Thursday, August 23, 2012

Mariani, Mat Sentol, Zaiton beri pendapat

DARI kiri: Zaiton Sameon, Mat Sentul dan Mariani mempunyai versi cerita raya masing-masing.


MENARIK apabila dapat bertemu dengan tiga artis veteran, Mariani, Mat Sentul dan Zaiton Sameon yang mempunyai personaliti yang berbeza. Mariani yang cukup peramah dan petah berbicara, berbeza sekali dengan Mat Sentol dan Zaiton Sameon yang hanya bercakap apabila ditanya.
Bertemu ketika majlis berbuka puasa seniman dan seniwati di Saloma Bistro, Kuala Lumpur pada Ramadan lalu, mereka berkongsi suka duka dan keseronokan beraya.
Bagi mereka, hari raya zaman sekarang umpama dibuat-buat dan tidak berlaku secara semula jadi seperti ketika mereka muda dahulu.
Mereka juga sepakat berpendapat bahawa cara sambutan hari raya sekarang seperti rekaan dan keadaannya tidak begitu meriah kerana cara orang berbelanja dan berhias setiap hari seperti hari raya.
Menurut seniwati Mariani atau nama sebenarnya, Mariani Ismail, pengalaman beraya ketika tinggal di Jalan Ampas, Singapura adalah sesuatu yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila.
“Semua pelakon dan kru tinggal sebumbung dan di satu kawasan yang sama, jadi kemeriahan itu memang dapat dirasai apabila kami bertukar-tukar juadah pada pagi hari raya,” ujar kakak kepada biduanita Saloma ini.
Beliau yang terbabit dengan empat drama sempena Aidilfitri ini iaitu Kasih Andak, Anak Hero, Malang Yang Berbau dan Pontianak Kampung Batu Tiga memberitahu, ketika di Jalan Ampas mereka tidak akan ke mana-mana kecuali beraya di kejiranan itu sahaja.
Mariani dan sambal goreng pengantin
Mariani menambah, kemeriahan raya zaman sekarang hanya terasa apabila dapat bersama anak-anak dan cucu sahaja, tetapi ketika di Jalan Ampas erti kemeriahan dan hari kemenangan itu dapat dirasai.
“Memang cukup berbeza kemeriahannya. Setiap hari raya apabila terkenang cerita lama, hati saya akan sayu kerana ramai rakan-rakan seangkatan saya sudah tiada di dunia ini,” ujarnya yang juga ibu kepada Melissa Saila.
Mengenai sambutan hari raya pula, Mariani berkata, setiap tahun dia akan pulang ke rumah dua orang anaknya, Normah dan Noraini Darus di Singapura selama tiga hari.
“Mereka ada butik di Singapura, jadi saya tidak perlu membawa baju raya sebab mereka sudah sediakan semua,” ujarnya yang menggemari makanan Singapura iaitu juadah sambal goreng pengantin pada setiap pagi raya.
Serik pegang watak hantu
Bercakap tentang dirinya yang masih lagi aktif berlakon pada usia 79 tahun, Mariani bersyukur dengan tawaran yang datang kepadanya.
MAT SENTUL mengakui dia tidak menyenangi lawak jenaka zaman sekarang.


