PADA tanggal 14 Julai lalu para peminat penyanyi terkenal antarabangsa Sami Yusuf sepatutnya dihiburkan dengan persembahan penyanyi itu sempena konsert Salaam Tour Sami Yusuf yang buat julung-julung kalinya diadakan di Malaysia.
Bagaimanapun, konsert yang berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam itu terpaksa ditangguhkan pada saat akhir atas beberapa sebab yang tidak dijelaskan dengan lebih lanjut oleh pihak penganjur.
Selain peminat, antara individu yang agak kecewa dengan penangguhan tersebut pastinya penyanyi tersohor tanah air, Datuk Siti Nurhaliza memandangkan beliau telah berkolaborasi dengan penyanyi kelahiran Teheran, Iran itu dalam konsert di Singapura pada 8 Julai lalu.
Siti yang ditemui pada majlis pelancaran minyak pelincir jenama Avantec keluaran Lubri Oil Corporation (M) Sdn. Bhd. di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur baru-baru ini meluahkan rasa hampa apabila konsert tersebut terpaksa ditangguhkan.
Kosmo!: Apakah perasaan Siti apabila mendapat tahu konsert Salaam Tour Sami Yusuf dibatalkan pada saat-saat akhir?
SITI: Sudah tentu saya berasa sedikit terkilan dan kecewa memandangkan tinggal beberapa hari sahaja konsert berkenaan akan berlangsung di Malaysia. Pastinya bukan saya sahaja yang kecewa, malah para peminat Sami Yusuf turut hampa kerana hasrat mereka untuk menyaksikan persembahan Sami tidak menjadi kenyataan.
Bilakah anda diberitahu oleh penganjur tentang penangguhan konsert tersebut?
Saya diberitahu oleh pihak penganjur tiga hari sebelum konsert berlangsung. Ketika diberitahu saya memang agak terkejut, tetapi tidak tahu punca mengenainya dan itu adalah urusan antara Sami dengan pihak penganjur.
Sekiranya Sami datang semula ke Malaysia dan memilih anda untuk menjayakan konsertnya, adakah anda akan bersetuju?
Bagi diri saya sendiri, memang langsung tiada masalah untuk berkolaborasi dengan Sami. Kalau jadual saya memang kosong, saya tidak akan keberatan untuk menerima tawaran yang diberikan. Lagipun saya sudah pernah berkesempatan membuat persembahan bersama Sami di Singapura baru-baru ini. Malah, ia merupakan satu penghormatan buat diri saya apabila diundang membuat persembahan dengan penyanyi bertaraf antarabangsa sepertinya.
Selain itu, baru-baru ini terdapat kontroversi membabitkan para peminat yang saling berbalah mengenai gambar-gambar anda yang dimuat naik dalam Instagram. Mereka berbalah tentang isu rambut, aurat dan imej anda. Apakah komen anda mengenai perkara tersebut?
Saya sedar terdapat beberapa komen negatif daripada segelintir peminat apabila terdapat beberapa gambar saya mendedahkan rambut. Namun, seperti yang sudah banyak kali saya maklumkan, saya sememangnya masih lagi belum bertudung litup dan sekadar mengenakan selendang sahaja.
Jadi, saya sangat berharap agar para peminat dapat menerima keadaan saya sekarang kerana isu saya bertudung ini merupakan perkara lama. Namun, keinginan untuk bertudung pada suatu hari nanti tetap ada.
Apakah projek terbaharu anda sekarang?
Setakat ini masih belum ada lagi sebarang projek terbaharu yang akan dilakukan, kecuali saya akan melancarkan produk kosmetik terbaharu SimplySiti yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Pada bulan Ramadan ini saya memang tidak akan membuat sebarang persembahan, kecuali hadir pada majlis-majlis berbuka puasa sekiranya diundang oleh mana-mana pihak.
@kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment