar negara dan jika mendapat maklum balas positif, dia tidak kisah andai terpaksa berhijrah.
“Saya memang hendak bekerja di luar negara sebab itu saya hantar resume ke hotel di sana. Adik-beradik saya juga ada di luar negara jadi apa salahnya saya pula ikut jejak mereka,” jelasnya.
Keputusannya untuk berhijrah ke luar negara itu juga turut mendapat sokongan kuat keluarganya dan Ammar sendiri.
Bercerita mengenai wataknya dalam Evolusi KL Drift The Series pula, dia berkata, dalam drama bersiri itu dia memegang watak sebagai Tasha seorang gadis lasak dan pemandu kereta drift.
“Memang sukar juga sebab saya terpaksa memandu kereta manual, saya sudah lama tidak memandu kereta jenis itu dan terpaksa diajar beberapa kali baru mahir,” ujarnya yang pertama kali bekerjasama dengan syarikat Skop Production.
Tambah Puteri Sarah, dia tidak menyangka ditawarkan watak utama dalam drama berkenaan kerana ketika itu dia hanya menemani Ammar yang turut berlakon drama itu untuk perbincangan dengan syarikat berkenaan.
“Terkejut saya apabila ditawarkan watak utama padahal saya hanya temankan Ammar ke situ. Lalu, saya tidak fikir panjang terus menerima tawaran tersebut memandangkan saya tidak pernah bekerja di bawah syarikat perfileman Datuk Yusof Haslam,” katanya.
Ketika diajukan persoalan jodohnya dengan Ammar pula, Puteri Sarah mengambil masa seketika untuk menyusun kata-katanya.
Katanya, dia dan Ammar sudah acap kali berbincang soal perkahwinan tetapi perbualan mereka masih tiada penghujung dan kata putus.
“Ammar sudah banyak kali ajak saya kahwin dan kami juga sudah banyak kali berbincang. Susah saya nak cakap bila kami akan berkahwin,” ujarnya yang sudah empat tahun menyulam cinta bersama Ammar.
Tambahnya, dia tidak mahu membuat sebarang sasaran umur untuk mendirikan rumah tangga dan membiarkan ia berlaku secara semula jadi.
@kosmo.com.myGadek Homestay di Alor Gajah Melaka popular! RM130 semalam!
No comments:
Post a Comment