Bagaimanapun, beliau memberitahu telah serik untuk melakonkan watak hantu kerana terpaksa disolek tebal selama empat jam dan untuk menanggalkan solekan itu juga adalah satu perkara yang menyeksakannya.
“Ada dapat tawaran watak hantu juga, tetapi saya terpaksa tolak sebab tak larat sangat ambil masa lama untuk disolek dan menanggalkan solekan. Cukuplah dapat watak nenek atau ibu sahaja,” ujarnya yang mesra dengan panggilan mummy.
Beliau turut berikrar akan mengabdikan dirinya selagi hayat dikandung badan dan selagi ada pihak yang sanggup menawarkannya watak bagi kelangsungan beliau sebagai anak seni.
“Saya tidak akan tolak tawaran berlakon, selagi ada orang nak, saya akan terima, tetapi tidak sekali-kali saya akan tawarkan diri sendiri,” ujar bekas ratu cantik pada 1951 ini.
Mat Sentol tak rasa raya
Saat soalan raya diajukan kepada pelakon lama yang cukup sinonim dengan filem-filem komedi, Mat Sentol menyifatkan sikap masyarakat masa kini yang gemar berbelanja mewah tidak mengira waktu membuat kemeriahan raya itu tidak dirasai.
Ujarnya, berbeza pada zaman dahulu, umat Islam ramai yang berbelanja besar hanya setahun sekali iaitu menjelang hari raya.
“Keadaan masyarakat sekarang yang setiap hari berbelanja seperti hari raya membuatkan erti hari raya telah hilang dan tiada serinya. Kalau hari-hari sudah belanja besar dan pakai baju cantik-cantik, apabila hari raya perkara sama juga dibuat, erti hari raya sudah hilang,” ujarnya ringkas.
Tidak minat berlakon
Berbeza dengan Mariani, pelawak dan pelakon veteran, Mat Sentol atau nama sebenarnya, Mat Raship Yahya memberitahu beliau yang kini tinggal di Larkin, Johor pula sudah tidak berminat untuk berlakon lagi.
Ujarnya yang kini lebih banyak mengarah dan menerbitkan iklan makanan kanak-kanak, beliau sudah selesa dengan kehidupannya kini tanpa terlibat dengan dunia seni.
“Dulu ada sebuah stesen televisyen panggil berlakon, tetapi pengarah yang mengarah cerita itu masih muda dan tidak boleh ditegur, saya tidak bersependapat dengan dia,” ujarnya seolah-olah sudah putus asa dengan dunia lakonan.
Beliau juga berpendapat dunia lakonan dan lawak zaman sekarang juga tidak semula jadi seperti yang dilakukan oleh dirinya dan rakan seangkatan lain.
“Kalau saya tonton drama di televisyen, ia agak menyakitkan hati terus saya tutup, tidak tonton pun tidak mengapa kalau buat lakonan dan lawak seumpama itu,,” ujarnya yang tidak menyenangi lawak jenaka zaman sekarang.
ZAITON SAMEON yang akan muncul dengan album berjudul Terimalah selepas Aidilfitri ini meraikan hari raya di Kelantan.


Namun, Mat Sentol memberitahu, dia akan menerima tawaran berlakon daripada pengarah yang sanggup menerima teguran daripadanya.
Zaiton teringat anak
Penyanyi 80-an yang cukup terkenal, Zaiton Sameon juga sependapat dengan Mariani dan Mat Sentol, tetapi baginya hari raya lebih bermakna jika bersama arwah anaknya dan keluarga sendiri.
Beliau yang kini tinggal bersama adik angkatnya yang berasal dari Kelantan berkata, hari raya akan lebih bermakna baginya jika arwah anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar, masih ada.
“Saya bersyukur kerana adik angkat, Che Sekah Ismail, sanggup jaga saya dan menemani saya ke mana-mana. Dialah keluarga saya dunia akhirat sekarang,” ujarnya yang mengikut Che Sekah beraya ke Kelantan tahun ini.
Album selepas Aidilfitri
Beralih topik kepada kisah kariernya, pelantun lagu Menaruh Harapan dan pernah menjuarai Anugerah Juara Lagu (AJL) pada 1987 ini memberitahu beliau akan melancarkan album baharunya berjudul Terimalah dalam masa terdekat.
Album berkenaan memuatkan lagu-lagu berentak zapin, pop dan balada yang dicipta khusus untuk peminatnya. Ia diterbitkan oleh Money Entertainment.
“Ramai peminat tanya bila nak terbit album, apabila ada pihak yang sanggup terbitkannya, saya terima, ia untuk mengubati rindu peminat kepada nyanyian saya,” ujarnya.
Beliau menjangkakan lagu yang akan mendapat perhatian peminatnya, Insan Kecil yang mengisahkan mengenai penderaan kanak-kanak.
@kosmo.com.my

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...