Saturday, July 28, 2012

Ramadhan artis indonesia!




KISAH penghijrahan artis daripada berfesyen penuh sensasi kepada imej bertudung litup atau berhijab mungkin sudah lumrah dalam dunia hiburan Malaysia. Namun, hal yang sama turut berlaku dalam kalangan segelintir artis Indonesia yang diakui lebih berani menggayakan fesyen pakaian demi merealisasikan gelaran bintang terkenal pada diri masing-masing.
Sekurang-kurangnya terdapat tujuh artis jelita muda Indonesia yang kini bertudung litup. Rahmat buat mereka dengan ketibaan Ramadan kali ini. Nuri Maulida adalah antara contoh yang nyata.
Aktres cantik berusia 27 tahun yang muncul dengan imej anak muda urban dan moden menerusi filem sulungnya, Me vs High Heels (2005) ini memilih untuk melakukan penghijrahan imej kepada bertudung litup pada 10 Julai tahun ini.
Pintu hatinya untuk melakukan hal tersebut terbuka sejurus selepas pulang daripada mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah.
Dalam kenyataannya kepada Jakartamagazine.com, ujar Nuri: "Saya yakin sepenuhnya kepada pilihan saya untuk berhijab kerana ia bisa (mampu) membawa impak positif kepada orang lain dan diri saya sendiri.
"Tahun ini merupakan Ramadan pertama saya menyaksikan saya dengan imej berhijab ini. Saya sangat berharap bisa menjalankan segala amalan sepanjang bulan mulia kali ini dengan lebih khusyuk."
Turut berkongsi pengalaman sebagaimana Nuri Maulida dalam meraikan kedatangan Ramadan pertama kali dalam imej berhijab ialah pelakon sinetron dan bintang filem muda, Risty Tagor dan penyanyi jelita, Zaskia Sungkar yang juga isteri kepada pelakon kacak, Irwansyah.
Risty, 22, memutuskan berhijab sejak dua bulan lalu. Bintang yang menyerlahkan sisi bakat lakonannya terutama menerusi filem Pocong 2 (2007), selain sinetron Safa dan Marwah (2010) ini berkata: "Selepas mengenakan imej berhijab, diri ini berasa semakin dekat dengan Allah."
Perubahan dirinya tersebut disokong oleh suami Risty, Rifky Balweel. "Isteriku sekarang tampak (kelihatan) lebih cantik dengan jilbabnya (hijabnya)," akui Rifky.
Sama sepertimana Risty, Zaskia, 22, juga baru sahaja memakai hijab sekitar dua bulan yang lalu. Mengenakan hijab diakui Zaskia tidak mengurangi rasa percaya dalam dirinya.
Bahkan akui Zaskia: "Tiada perbezaan sedikit pun seperti sebelum memakai hijab." Keputusan berhijab meraih sokongan daripada keluarga dan suaminya, Irwansyah. Malah, Zaskia mengakui para peminatnya juga sudah mulai mengikuti jejak dirinya untuk mengenakan hijab.
Pelakon sinetron dan penyanyi popular, Marshanda pula memutuskan untuk mulai berhijab lebih awal iaitu pada tahun 2010. Marshanda memutuskan berhijab selepas dirinya didatangi mimpi Hari Kiamat selama beberapa hari.

PUPUT MELATI (tengah) menganggotai grup vokal yang mendendangkan lagu-lagu kerohanian, Fatima Voice bersama Pipik Dian Irawati (kiri) dan Nia Paramitha.


"Setelah berjilbab, saya mengakui merasa lebih tenang dan lebih dilindungi Allah," bicara isteri Ben Kasyafani yang sehingga kini masih aktif dalam dunia hiburan di Indonesia.
Sementara itu, pelakon kacukan Jerman-Sunda, Rachel Maryam Sayidina, 32, pula mulai berhijab pada tahun lepas. Keputusan itu diambil selepas dia mengerjakan umrah pada tahun yang sama. Setelah berhijab, Rachel yang bersuamikan Edwin Aprihandono sejak 16 Disember tahun lepas kini mulai lebih selektif dalam memilih karakter lakonannya dalam sinetron.
Mantan penyanyi cilik popular, Puput Melati, 29, dalam pada itu mula berhijab sejak 2008. Dengan berhijab, Puput mengakui dia tidak takut kehilangan kariernya yang telah dibina sekian lama lama dibina dalam dunia hiburan.
Mengahwini Ustaz Guntur Bumi pada tahun lepas, Puput kini kembali aktif penyanyi, namun memilih untuk fokus menyanyikan lagu-lagu keagamaan bersama grup vokal yang dikenali sebagai Fatima Voice yang dianggotainya bersama Pipik Dian Irawati dan Nia Paramitha.
Artis serba boleh Dessy Ratnasari, 38, yang terutamanya meraih populariti sebagai penyanyi lagu berjudul, Tenda Biru pula mulai mengenakan hijab sejak Ramadan tahun lalu.
"Selepas mengenakan jilbab hidup saya menjadi lebih tenang. Walaupun berjilbab, saya ingin tetap aktif berkarya dalam bidang seni," ungkapnya.
Selain para selebriti tersebut, antara artis terkenal Indonesia yang sudah lama bertudung termasuklah Inneke Koesherawati, Mediana Hutomo, Annisa Triphasari, Henidar Amroe, Okky Asokawati dan Ratih Sanggarwati.
Ramadan pertama
PADA tahun ini, Ashanty dan Anang pertama kali menyambut Ramadan sebagai suami isteri.


