Tuesday, July 17, 2012

Punca kematian anak Stallone belum diketahui



GAMBAR fail menunjukkan Sage (kiri) bersama bapanya, Stallone di Los Angeles pada 5 Disember 1996.


LOS ANGELES - Bedah siasat ke atas anak lelaki aktor Hollywood, Sylvester Stallone, Sage dilakukan di sini kelmarin selepas dia meninggal dunia secara mengejut, kata beberapa pegawai.
Anak sulung Stallone itu yang juga seorang pelakon ditemui mati di kediamannya pada Jumaat lalu di Hollywood.
Beberapa laporan mendakwa Sage, 36, mati akibat pengambilan dos dadah berlebihan.
Menurut agensi berita AFP semalam, jurucakap Pejabat Koroner Daerah Los Angeles, Cheryl MacWillie berkata, keputusan ujian toksikologi akan mengambil masa sekitar 10 minggu selepas bedah siasat itu dilakukan.
Sejumlah botol ubat preskripsi telah dibawa anggota-anggota pihak berkuasa daripada kediamannya.
Namun, pihak berkuasa menyatakan ubat tersebut mungkin antara punca kematiannya.
Menurut Penolong Ketua Koroner Daerah Los Angeles, Ed Winter, tiada tanda-tanda perbuatan khianat, trauma atau sekeping nota bunuh diri ditemui pada mayatnya.
Sage pernah muncul dalam filem Rocky V sebagai Rocky Balboa Jr. bersama Stallone pada tahun 1990 dan mereka turut bergandingan pada tahun 2006 dalam filem Daylight.
Stallone berada di San Diego untuk mempromosikan filem terbaharunya, Expendables 2 apabila dia diberitahu mengenai kematian anaknya.
Menurut peguam Stallone, George Braunstein, Sage tidak kelihatan murung sebelum kematiannya.
"Dia berfikir tetang perkahwinannya," katanya.
Sage dikatakan akan melangsungkan perkahwinannya dengan kekasih lamanya di Las Vegas. - Agensi

No comments:


Satu lagi kes di Johor Baru, empat sah koronavirus di Malaysia

Satu keluarga memakai penutup muka ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 24 Januari 2020. ― Foto Bernama K...