TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia, siapa yang tahu. Begitulah ungkapan yang layak ditujukan buat bekas peserta program realiti Pilih Kasih musim kedua ini, Cristina Suzanne atau nama penuhnya Cristina Suzanne Stockstill.
Mula menempa nama melalui drama Bicara Hati, bakat Cristina Suzanne atau lebih mesra disapa sebagai Cris kelihatan sedikit demi sedikit melalui drama-drama lakonannya seperti Kasih Najihah, Dia Bukan Mariam, dan Memberku Hawa.
Seorang yang peramah, mudah mesra dan berterus terang membuatkan sesiapa sahaja mudah mendekati wanita berusia 27 tahun ini. Tidak dinafikan, ketika sesi temu ramah dijalankan juga, penulis berasa amat senang berbicara dan Cris sentiasa terbuka dalam menjawab apa juga persoalan yang dilemparkan kepadanya.
"Saya memang seorang yang terbuka dan memang tidak dinafikan perwatakan saya juga tidaklah selembut mana. Pada hari biasa, saya lebih selesa memakai jean dan kemeja T sahaja," tuturnya semasa ditemui dalam sidang akhbar sebelum penggambaran filem sulung penglibatannya, Jwanita yang bertempat di Paradiso Cine Lounge, Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.
Setelah dua tahun pembabitannya dalam dunia lakonan, Cris telah diberi kepercayaan sekali lagi oleh penggarap filem pecah panggung, Ombak Rindu iaitu Osman Ali bagi memegang watak utama sebagai Julaika dalam filem berjudul Jwanita. Selain Chris, filem tersebut turut dibintangi Maya Karin, Bront Palarae dan Marsha Milan Londoh.
Mengakui terasa kecil apabila namanya terpilih untuk berdamping dengan nama-nama besar industri perfileman, dia bagaimanapun berasa syukur kerana walaupun agak baharu dalam bidang ini, Osman berani mempertaruh kredibilitinya untuk naskhah terkini beliau.
Dalam filem tersebut, Cris memegang watak sebagai seorang isteri kepada doktor yang bernama Dr. Farhan, lakonan Bront Palarae yang juga merupakan seorang ibu urban yang berkerjaya yang mempunyai dua orang anak.
"Ini merupakan filem pertama saya dan memegang watak utama. Saya terima kerana watak Julaika itu sendiri. Saya rasa bertuah dan beruntung kerana dapat peluang untuk berlakon dengan nama-nama besar.
"Saya sebenarnya tidak tahu mengapa saya dipilih oleh Osman Ali dalam Jwanita. Ini kerana saya akui, saya masih baharu dalam industri ini. Namun, mungkin ia rezeki saya dan Osman ingin mengajar saya kerana percaya pada bakat yang ada dalam diri," tuturnya yang sentiasa ketawa dan mengukir senyuman sepanjang temu ramah berlangsung.
Sementara itu, menurut Osman, pemilihan Cris adalah kerana bakat yang dilihat sepanjang tempoh pelakon muda itu menceburkan diri dalam bidang lakonan.
"Apa yang saya lihat, Cris mempunyai bakat dan sesuai dengan watak yang ingin dibawa iaitu Julaika. Saya pernah melihat lakonannya juga semasa sesi latihan, Cris mampu membawa karakter Julaika dengan baik," komen Osman tentang Cris.
Mengangkat genre seram dan suspen, Jwanita yang dimainkan oleh Maya Karin, mengisahkan tentang seorang gadis yang mengalami masalah mental yang serius akibat kisah silamnya yang sering didera secara mental dan fizikal oleh ibu dan bapa angkatnya.
Bagi Maya, ini merupakan projek yang keempat dirinya bersama pengarah Osman mengatakan keselesaan bekerjasama antara salah satu faktor tawaran ini diterima.
"Watak ini juga lain dari apa yang saya pernah bawa sebelum ini. Sejujurnya, saya tidak suka untuk membuat rujukan watak lain kerana khuatir akan terpengaruh dengan pembawakan watak tersebut.
"Jadi, saya hanya mengulangkaji watak melalui skrip dan apa yang pengarah mahukan. Saya juga tidak mahu berbicara panjang kerana saya sebenarnya masih lagi mempersiapkan diri. Namun ia memang banyak bermain dengan emosi," tutur Maya yang teruja ingin membawakan watak tersebut.
Bercinta dengan Bront
Cris bukan sahaja bakal berlakon bersama Bront, namun, mereka juga dikatakan sedang menjalin hubungan istimewa setelah ada yang mengatakan mereka berdua kelihatan mesra berbalas komen dalam laman Twitter masing-masing sejak beberapa bulan yang lalu.
Namun, persoalan yang ditebak kepadanya, dijawab dengan terbuka dan katanya tanpa berselindung, mereka memang sedang berkawan.
"Kami sebenarnya berkawan. Saya juga tidak mahu gunakan jawapan yang kami sedang mengenali harti budi masing-masing. Ini kerana memandangkan kami akan bergandingan menjadi suami isteri, jadi mungkin chemistry dapat diwujudkan dari situ agar lakonan kelihatan natural.
"Saya selesa berkawan dengan Bront kerana dia seorang yang relaks, baik dan tidak sombong. Jujur saya akui, jika ingin dibandingkan jumlah rakan lelaki dan wanita, bilangan rakan lelaki lebih ramai. Apapun, kita perlu mengenali seseorang sebelum melangkah ke peringkat yang lebih serius," jelasnya mengenai khabar angin yang bertiup antara dirinya dan Bront.
Tambahnya lagi, dia pernah mengalami kekecewaan dalam percintaan. Jadi, kini dia mahu lebih berhati-hati dalam memilih pasangan kelak. Namun, jujur berbicara, jika ada jodoh bersama Bront, dia tidak akan menolak dan terima seadanya.
"Saya bukan jenis yang suka merancang. Jika ditakdirkan bersama sesiapa sahaja, insya-Allah akan saya terima, baik artis mahupun orang biasa. Kata orang, kita jangan cakap besar atau takbur, kerana yang dibenci atau tidak disukai itu yang akan kita peroleh. Apa yang depan mata, jika bersesuaian, akan saya terima," akhiri wanita yang gemar bersembang ini.
@kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment