COWBOY atau koboi merupakan sebutan yang diberikan kepada sekumpulan penggembala haiwan yang berada di Amerika Utara. Secara tradisionalnya golongan itu menggunakan kuda dan melakukan pelbagai pekerjaan di ladang ternakan.
Dalam filem-filem Hollywood, koboi digambarkan sebagai pahlawan yang mempunyai simbol maskulin atau kejantanan. Dengan imej bertopi, but runcing dan menunggang kuda, koboi dianggap sebagai wira yang memburu penjenayah bermaharajalela atau terlibat dalam konflik menentang puak Indian.
Aktor John Wayne, Paul Newman, Clint Eastwood juga berjaya sebagai ikon perfileman Amerika Syarikat dengan imej koboi yang diangkat dalam beberapa filem lakonan mereka.
Minat yang mendalam terhadap kehidupan dan dunia koboi jugalah membawa kepada kewujudan Eagle Ranch Resort, satu-satunya resort berkonsepkan sedemikian di negara ini.
Terletak di Batu 14, Jalan Pantai, Port Dickson, resort yang beroperasi sejak 10 tahun lalu itu merupakan ilham pemiliknya dan juga Pengarah Urusan Eagle Ranch Resort, Jimmy Tee. Beliau meminati kehidupan koboi sejak dari zaman remaja.
“Bermula dari sebuah resort persendirian, Jimmy telah mengubah landskap resort di kawasan seluas 13 hektar itu umpama sebuah perkampungan koboi sebenar.
“Ia ternyata bersesuaian dengan personaliti beliau yang gemarkan aktiviti lasak dan mencabar seperti menunggang kuda serta motosikal berkuasa tinggi. Aktiviti ekstrem seperti itulah yang sinonim dengan tema di resort ini,” ujar Pengurus Besar Eagle Ranch Resort, Casey Caruna.
Menawarkan pelbagai jenis penginapan dari jenis Log Cabin, Kampung House, Paddock Chalet, Bandwagon, Tepee, Log Dorm dan Paddok Dorm, resort itu menjanjikan tarikan kepada pengunjung yang mahu merasai suasana percutian santai dan berbeza di pusat peranginan popular itu.
Tepee paling popular
Katanya, sebaik melangkah ke dalam resort, pengunjung seolah-olah dibawa mengembara ke dalam dunia koboi tanpa sempadan seperti yang sering dilihat dalam filem-filem Holywood.
“Setiap bilik dihasilkan dengan reka bentuk unik termasuk menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti kayu pine. Hiasan dalamannya juga agak klasik menyerlahkan pesona bertema koboi.
“Paling menyerlah dan sering menjadi tumpuan pengunjung di resort ini ialah Tepee, iaitu penginapan berbentuk khemah puak Indian.
“Dari jauh ia tampak seperti sebuah khemah, sebaliknya ia dibuat daripada konkrit dan dilapisi khemah di atasnya. Walaupun ruangnya agak kecil, namun ia tetap menjamin keselesaan kepada penghuninya,” katanya.
Tambah Casey, reka bentuk dan dekorasi dalaman dari Barat juga turut diterjemahkan di ruang makan yang disediakan seperti di The Melting Pot, D’Barrel, Eagle Square, Eagle Creek, Watering Hole dan Poolside.
“Misalnya di Watering Hole, tampak begitu mempesonakan melalui penggunaan perabot kayu serta pelbagai hiasan dalaman yang rata-ratanya merupakan koleksi peribadi Jimmy.
“Di samping menjamu selera dengan pelbagai hidangan tempatan dan Barat yang ditawarkan, lokasi itu juga menjadi ruang santai yang selesa serta lengkap dengan kemudahan meja pool,” ujarnya.
Sesuai dengan kedudukannya sebagai resort keluarga, Eagle Ranch Resort sarat dengan pelbagai aktiviti yang ditawarkan kepada pengunjung sama ada yang menginap atau sebaliknya.
Rekreasi koboi
Antaranya, aktiviti menunggang kuda, menaiki pedati kuda, bermain go-kart, memanah, paintball, bola tampar pantai dan sebagainya.
Di samping itu, ia juga mempunyai lokasi untuk menggalas cabaran seperti sukaneka, berkayak, abseiling, flying fox serta aktiviti cabaran bertali yang diiktiraf paling banyak di Malaysia oleh Malaysian Book Of Records pada tahun 2010.
“Menawarkan 37 cabaran secara keseluruhan, aktiviti cabaran bertali terbahagi kepada dua peringkat iaitu Low Element (ketinggian satu meter) dan High Element (10 meter).
“Setiap cabaran bertali seperti Crab Walk, Tyre King, Swinging Bridge, Barb Wire, Tarzan Swing, Monkey Rack dan Water Hazard sememangnya menguji mental dan fizikal,” jelasnya yang mewajibkan setiap peserta mematuhi aspek-aspek keselamatan seperti penggunaan caribiner, harness, pulley dan topi keselamatan ketika melakukan aktiviti sedemikian.
Seperti di luar negara
Pengalaman bermain cabaran tali itu turut dikongsi oleh pelancong dari Ghana, Frederick Aosige, 42.
Kakitangan di sebuah syarikat penghantaran barang antarabangsa di ibu negara itu mengakui, gementar tatkala mencuba salah satu cabaran yang disediakan.
“Ia bukan sekadar aktiviti lasak semata-mata, sebaliknya direka untuk turut menguji keberanian, memupuk semangat kerjasama dan keyakinan diri seseorang,” katanya.
Dia yang hadir bersama rakan-rakan sepejabat memilih bercuti ke Port Dickson kerana terpesona dengan keindahan pusat peranginan itu.
Aosige berkata, dia teruja melihat konsep Eagle Ranch Resort yang begitu unik dan berbeza berbanding resort-resort lain di situ.
“Dari bahagian pintu masuk resort sehingga ke dalam bilik, saya berasa seolah-olah seperti berada di luar negara.
“Di sini, tiada bangunan resort atau hotel pencakar langit, tiada lif ke bilik, tiada balkoni menghadap pantai atau suite mewah bertaraf lima bintang, namun ia tetap selesa terutama pelancong yang mahu menikmati suasana santai sambil ditemani kehijauan di sekelilingnya,” ujarnya.
Sementara itu, P. Puvinthan, 31, berkata, berada di resort itu seakan-akan mengimbau nostalgia silam.
“Melihat reka bentuk bangunan beserta kakitangan yang lengkap bertopi koboi dan adakalanya menunggang kuda, membuatkan saya seperti di sebuah set penggambaran filem berkenaan yang sering dilihat ketika zaman kanak-kanak,” katanya.
Jelasnya, pada masa yang sama, selain keselesaan penginapan, pengunjung juga tidak berasa bosan kerana resort itu sarat dengan pelbagai aktiviti hanya di bawah satu bumbung.
“Sebut apa sahaja, semuanya boleh didapati di sini. Biarpun terdapat beberapa aktiviti yang dikenakan bayaran, namun ia tampak berbaloi lebih-lebih lagi dengan keseronokkan yang diperolehi,” ujarnya.
Bagi Dave Weschgens, 29, dia agak kagum melihat reka bentuk rumah tradisional Melayu di Kampung House.
“Pada masa yang sama, pujian juga harus diberikan kepada kakitangan resort ini yang ramah dan sentiasa menghulurkan bantuan apabila diperlukan,” katanya.
@kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment