Thursday, August 23, 2012

Ibu masih simpan 'bau' Dirang


Ibu masih simpan 'bau' Dirang
Roselyn (kiri) dan ibunya, Milnah Jul melihat pakaian dan selipar Allahyarham Dirang yang masih disimpan.
PASIR GUDANG – “Kalau dulu seminggu sebelum raya pasti akan terdengar rengekan manja Dirang minta saya buatkan kuih batang buruk, tapi kini semuanya hanya tinggal kenangan,” luah Roselyn Alan, 25, ibu anak kecil malang, Allahyarham Nurul Nadhirah Abdullah, 5, yang dibunuh dan dibakar dengan kejam Mac lepas.

Roselyn berkata, Allahyarham Dirang dan kuih batang buruk memang tidak boleh dipisahkan setiap kali keluarganya membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri.

Menurutnya, selain ayam goreng yang menjadi menu kegemaran setiap kali menyambut Aidilfitri, kuih batang buruk hasil air tangannya pasti tidak akan dilupakan.

“Dia (Allahyarham Dirang) tak nak kuih batang buruk yang dibeli di kedai, tapi akan suruh saya buatkan. Selagi tak buat selagi itulah dia akan merengek minta dibuatkan.

“Raya tahun ni memang lain sangat kerana tak ada lagi suara nakal anak kecil saya minta disediakan ayam goreng
dan kuih batang buruk seperti tahun-tahun sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Roselyn berkata, masih segar di ingatan persiapan Hari Raya tahun lepas bersama Allahyarham Dirang yang merajuk selepas dibelikan seluar jean dan baju kerana mahukan sepasang baju kurung.

Menurutnya, hanya baju Allahyarham Dirang yang kali terakhir dipakai menjadi pengubat rindu setiap kali rindu yang teramat sangat datang bertandang di lubuk hati.

Roselyn (kiri) dan ibunya, Milnah Jul melihat pakaian dan selipar Allahyarham Dirang yang masih disimpan.

“Dua helai baju ni yang terakhir dia pakai sebelum hilang. Sampai sekarang saya tak basuh kerana setiap kali mencium baju ini hilang rasa rindu kerana terasa dia berada dekat dengan saya.

“Suaranya minta saya belikan sepasang baju kurung sama macam kawannya masih terngiang-ngiang di telinga seolah-olah baru semalam dia minta dengan saya,” katanya.

Katanya, pada pagi Syawal, pastinya suara yang paling kecoh adalah Allahyarham Dirang yang minta disiapkan bersama abangnya, Mohd Hafis Abdullah, 6, untuk beraya ke rumah jiran.

“Minggu lepas saya sudah belikan sepasang baju kurung untuk disedekahkan kepada kanak-kanak sebaya Allahyarham Dirang sebagai ingatan saya kepada dia.

“Walaupun raya tahun ni suram dan seperti sudah tak ada kegembiraan lagi, tapi persiapan untuk Hafis dan anak bongsu saya sudah disiapkan secara ala kadar,” katanya.
@sinarharian.com.my

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...