Thursday, August 16, 2012

Ucapan SMS dan MMS hari raya



TABIR Ramadan begitu hampir melabuhkan tirainya. Di mana-mana sahaja, suasana sambutan Aidilfitri semakin jelas terasa. Koleksi lagu raya yang berkumandang di corong-corong radio pasti membuatkan hati tidak sabar lagi untuk meraikan kemunculan fajar Syawal.
Pada saat ini, sudah pasti kiriman sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) atau khidmat pesanan multimedia (MMS) bagi aplikasi perayaan bertalu-talu memasuki ruang inbox di telefon bimbit.
Perkara ini diakui Nurul Syamimi
Mohd. Asri, 19, yang tidak pernah ketinggalan melanggan himpunan aplikasi yang menarik untuk dikongsi bersama sahabat handai ketika musim perayaan.
“Pada bulan Ramadan, aplikasi yang sering dilanggan termasuklah waktu berbuka dan imsak, imej latar skrin seperti masjid dan untaian kata-kata hikmah.
“Apabila Syawal menjelang pula, saya suka jika nada dering pemanggil di telefon bimbit memainkan lagu-lagu raya yang menggamit memori,” ungkap pelajar jurusan Diploma Pengajian Perniagaan dari Kolej Profesional Mara di Beranang, Selangor yang mesra disapa Mimi itu.
Pada zaman siber yang dibanjiri himpunan gajet canggih dan terkini, aplikasi perayaan di telefon bimbit boleh dianggap sebagai pengganti kad raya.
Namun, di sebalik kewujudannya, pasti ramai yang tidak mengetahui cara sesuatu aplikasi itu dihasilkan. Begitu juga dengan Mimi yang hanya tersenyum simpul apabila ditanya mengenainya.
“Sebagai pengguna, saya hanya tahu melanggan aplikasi yang ditawarkan. Tapi terus terang, saya tidak tahu siapa yang membuatnya dan bagaimana ia dihasilkan,” jujur ucapan Mimi.
Ironinya, dalam menyediakan sesuatu aplikasi khusus untuk hari sambutan tertentu, rangkaian syarikat telekomunikasi biasanya akan menjalin kerjasama dengan pembangun aplikasi yang profesional.
Pembangunan mobiliti

NUR ASYIKIN (kiri) berbincang sambil menunjukkan contoh rekaan bagi aplikasi Diary Muslim kepada Nuraizah di pejabat mereka.


Salah satu syarikat yang bertanggungjawab membangunkan aplikasi berkaitan ialah Madcat World Sdn. Bhd. (Madcat). Madcat merupakan sebuah syarikat bumiputera yang memfokuskan tentang pembangunan mobiliti dan perkhidmatan produktiviti serta kandungan Islam bagi operator mudah alih juga internet.
Pengarah urusannya, Nuraizah Shamsul Baharin, 41, berkata, terdapat beberapa langkah yang perlu dilakukan bagi mencipta aplikasi yang diminta.
“Pertama, selepas mendapat tempahan daripada pihak syarikat telekomunikasi, kami perlu menghasilkan atau mereka kandungan bagi aplikasi tersebut. Biasanya, ia dibuat dalam bentuk papan cerita.
“Daripada situ, ia kemudian akan ditukar kepada bentuk kod dan ditambah dengan imej atau perkataan yang perlu ada di dalamnya. Jika pihak berkenaan bersetuju, maka aplikasi itu akan terus disiar dan dipromosikan,” ujar Nuraizah sambil memberitahu saban tahun, aplikasi sempena Ramadan dan Syawal sentiasa meningkat.
Antara syarikat telekomunikasi yang menggunakan perkhidmatan Madcat World termasuklah U Mobile bagi talian 018. Menurut Nuraizah, kerjasama yang terjalin antara mereka sudah bermula sejak tahun 2006.
“Harus diakui pasaran talian ini sangat agresif. Sempena Ramadan dan Syawal tahun ini, kami menyediakan seleksi pakej SMS seperti waktu berbuka dan imsak, waktu solat, tazkirah Ramadan, petikan al-Quran serta hadis.

APLIKASI Nama-Nama Allah atau Asmaul Husna boleh dijadikan imej latar di telefon bimbit sebagai menghormati bulan mulia ini.


“Pakej MMS pula terdiri daripada zikir dan Asmaul Husna atau Nama-Nama Allah untuk pelanggan mereka,” jelas beliau lebih lanjut.
Sementara itu, Penganalisis Kandungan Media Interaktif Madcat, Muhamad Shah Reezal Muhamad Nor, 28, berkongsi pengalaman ketika menghasilkan aplikasi tersebut.
SMS lebih mudah
Tutur Reezal, setiap hari dia boleh menyiapkan tiga hingga lima kandungan jika ia untuk penggunaan aplikasi SMS. Ini kerana untuk SMS, ia lebih mudah dihasilkan.
“Sebagai contoh, untuk SMS waktu berbuka dan imsak, saya hanya perlu mencari waktu sebenar bagi perkara itu untuk disertakan dalam kandungan. Bagi MMS ucapan selamat hari raya pula, kami perlu mereka corak yang kreatif berserta ucapan.
“Kadang-kadang, ada juga kandungan yang memerlukan kami menggunakan khidmat kartunis untuk melukis karikatur atau hanya mencari gambar yang bersesuaian,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan Teknologi Maklumat daripada Open University Malaysia (OUM) itu.

BARISAN kakitangan Madcat World Sdn. Bhd. sentiasa komited dalam menghasilkan kandungan aplikasi yang mampu memuaskan hati pelanggan mereka.


Bagi Nur Asyikin Khairul Baharin, 24, tugas sebagai Pengaturcara Komputer di Madcat memberi satu pengalaman baharu yang cukup berharga buat dirinya.
Tambahan pula, ia merupakan kerjaya pertamanya selepas menamatkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam jurusan Teknologi Maklumat.
“Alhamdulillah, walaupun berdepan pelbagai cabaran seperti mengejar tarikh akhir dalam menyiapkan tempahan pelanggan, ia sesuatu yang menyeronokkan.
“Kalau orang luar melihat suasana di pejabat ini, pasti mereka menganggap seolah-olah semua pekerja tidak bercakap sebaliknya hanya menumpukan perhatian pada komputer riba yang ada di hadapan masing-masing.
“Namun, kami juga sebenarnya ada waktu untuk merehatkan minda dengan cara bermain Playstation, membaca atau menonton video yang disediakan majikan di ruang rehat,” terangnya.
@kosmo.com.my

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...