Ramadan kali ini cukup dirasai impaknya dalam kalangan sesetengah artis Indonesia. Tahun ini menjadi Ramadan dan juga pengalaman pertama terutamanya buat aktres yang meraih populariti menerusi filem Ayat-Ayat Cinta (2008), Carissa Putri Sulaiman.
Figura kelahiran Frankfurt, Jerman berusia 27 tahun ini baru sahaja bergelar isteri kepada lelaki bernama Navies. Mereka berkahwin pada 31 Mac tahun ini. Ini bermakna Ramadan kali ini merupakan kali pertama dia menyambutnya sebagai seorang isteri.
"Ini hari kelima, dan Alhamdulillah semua lancar. Pengalaman pertama berpuasa bersama suami juga rasanya agak berbeza. Kami berbuka puasa banyak tempat. Kalau tidak berbuka puasa di rumah keluarga suami, kami ke rumah keluarga saya atau pun di kediaman kami sahaja," ujarnya kepada Kapanlagi.com di Hotel Four Season, Jakarta pada 25 Julai lalu.
Perceraian
Carissa juga bercerita tentang pengalaman pertamanya menyiapkan juadah bersahur untuk suaminya. "Pagi-pagi lagi saya sudah menyiapkan menu sahur. Suami mahu apa sahaja, saya akan siapkan masakannya. Pukul 3 pagi biasanya mulai masak," ujarnya.
Tambahnya: "Suami saya seorang yang fleksibel. Paling penting harus ada sayur-sayuran, lauk-pauk sama ada digoreng atau direbus sahaja. Dia juga suka nasi goreng."
Penyanyi lagu hit, Dulu, Ashanty atau nama penuhnya, Ashanty Siddik Hasnoputro, 27, juga sama seperti Carissa menyambut Ramadan pertama kali sebagai isteri. Dia bergelar isteri kepada mantan suami Kris Dayanti iaitu Anang Hermansyah yang baru sahaja dinikahinya pada 12 Mei tahun ini.
Namun, dia mengakui tidak berkesempatan untuk menyediakan sendiri juadah bersahur dan berbuka puasa buat suaminya itu kerana dia kini sedang sibuk dengan projek rakaman album terbaharunya. "Saya memang begitu teringin mahu menyediakan juadah berbuka dan bersahur buat suami. Tetapi sekarang belum sempat. Mas (abang) Anang juga jenis yang memahami, " tutur Ashanty kepadaKapanlagi.com di Butik Amy Amanto di Kawasan Tebet, Jakarta Selatan pada 25 Julai lalu.
Bagaimanapun, dia mengakui anak tirinya, Aurel dan Azriel selalu memintanya menyediakan mereka juadah sahur dan berbuka puasa. Katanya lagi: "Anak-anak yang meminta. Sememangnya kalau ada masa, saya ikuti kehendak mereka."
Risty Tagor mula mengenakan hijab sejak dua bulan lalu.


Lain halnya pula halnya dengan aktres Christy Jusung, 29, apabila Ramadan kali ini menyaksikan pelakon filem Lihat Boleh, Pegang Jangan (2010) ini harus menjalani proses perceraian dengan suaminya, aktor Henky Kurniawan, sekali gus menjadi Ramadan pertama disambutnya tanpa lelaki bergelar suami di sisinya. Namun, dia mengakui cuba untuk tabah.
"Untungnya nggak (tidak) terlalu banyak kehilangan kerana memang banyak kegiatan. Ya disyukuri sahaja, bedanya (bezanya) memang tahun ini tidak bersama seseorang yang bernama suami," ujar Christy ketika muncul dalam programPesbukers ANTV di Epicentrum Kuningan, Jakarta pada 25 Julai lalu.
Arwah bapa
Mengulas persoalan tentang adakah perceraiannya ini merupakan ujian paling berat menghentam emosinya di bulan Ramadan, bicara Christy: "Kalau mendekatkan diri memang harus dengan Allah. Terus sebagai introspeksi diri pasti, apalagi ini masalah keluarga, ini bukan masalah enteng (senang). Mudah-mudahan ini bisa berkah (mampu memberi berkat) juga buat aku."
Penyanyi sensasi dan seksi, Vicky Veranita Yudhasoka yang lebih dikenali sebagai Vicky Shu pula menyambut Ramadan kali ini dengan penuh perasaan penuh syahdu.
Vicky, 29, mengakui sangat merundui arwah bapanya dan ini merupakan tahun dan Ramadan serta sambutan hari lebaran pertama dirinya tanpa insan bergelar bapa. Bapa Vicky, Dicky Yudhasoka meninggal dunia akibat komplukasi ginjal pada 7 Jun lalu.
"Kesedihan pasti, ya. Maksudnya rasa rindu, kesedihan itu ada, kerana penyesalan. Kenapa begini, kenapa begitu, selalu ada perasaan itu.
"Tapi kerana ini kan empat puluh harinya (bapa meninggal), tepat di bulan Ramadan, jadi makin rindu," terangnya kepada Kapanlagi.com usai menjadi bintang undangan dalam program temu bual Hitam Putihdi Pancoran, Jakarta, pada 24 Julai lalu.
Tambahnya: "Saya, bapa dan keluarga tinggal sama-sama (di Jakarta). Aku selalu usahakan untuk menemani dia berubat, tetapi disebabkan aku juga nggak (tidak) selalu berada di Jakarta, adakalanya aku gagal menenami dirinya. Semoga beliau bisa mengerti juga. Penyesalannya kenapa begitu cepat," getus Vicky penuh kesedihan yang menjadi salah satu elemen warna-warni ceritera Ramadan dalam kalangan artis Indonesia pada tahun ini.
@kosmo.com.my

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...